BMW MOTORRAD MALAYSIA MENGANJURKAN ACARA SULUNG BMW CE 02 FUN CHALLENGE DAN BMW CE 04 TEST RIDE
BMW Motorrad Malaysia menganjurkan BMW CE 02 Fun Challenge buat julung kalinya pada 17 Ogos 2024. Acara menarik ini menawarkan peluang unik kepada peminat motosikal dan pengunjung untuk merasai teknologi canggih serta prestasi motosikal elektrik luar biasa keluaran BMW Motorrad Malaysia iaitu BMW CE 02 dan BMW CE 04.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Komitmen kami untuk 'Make Life A Ride' tidak hanya tertumpu pada pengenalan motosikal premium yang merangkumi inovasi, integrasi elektrik, dan prestasi, tetapi juga pada dedikasi kami untuk meningkatkan penanda aras pengalaman menunggang bagi peminat motosikal tempatan. Ia merupakan satu penghormatan berpeluang menganjurkan BMW CE 02 Fun Challenge yang pertama bersama-sama komuniti penunggang motosikal untuk mempamerkan semangat inovatif BMW Motorrad Malaysia. BMW CE 02 mewakili masa hadapan mobiliti bandar. Model ini menggabungkan keseronokan, ciri serba boleh dan kemampanan dalam sebuah eParkourer yang revolusioner, manakala BMW CE 04 pula mengintegrasikan reka bentuk menawan dan ketersambungan pintar yang mencerminkan kepimpinan inovatif jangka panjang kami dalam segmen tersebut. Acara ini merupakan bukti komitmen kami untuk menerajui mobiliti elektrik, dan kami teruja untuk melihat barisan model ini memberi nafas baharu terhadap pengalaman menunggang di Malaysia.”
Acara yang berlangsung dari jam 9 pagi hingga 10 malam itu menampilkan hari yang padat dengan pelbagai aktiviti mengujakan dan pengalaman secara langsung. Sesi pagi dikhaskan untuk pengedar BMW Motorrad, yang mengambil bahagian dalam sesi kelas khas EV Knowledge yang bertujuan meningkatkan kepakaran mereka dalam kenderaan elektrik. Pada masa yang sama, para pengedar juga menyertai BMW CE 02 Fun Challenge, yang menyaksikan mereka menguji kemahiran di litar yang ditetapkan menggunakan BMW CE 02.
Selain itu, para hadirin juga berpeluang menguji BMW CE 04 di jalan raya untuk mendapatkan pengalaman menunggang skuter elektrik yang inovatif dengan kuasa dan jarak bersesuaian bagi tunggangan yang lancar di persekitaran bandar sebenar. Aktiviti ini juga merupakan peluang yang baik buat peminat skuter elektrik baharu untuk merasai menunggang BMW CE 02 dan BMW CE 04, dalam membandingkan dan menentukan model yang sesuai buat penggunaan harian mereka.
BMW CE 02 Fun Challenge bukan sahaja menonjolkan ciri eParkourer yang menyeronokkan dan serba boleh, tetapi juga mempamerkan komitmen BMW Group Malaysia terhadap mobiliti mampan, di samping mendefinisikan semula pengalaman menunggang di bandar.
Comments
Post a Comment