PERDANA MENTERI LANCARKAN PROJEK SISTEM KERETA KABEL BUKIT BENDERA
Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim merasmikan projek Kereta Kabel Bukit Bendera hari ini dalam satu majlis pecah tanah. Acara ini menandakan langkah penting dalam usaha negeri untuk meningkatkan infrastruktur pelancongan Pulau Pinang, memperbaiki ketersambungan dan akses ke Bukit Bendera, di samping mengubah destinasi bersejarah itu menjadi destinasi yang wajib dikunjungi.
Projek mercu tanda yang diilhamkan oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Hartasuma Sdn Bhd ini, dijangka dapat meningkatkan penghayatan para pengunjung terhadap keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti Bukit Bendera. Selain itu, ia akan membantu mengurangkan kesesakan pelancong pada musim puncak dan menjadi laluan alternatif semasa kecemasan. Kerja-kerja pembinaan sistem kereta kabel ini dijangka siap pada tahun 2026.
Bukit Bendera merupakan destinasi tarikan utama pelancong yang terkenal dengan kepelbagaian ekologi, sejarah yang kaya, laluan mendaki yang terkenal, dan pemandangan panorama di puncaknya. Pada tahun 2023, Bukit Bendera menerima 1.67 juta pengunjung, menghampiri angka pra-pandemik iaitu sebanyak 1.9 juta pengunjung pada tahun 2019.
“Penambahan sistem kereta kabel ini akan menyediakan pilihan kedua yang amat diperlukan untuk menaiki bukit, mengurangkan tekanan kepada tren funikular dan selari dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (2021-2030) serta Wawasan 2030 Pulau Pinang. Pembangunan ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan, menambah baik infrastruktur, dan mengukuhkan kedudukan Bukit Bendera sebagai destinasi utama di Malaysia,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, di acara tersebut.
Kereta kabel ini akan berfungsi sebagai pintu masuk ke Rizab Biosfera Bukit Bendera, yang merupakan salah satu Rizab Biosfera UNESCO, memacu transformasi Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya. Penglibatan Kerajaan Negeri membuktikan komitmennya dalam usaha memelihara Bukit Bendera untuk generasi akan datang, di samping membangunkan ekonomi tempatan menerusi aktiviti pelancongan mampan.
“Bukit Bendera bukan sahaja merupakan khazanah semula jadi, tetapi ia juga adalah paru-paru hijau yang penting untuk negeri kita. Projek kereta kabel ini, yang dijalankan dengan kerjasama Hartasuma, adalah projek transformasi yang mencerminkan komitmen kami terhadap pelancongan bertanggungjawab yang mengimbangi pemodenan infrastruktur tanpa menjejaskan alam sekitar, satu pendirian penting untuk memelihara nilai ekonomi Bukit Bendera. Ianya juga akan memberikan dorongan yang sangat diperlukan untuk menjadikan Taman Botani Pulau Pinang sebagai salah sebuah destinasi utama pelancong,” tambah Chow.
Projek ini akan menyusun semula infrastruktur bagi memenuhi keperluan para pengunjung, memperkenalkan kemudahan baharu dan menaik taraf kemudahan sedia ada, memupuk dan meningkatkan lagi ekologi, serta menambah baik akses secara keseluruhannya. Semua langkah telah dirancang dengan teliti untuk menyokong gaya hidup yang dipertingkatkan bagi penduduk serta komuniti di kawasan sekitarnya, dan memberikan pengalaman memuaskan kepada semua pengunjung.
Projek ini turut memberikan penekanan terhadap langkah-langkah meminimumkan impak pada alam sekitar, seperti perancangan yang teliti dan inisiatif untuk memelihara hidupan liar dan spesies tumbuhan tempatan. Amalan pembinaan mesra ekologi seperti kaedah cerucuk kaison yang digali menggunakan tangan, penggunaan teknologi cekap tenaga, dan pemantauan alam sekitar yang berterusan akan dilaksanakan di sepanjang projek ini.
Hanya lima menara pilon akan didirikan di kawasan hutan, manakala sepuluh menara lagi akan didirikan sehampir yang mungkin dengan stesen atas dan bawah serta laluan Jeep, tanpa perlu membina akses jalan baharu.
Jajaran kereta kabel ini akan bermula dari stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera. Laluan kereta kabel ini adalah sepanjang 2.73 kilometer dan akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang dari 10 minit. Semua infrastruktur utama dalam pembangunan ini dibina berpandukan kepada pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) tahap Emas.
Projek kereta kabel ini juga akan menyelesaikan masalah trafik yang menjejaskan kawasan sekitar Taman Botani Pulau Pinang pada ketika ini, di mana barisan kenderaan mencecah hingga ke jalan utama, menyebabkan masalah keluar masuk yang teruk. Projek ini juga akan mempertingkatkan dan mencantikkan lagi kawasan Taman Botani Pulau Pinang, memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan para pengunjung dengan infrastruktur serta landskap yang lebih baik dan kawasan hijau untuk rekreasi.
Bagi mengatasi masalah ini dan mengurangkan kesesakan di kawasan tersebut, Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon menjelaskan bahawa pembangunan Plaza Komersial akan menyediakan 700 ruang parkir untuk kenderaan persendirian dengan kawasan parkir bas yang khusus bakal dibuka bersebelahan Jabatan Taman Botani. “Plaza ini juga akan memudahkan proses menjadikan kawasan menuju ke Taman Botani Pulau Pinang sebagai kawasan mesra pejalan kaki dan membolehkan peluasan kawasan yang dikhususkan untuk penanaman pokok dan flora lain.”
Sebagai perintis industri rel di Malaysia, Hartasuma telah dianugerahkan hak konsesi selama 30 tahun untuk Kereta Kabel Bukit Bendera menerusi Kerjasama Awam-Swasta (PPP) yang berasaskan kerja reka bentuk, kewangan, bina, kendali dan pindah (DBFOT). Syarikat tersebut telah melantik syarikat kereta kabel terkemuka yang berpangkalan di Austria, Doppelmayr Seilbahnen GmbH, untuk membekalkan sistem kereta kabel. Rekod prestasi Doppelmayr yang tiada tandingannya, merangkumi pemasangan lebih 15,400 sistem kereta kabel di seluruh dunia, termasuk pemasangan 86 sistem kereta kabel yang terletak di tapak Warisan, Geopark, dan Biosfera UNESCO, serta pelbagai Taman Negara di seluruh dunia.
Selain itu, teknologi kereta kabel Doppelmayr yang canggih, terkenal dengan pelepasan karbon rendah dan kecekapan tenaga, akan memastikan sistem ini dapat beroperasi dengan jejak karbon yang minimum. Beberapa penawaran sampingan sebagai pelengkap kepada pemasangan sistem kereta kabel ini juga akan diperkenalkan.
Untuk ketersambungan yang lancar, jarak antara stesen kereta kabel dan stesen funikular di puncak Bukit Bendera adalah kira-kira kurang dari 5 minit berjalan kaki. Hartasuma juga mengumumkan bahawa ia akan memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik yang menghubungkan stesen Taman Botani dengan stesen funikular Air Itam. Pengintegrasian ini akan mewujudkan kitaran transit yang padu, membolehkan pengunjung memilih pengalaman yang menyeluruh untuk menikmati keindahan Bukit Bendera.
“Penambahan sistem kereta kabel ini bukan sahaja menawarkan cara baharu untuk membawa pengunjung naik dan turun Bukit Bendera. Ia juga merupakan langkah penting dalam usaha menghidupkan semula khazanah yang amat disayangi ini. Kami berhasrat menjadi rakan penting kepada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang dan pelbagai entiti yang beroperasi di sini, untuk mengubah Bukit Bendera menjadi destinasi yang meriah dengan kepelbagaian ekologinya, sambil menyokong komuniti tempatan dan peluang ekonomi baharu untuk Pulau Pinang,” jelas Tan Sri Ravindran.
Comments
Post a Comment