ROCHE JALIN KERJASAMA DENGAN PAKAR KESIHATAN UNTUK MEMPERKENALKAN PENJAGAAN DIABETES YANG BOLEH DIMANFAATKAN

Roche Diagnostics Malaysia (Roche) mencatat sejarah pada Hari Jururawat Antarabangsa apabila ia menjalin kerjasama dengan pakar kesihatan untuk meningkatkan pendidikan dan kesedaran diabetes mengenai pengurusan kendiri diabetes menggunakan aplikasi pengurusan diabetes digital.

Dari kiri: Dr Lim Lee Ling, Mr Bryan Koh, Ms Heng Chai Yin, Pengurus Besar Roche Diagnostic Malaysia

Memandangkan diabetes sudah menjadi wabak global, dan tampil sebagai masalah kesihatan yang paling mendesak dan paling cepat berkembang dalam abad ke-21 ini1, Roche berusaha mengumpulkan beberapa pakar penjagaan kesihatan supaya mereka dapat membincangkan topik penting berkaitan cara pengurusan kendiri yang berkesan untuk individu yang menghidap diabetes (PwD).

Perbincangan berkenaan memberi tumpuan kepada aspek asas yang penting iaitu pengurusan harian diabetes – pemantauan glukosa darah berstruktur di mana pesakit dan penjaga menggunakan meter glukosa darah (BGM). Malah, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengklasifikasikan BGM sebagai ‘intervensi bukan pembedahan yang utama’ dengan meter glukosa darah mudah alih sebagai ‘alat perubatan utama’ untuk penghidap diabetes2.

Bagi memudahkan pengurusan diabetes dan memperkasakan PwD untuk meningkatkan kualiti hidup mereka, Roche membangunkan satu pendekatan iaitu Pengurusan Diabetes Peribadi bersepadu (iPDM) yang dibentangkan dalam perbincangan berkenaan.



Pendekatan Berorientasikan Pesakit dan Kolaborasi Berasaskan Data

Bryan Koh, Ketua Kluster Pasaran Matang Asia Pasifik, Penjagaan Diabetes Roche, berkata, “Roche berdedikasi untuk memajukan penjagaan diabetes yang boleh diakses dan menggalakkan penjagaan kesihatan berstruktur yang mampan dengan rakan-rakan sealiran bagi mengurangkan wabak diabetes. Kami hadir untuk menyediakan solusi berorientasikan pesakit bagi memperkasakan setiap orang untuk menguruskan keadaan mereka sendiri, merasai kelegaan sebenar, dan menjalani kehidupan normal, yang lebih sihat.”

“Pengurusan diabetes ini rumit dan bersifat peribadi bagi setiap pesakit. Melalui gabungan teknologi dan pemahaman mendalam berkaitan cabaran yang dihadapi oleh penghidap diabetes, kami berusaha untuk membolehkan mereka mengendalikan kerumitan harian dalam pengurusan diabetes dengan yakin. Masa hadapan untuk penjagaan diabetes terletak pada penyesuaian pengurusan mengikut keperluan (personalisasi), keterhubungan, dan kerjasama demi mencapai kemampanan penjagaan kesihatan,” katanya.

Pemantauan kendiri glukosa darah menggunakan meter glukosa darah menjadi ciri asas dalam strategi iPDM Roche. Ia menawarkan pendekatan holistik yang menyokong penjagaan berterusan jangka panjang yang mampan untuk PwD.

Memperkasakan Pengurusan Diabetes yang Lebih Baik

Dr. Lim Lee Ling, Profesor Madya Perubatan dan Ketua Unit Penjagaan Diabetes, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, “Terdapat keperluan mendesak untuk mengutamakan pengurusan kendiri diabetes yang berstruktur bagi mengurangkan beban kewangan, fizikal, dan psikologi penghidap diabetes serta kesannya tehadap sistem penjagaan kesihatan negara.”

“Masalah kesihatan kronik sepanjang hayat seperti diabetes memerlukan keseimbangan yang baik antara pengubahsuaian pemakanan, rejimen kecergasan dan pengurusan diabetes yang dirangka khusus untuk seseorang pesakit.”

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, akses kepada penjagaan diabetes telah disediakan pada harga yang berpatutan. Ini termasuklah sokongan berterusan dalam menggalakkan PwD untuk mematuhi pengurusan diabetes seperti pemantauan glukosa di rumah, rawatan susulan berjadual dengan maklum balas daripada doktor serta jururawat pendidik diabetes.

“Sebagai masalah kesihatan yang kronik, diabetes memerlukan komitmen jangka panjang dari PwD dan keluarga mereka untuk mengelakkan komplikasi. Lambat laun, ini akan membantu menambah baik kesejahteraan PwD dan mengurangkan beban sistem penjagaan kesihatan.

“Maka, sudah tiba masanya kita meneroka cara terbaik bagi membantu PwD mengurangkan cabaran dalam menguruskan keadaan mereka di rumah setiap hari selain memperkasakan mereka untuk menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.

Koh menambah, “Di sinilah iPDM memainkan peranannya. Apabila BGM disambungkan kepada aplikasi pengurusan diabetes, maklumat terapi yang relevan untuk perhatian anggota penjagaan kesihatan dan penjaga pesakit akan tersedia di satu tempat, yang membolehkan mereka menyokong PwD dalam perjalanan pengurusan diabetes melalui pelarasan atau penyesuaian terapi yang tepat pada masanya.

“Menghubungkan data pemantauan glukosa darah yang penting ini boleh membawa kepada tahap kesihatan dan kualiti hidup yang lebih baik. Bahkan, PwD juga akan berasa lega apabila mengetahui tindakan proaktif mereka mempunyai kesan langsung dalam mengelakkan komplikasi diabetes. Ini semua adalah untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan baik – situasi menang-menang dalam setiap keadaan.”

Mengulas tentang kerjasama antara anggota penjagaan kesihatan dan pesakit, Jururawat Yong Lai Mee, Presiden Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES), Jururawat Kanan Pendidik Diabetes dan Pengurus Perkhidmatan Penjagaan Diabetes, di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), berkata, “Pada asasnya, pendekatan iPDM membantu membina rangkaian penjagaan dan sokongan yang kukuh untuk komuniti diabetes iaitu antara pesakit, penjaga, dan anggota penjagaan kesihatan.

“Setiap dari kita mempunyai peranan dalam membimbing pesakit meniti perjalanan pengurusan diabetes mereka. Bukan mudah mengharungi laluan yang dipenuhi cabaran fizikal dan psikologi.

Oleh kerana perjalanan setiap orang itu berbeza, maka kita perlu menyesuaikan terapi rawatan mengikut keperluan mereka. Dalam pengurusan diabetes, tiada istilah “satu solusi untuk semua”.

“Sebagai jururawat pendidik diabetes, kami bertuah dapat mendampingi penghidap diabetes dan penjaga mereka untuk mendidik, memberi galakan, dan memotivasikan mereka supaya memahami regim pengurusan diabetes dan mematuhinya.

“Saya juga mahu menegaskan betapa pentingnya peranan penjaga PwD. Mereka adalah orang yang paling rapat dan boleh mempengaruhi PwD dalam membuat pilihan gaya hidup yang lebih sihat. Mereka memainkan peranan utama dalam menghubungkan anggota penjagaan kesihatan dengan maklumat yang boleh dikumpulkan dan dianalisis untuk penyesuaian terapi serta penjagaan pesakit yang lebih baik.

“Perjalanan pengurusan diabetes seseorang itu pastinya akan menjadi lebih baik dan sihat apabila kita semua bersatu untuk menguruskan masalah kesihatan mereka. Ia akan mengurangkan beban pengurusan diabetes sama ada pada pesakit itu sendiri mahukan sistem penjagaan kesihatan,” jelas Yong.

Landskap Diabetes

Atlas Diabetes IDF edisi ke-10 terbitan Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) melaporkan peningkatan prevalens diabetes yang berterusan di peringkat global, sekaligus mengesahkan diabetes sebagai cabaran global yang signifikan terhadap kesihatan dan kesejahteraan individu, keluarga serta masyarakat1.

Sehingga 2021, seramai 537 juta orang dewasa di seluruh dunia, berumur antara 20-79 tahun menghidap diabetes. Ini bermakna, kadar prevalens (kelaziman) ialah 1 dalam kira-kira 10 orang (10.5%) menghidap diabetes. Ia dijangka akan meningkat kepada 643 juta pada 2030 dan mencecah 783 juta menjelang 2045, iaitu peningkatan sebanyak 46%1. Prevalens di Malaysia juga agak membimbangkan kerana 1 dalam 5 orang menghidap diabetes (18.3%) dengan hampir 3.9 juta orang dewasa berumur 18 tahun dan ke atas hidup sebagai pesakit diabetes. Angka yang kita catatkan ini hampir dua kali ganda berbanding prevalens global3.

Oleh itu, penjagaan berorientasikan pesakit dan berasaskan data yang disepadukan dengan kerjasama anggota penjagaan kesihatan adalah cara yang berkesan dalam usaha menangani penyakit diabetes yang menjadi cabaran penjagaan kesihatan. Melalui penggunaan teknologi terbuka dan saling boleh kendali, yang sentiasa dihubungkan kepada anggota penjagaan kesihatan, penghidap diabetes dan sistem yang memanfaatkan kuasa teknologi, struktur penjagaan kesihatan dilihat dapat merapatkan jurang untuk menyokong pesakit, tidak kira di mana pun mereka berada.

#UnitedWeManageDiabetesBetter
#ConnectingWhatCounts
#DiabetesCare

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM