‘NAIK HANTU’ - PADUAN SUARA SHIHA ZIKIR DAN AYA AMIRUDDIN UNTUK LAGU RUNUT BUNYI FILEM TERBAHARU PONTIANAK 200KG


Pernahkah anda membayangkan Shiha Zikir dan pempengaruh media sosial yang sedang meningkat naik, Aya Amiruddin berduet dalam satu lagu? Kolaborasi impian yang unik ini akhirnya tercapai menerusi lagu ‘Naik Hantu’, lagu runut bunyi filem Pontianak 200KG. Gabungan suara merdu Shiha Zikir dan rap energetik Aya Amiruddin dalam lagu terbaru ‘Naik Hantu’ di bawah syarikat rakaman Alternate Records, bakal meremangkan carta lagu!

‘Naik Hantu’ lagu bergenre Pop Rock telah berkumandang sejak 24 Julai lalu, ciptaan Iqie Hugh, Shazriq Azeman, dan Omar K, diinspirasikan daripada elemen seram dan jenaka untuk filem Pontianak 200KG.

Dengan lirik yang catchy tetapi seperti menyimpan sedikit misteri dan irama yang menular, ‘Naik Hantu’ berhasil menciptakan atmosfera menyeramkan tetapi menghiburkan dan dijamin akan membuat pendengar terhibur dan ikut bergoyang.

Lagu ‘Naik Hantu’ mengisahkan percintaan yang pada mulanya kelihatan tenang dan indah, tetapi lama-kelamaan menyedari ada keburukan pada pasangannya. Lagu ini menyampaikan mesej bahawa kita tidak boleh terburu-buru dalam membuat kesimpulan dan harus menyelidik punca sebenar sesuatu kejadian.

Menurut komposer Omar K, “Keunikkan Shiha Zikir dan Aya adalah kerana mereka berbakat bukan sahaja dalam nyanyian tetapi juga lakonan yang mana kelebihan ini menjadikan penyampaian dalam lagu lebih bagus. Mereka memahami jalan cerita dan boleh mengilai seperti dalam filem, membuatkan proses rakaman lebih mudah, dan riuh rendah dibuatnya.”

Penyanyi terkenal Shiha Zikir sangat teruja dengan peluang menyanyikan lagu ini dan menyatakan bahawa ini adalah single ketiganya bersama Alternate Records tetapi pertama kali berkolaborasi dengan Aya, “Ini merupakan kali pertama saya berduet dengan Aya Amiruddin, dan sesi rakaman kami selesai dalam masa kurang dari 2 jam. ”

Cabaran terbesar bagi Shiha adalah bahagian nyanyian yang memerlukan dia ketawa seperti pontianak. Namun, dia sangat bangga dengan hasil akhir lagu ini yang pertama kali digandingkan dengan elemen gelak dan bunyi pontianak. “Lagu ini sangat unik dan mencabar, terutama dengan keperluan gelak sendiri dalam bahagian ‘ha ha ha’. Ia sangat fun dan bertambah menarik dengan kehadiran Aya yang ceria. Saya berharap lagu ini akan berjaya di AJL dan diterima baik oleh peminat di luar negara,” ujar Shiha Zikir dengan penuh semangat.

Manakala Aya yang pertama kali bekerjasama dengan Alternate Records dan juga mengeluarkan single, sangat bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Berkongsi pengalaman ketika sesi rakaman dan bekerjasama dengan komposer, Aya mengakui kesulitannya mengimbangi rap dengan irama lagu, “Cabaran terbesar bagi saya adalah bahagian rap. Kadang-kadang, sukar untuk mengawal nafas dengan beat lagu. Nak kejar nafas, beat tinggal belakang. Nak kejar beat, nafas pulak tertinggal. Apapun pengalaman rakaman di studio sangat seronok dan tidak ada tekanan. Mereka benar-benar membimbing saya sepanjang rakaman," tambahnya sambil tertawa.

Menariknya, Aya Amiruddin juga memegang watak utama dalam filem Pontianak 200KG yang akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 5 September 2024 yang menambah lagi keistimewaan dan daya tarik lagu ini! Unsur hiburan seperti ketawa mengilai ala-ala pontianak dalam filem, menjadikan lagu ini lebih unik dan menarik perhatian.

“Aya masih setahun jagung dalam industri ini, dan dengan berada di tahap sekarang, dapat memegang watak utama dalam filem ‘Pontianak 200KG’ dan dapat menyanyikan lagu runut bunyi filem bersama penyanyi terkenal seperti Kak Shiha sudah merupakan kejayaan terbesar bagi Aya. Semua sokongan daripada peminat ialah anugerah terbesar yang diberikanNYA kepada saya,” tambahnya. Beliau berharap lagu ini dapat membuka lebih banyak peluang dalam industri muzik dan mungkin dapat mencuba bidang nyanyian pula kerana dia sangat menyukai nyanyian.

Filem ‘Pontianak 200KG’ adalah sekuel kepala Pontianak 100KG dan kali ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Aya Amiruddin, Dottie, Ropie, Ziana Zain, Apich Lo, Niezam Zaidi, Wanns Ahmad, Maliababy, Shaf Naufas, dan ramai lagi. Lagu runut bunyi filem ‘Naik Hantu’ pasti akan menambahkan lagi kehebatan filem ini dan membuat penonton terhibur. Sementara menantikan tayangan filem, nikmati dulu lagu ‘Naik Hantu’ yang dinyanyikan oleh Shiha Zikir dan Aya Amiruddin. Kini, boleh didengari melalui pelbagai aplikasi dan platform penstriman dalam talian.

Untuk maklumat terkini berhubung Alternate Records & Talents, layari akaun rasmi media sosial Facebook, @alternate.my_ di Instagram, dan @alternate.rt_ di TikTok.

Comments

Popular posts from this blog

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KENALI ISMAIL ZAIN DALAM PAMERAN “MEMBAYANG MAKSUD”

PONTIANAK 200KG - FILEM KOMEDI PALING BERAT ABAD INI BAKAL MENGGIGIT DI PAWAGAM MULAI 5 SEPTEMBER