KEMUNCULAN EPIK DUO ROCKERS ‘BUCK & AWAS’ TAMPILKAN LAGU 'NAIK HANTU' UNTUK FILEM 'PONTIANAK 200KG'

 


“Fulamakk brader! Dia punya layan tak buleh blah!’ Feel beb.” Dengan rambut mengerbang bagaikan ditiup angin dari helikopter, jaket kulit tebal, seluar sendat, buckle tali pinggang sebesar penumbuk dipadankan dengan aksesori buatan dari besi-besi, berkasut boots macam nak naik kuda, kaki kepit….itulah jiwa kental bakat baru di bawah naungan Alternate Records & Talents, Buck & Awas. Bersedia untuk layan Rock Kapak? … Ini bukan cebisan kisah daripada lipatan sejarah. Ini betul-betul Duo Rockers yang tampil dengan single terbaharu ‘Naik Hantu’, yang akan membuat lu orang semua terangkat dan naik hantu bersama-sama!

Siapa sangka persembahan cincai-cincai mereka dalam acara di team building syarikat, akhirnya mencetuskan minat pihak pengurusan, yang kemudiannya terus mengangkat mereka sebagai talent. Ibarat keluar dari zon selesa, dari kerja di belakang tabir ke depan mikrofon, kini Buck & Awas melangkah tanpa menoleh ke belakang. Bukan berhasrat untuk bersaing dengan bakat-bakat baru BBNU (budak baru nak up) generasi Z, tetapi peluang dibuka untuk Buck & Awas mencuba apa yang pernah mereka impikan suatu ketika dahulu.

"Jujurnya, kami bukanlah penyanyi profesional. Bila pertama kali dengar demo lagu ni, hati terus berdetak! Macam-macam perasaan bercampur sebab suara kami bakal dirakamkan secara profesional," kongsi Buck & Awas. Dari beberapa sesi ujian vokal yang santai tapi bermakna, akhirnya mereka berpeluang merekodkan lagu di studio. Hasilnya? ‘Naik Hantu’ versi rock yang padu dan penuh energi!

Buck & Awas mula dikenali dalam dunia hiburan dengan mencipta konten viral bersama artis-artis terkenal di Anugerah Juara Lagu 38 yang lalu. Mereka kemudiannya tampil sebagai cameo dalam drama aksi kepolisan ‘Polis Peronda’ yang juga merupakan pengalaman pertama dalam lakonan. Kini, mereka terjun pula ke bidang nyanyian dengan lagu cover pertama berjudul ‘Naik Hantu’ versi rock, yang turut menjadi runut bunyi filem ‘Pontianak 200kg’, dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin.

‘Naik Hantu’ versi Buck & Awas, yang menggabungkan elemen rock dan rap dengan sempurna dan bertenaga adalah hasil idea daripada pengarah muzik terkenal Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K sebagai komposer bersama dengan kerjasama Alternate Records & Talents. Genre rock ini dipilih kerana bersesuaian dengan karakter Buck & Awas yang penuh semangat selain dari keunikan suara mereka yang penuh karektor yang mampu menyampaikan genre muzik ini dengan bertenaga.

Dua kali sesi rakaman dan hampir tujuh jam berkampung dalam studio untuk menghidupkan lagu ni. "Bagi kami yang baru ni, menyanyi bukan mudah, bro. Lebih-lebih lagi untuk lagu yang fast beat macam ni. Nak kawal pernafasan lagi! Ada tiga kali high note yang buat kami rasa macam nak 'naik hantu' sendiri!" gelak Buck & Awas, mengingatkan cabaran di studio.

"Rakaman ni satu pengalaman luar biasa buat kami," tambah mereka. "Iqie Hugh sebagai producer sangat humble dan supportive walaupun kami ni macam baru belajar merangkak dalam dunia seni. Kalau diberi peluang lagi, kami pasti nak bekerjasama balik dengan team ni!" tambah mereka.

"Korang semua wajib dengar lagu dari vokal pertama kami ni! Gabungan rock dan rap! Satu parodi genre lain yang memang fresh dengan lirik yang catchy. Nostalgia rock zaman dulu tapi dengan vibe moden. Memang lagu santai dan menghiburkan tanpa unsur berat," kata mereka.

Kalau korang suka, kita boleh explore lebih jauh, mungkin pop rock pula lepas ni!" kata Buck & Awas penuh semangat.

Menurut Iqie Hugh, idea versi rock tercetus untuk mencipta satu tarikan baru bagi lagu ini. "’Naik Hantu’ versi rock ni memang kena dengan identiti Buck & Awas yang kelakar, bersahaja, dan penuh nostalgia rock zaman dulu. Dia orang memang duo yang sempurna, pemalu sebelum in character, tapi bila on, memang lain macam!"

Dengan hanya dua sesi rakaman dan tempoh pembikinan tiga minggu, Buck & Awas sudah menunjukkan bakat dan profesionalisme yang luar biasa. "Mereka betul-betul bawa vibe yang unik ke dalam studio. Tak sabar nak lihat penerimaan pendengar," tambah Iqie.

’Naik Hantu’ bukan sekadar lagu rock biasa. Ia membawa mesej yang jelas, dalam setiap situasi, jangan bertindak melulu. Fikir dulu sebelum buat keputusan. "Untuk Buck & Awas, teruskan berkarya dan menghiburkan rakyat Malaysia. Langkah pertama selalu sukar, tapi itulah yang paling penting," pesan Iqie Hugh.

Untuk menghidupkan lagi ‘Naik Hantu’, muzik video rasmi telahpun ditayangkan di platform YouTube Buck & Awas Official. Muzik video ini membawa kita ke dunia filerm seram komedi Pontianak 200kg, di mana latar masa berlaku pada waktu malam untuk mengekalkan mood seram yang bersesuaian dengan lagu ini. Dirakam satu malam sahaja, gaya visual dipenuhi dengan pencahayaan lampu yang dramatik, sambil menyelitkan petikan babak menarik dari filem tersebut. Persembahan Buck & Awas dilakukan di lokasi yang mempunyai elemen rustic dan vintage, dengan imbasan pontianak yang secara berterusan memerhatikan mereka, menambahkan lagi elemen seram dalam muzik video ini.
Bersedialah untuk dihiburkan dengan ‘Naik Hantu’ versi rock oleh Buck & Awas. Lagu ni bukan sekadar muzik, ia adalah cerita, cabaran, dan keberanian untuk melangkah ke hadapan!

"Apa lagi lu orang tunggu? Jom kasi ‘Naik Hantu’ dengan Buck & Awas sekarang!"

Jangan lepaskan peluang untuk mendengar lagu cover versi rock ‘Naik Hantu’ nyanyian Buck & Awas yang telah mula rancak bergegar di pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian seperti Spotify dan YouTube Music. Ayuh saksikan filem komedi seram ‘Pontianak 200kg’ yang akan ditayangkan pada 5 September 2024 di pawagam seluruh Malaysia .

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok. Dan juga, jangan lupa ikuti Buck & Awas di Instagram @buck_awas dan TikTok @buck.awas.

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

ASTRO DAN SUN NXT BEKERJASAMA BAWAKAN HIBURAN INDIA TERBAIK UNTUK RAKYAT MALAYSIA

BERMULANYA ‘ASTRO SHAW CINEMATIC UNIVERSE’ : KELUANG MAN MENGAKTIFKAN PENGALAMAN PERTAMA SUPERHERO MALAYSIA MELANGKAUI LAYAR