EKSKLUSIF: 10 PERKARA TENTANG TAIWAN YANG PALING DIGEMARI OLEH NABILA RAZALI
Nabila Razali, penyanyi serta pelakon popular Malaysia dengan lebih daripada 3.5 juta pengikut media sosial, telah dilantik sebagai Duta Pelancongan Muslim Malaysia untuk Taiwan 2024. Majlis pengumuman perlantikan telah diadakan di sebuah hotel ternama di Taipei pada 22 Ogos lalu dan team Femag Online berpeluang untuk menghadiri acara tersebut serta menyaksikan pelancaran video promosi pelancongan baharu “Jom Taiwan!”, yang dibintangi oleh yang tidak lain, tidak bukan – Nabila Razali!
Kami sempat bertanyakan 10 perkara tentang Taiwan yang menjadi kegemaran Nabila! Jom kita baca!
1. Tempat Menarik Yang Wajib Dikunjungi - Ximending
Ximending merupakan sebuah daerah yang trendy di Taipei yang menggabungkan budaya, beli-belah dan hiburan di satu lokasi. Ia sentiasa meriah dengan aktiviti hiburan jalanan dan beraneka kedai serta restoran. Dari butik fesyen mewah ke stor vintaj yang unik, Ximending menawarkan pengalaman beli-belah yang memenuhi segala cita rasa dan bajet!
Imej: Fried Chicken Master |
2. Makanan – Ayam Goreng Taiwan
Lembut di dalam, rangup diluar! Lazimnya diperap dengan sos perapan berasaskan kicap soya manis dan masin, ayam goreng Taiwan terkenal dengan perisa unik dan berbeza dengan ayam goreng dari negara lain. Salah satu jenama ayam goreng halal yang terkenal di Taiwan, khususnya di Taipei adalah Fried Chicken Master. Jangan lupa untuk mencubanya di Taiwan!
Nabila dalam sesi mambancuh Teh Boba di majlis pelancaran kempen 'Jom Taiwan'. Imej: Taiwan Tourism MY |
3. Minuman – Teh Boba
Di mana lagi kita boleh dapatkan minuman teh boba yang sedap kalau bukan di tempat kelahiran minuman kegemaran ramai ini? Pelbagai jenama Teh Boba boleh didapati di Taiwan, dengan pelbagai perisa dan juga ”topping” yang enak! Antara jenama yang terkenal adalah Chaffee, Gong Cha, CoCo, 50嵐 (50 Lan), Xin Fu Tang dan banyak lagi!
Imej: Tripadvisor |
4. Restoran – Restoran Da’an Halal Chinese Beef Noodles
Restoran yang bertaraf Bib Gourmand ini terletak di Jalan Yanji, Daerah Da'an di Taipei menawarkan hidangan asli Taiwan yang telah menjadi kegemaran ramai sejak lebih enam dekad yang lalu. Anda harus mencuba mi sup daging yang diperbuat daripada daging lembu halal Taiwan yang telah direneh seharian untuk menghasilkan perisa sup yang hebat!
Imej: Klook |
5. Aktiviti Liburan – Berkanu di Houbihu
Houbihu adalah sebuah dermaga nelayan yang indah yang terletak di Taman Negara Kenting. Airnya yang jernih dan persekitarannya yang indah menyebabkan ramai pelancong yang berkunjung ke sini untuk aktiviti sukan. Saksikan dari dekat ikan, hidupan air yang lain dan batu karang yang berwarna-warni jika anda bersnorkeling di sini. Kepada mereka yang gemarkan aktiviti berkanu seperti Nabila, anda wajib mencuba kanu lutsinar yang membolehkan anda melihat ke dasar laut ketika mendayung!
Imej: Taipei Travel Geek |
6. Tempat Shopping - Xinyi Shopping District
“Shop Until You Drop” di 14 buah pusat beli-belah di Xinyi Shopping District di Taipei. Syurga beli-belah ini terkenal dengan gedung beli-belah jenama mewah dengan seni bina moden dan juga restoran bertaraf antarabangsa. Bukan sahaja jenama mewah, jenama tempatan yang unik juga didapati di kedai-kedai di mall pejalan kaki. Antara mall yang harus dikunjungi di sini ialah Taipei 101 Mall, Breeze Nan Shan, Breeze Xinyi, ATT 4 FUN, Eslite Spectrum Xinyi dan banyak lagi.
Photo by Peter Chou |
7. Pasar Malam - Lehua Night Market
Lehua Night Market terletak di daerah Ximending di Taipei yang terkenal dengan kedai-kedai trendy, teater dan juga hiburan malam yang meriah. Pasar malam ini beroperasi di sepanjang Jalan Lehua yang hanya dibuka kepada pejalan kaki di waktu petang. Inilah tempatnya untuk mengenali budaya Taiwan dengan lebih dekat dengan mencuba makanan jalanan yang enak, mendapatkan cenderahati untuk dibawa pulang dan bersiar-siar sambil cuci mata!
Image by 亮 何 from Pixabay |
8. Bangunan ikonik - Taipei 101
Taipei 101 merupakan destinasi yang wajib untuk dilawati untuk setiap pelancong ke Taipei, Taiwan! Saksikan sendiri seni bina yang canggih dan rekaan unik yang diinsiprasikan dari buluh, satu lambang pertumbuhan dan ketahanan diri. Bangunan pencakar langit ikonik ini menawarkan pemandangan panoramik 360 darjah di dek pemerhatian di tingkat 89. Selain itu, Taipei 101 juga mempunyai sebuah pusat beli-belah yang bertaraf antarabangsa, restoran-restoran berprestij dan juga pameran interaktif di tingkat bawahnya.
Imej: fabulaformosa.com |
9. Ole-ole unik – Beg Gaji
Beg berwarna-warni ini merupakan aksesori fesyen yang digemari warga Taiwan dan juga para pelancong! Beg gaji, pada asalnya digunakan oleh para petani dan surirumah di zaman dahulu kini telah berevolusi menjadi symbol ikon yang bergaya bagi warisan Taiwan. Dahulunya, beg ini diperbuat daripada serat rumput Cyperus malaccensis, tetapi kini ia dimodenkan dengan fabrik nylon. Bawalah pulang beg gaji ini sebagai cenderahati kepada orang yang tersayang. Ia bukan sahaja bergaya tetapi praktikal dan tahan lama! Nabila Razali approved!
Imej: @jerryyan143 |
10. Artis Taiwan - Jerry Yan
Pelakon drama bersiri “Meteor Garden” (era 2000-an) dan juga anggota boyband F4, Jerry Yan menjadi pilihan kegemaran Nabila Razali. Terkenal dengan personaliti berkarisma, bakat lakonan semula jadi dan wajah yang tampan, Jerry Yan telah menjadi artis Taiwan yang menjadi kegilaan ramai gadis-gadis di serata dunia. Beliau masih lagi aktif di dunia lakonan di Taiwan.
Adakah anda bersedia untuk mengikuti langkah Nabila dan menikmati percutian yang sukar dilupakan di Taiwan? Jom Taiwan!
Di samping video promosi yang menampilkan Nabila Razali, Pentadbiran Pelancongan Taiwan juga melancarkan Panduan Percutian Muslim yang baharu dan kempen pengundian “72 jam di Taiwan”.
Imej: Taiwan Tourism MY |
Kempen ini menggalakkan warga Malaysia untuk melayari laman web https://72jamditaiwan.my dan mengundi jadual perjalanan ke Taiwan kegemaran mereka. Mereka yang menyertai undian ini berpeluang untuk memenangi percutian mewah selama tiga hari, dua malam untuk dua orang di Taiwan atau tiket pergi dan balik!
Untuk maklumat lanjut, sila layari:
Laman web rasmi: https://www.taiwan.net.my
Facebook: https://www.facebook.com/TaiwanTourismMY
Instagram: https://www.instagram.com/taiwantourismmy/
Comments
Post a Comment