KEMPEN JUALAN AKHIR TAHUN MALAYSIA 2024: TAWAR PENGALAMAN BELI-BELAH & MELANCONG YANG TIADA TANDINGAN


Tourism Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2024 (Malaysia Year End Sale – MYES 2024) dengan kerjasama Mastercard serta lebih 60 penggiat industri pelancongan yang terdiri daripada pusat beli-belah, peruncit, hotel dan syarikat penerbangan. 

Berlangsung dari 15 November 2024 sehingga 1 Januari 2025, MYES 2024 menawarkan pengalaman beli-belah dan melancong yang tiada tandingan, merangkumi pelbagai penawaran barangan, penginapan, pengangkutan serta makanan dan minuman. Lebih 130 aktiviti dan promosi menarik menanti para pelancong yang berkunjung ke pusat beli-belah di seluruh negara sepanjang tempoh tersebut. 

Kempen ini mendapat sokongan sepenuhnya daripada rakan industri seperti Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK Malaysia), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Malaysia Aviation Group (MAG). 

MYES 2024 menjanjikan pelbagai tawaran istimewa termasuklah 
  • Diskaun hebat: Potongan diskaun sehingga 90 peratus untuk produk terpilih di pusat beli-belah dan peruncit yang mengambil bahagian. 
  • Cabutan bertuah: Setiap pembelian berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah hebat termasuk kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis GWM HAVAL H6 HEV dan Toyota Vellfire serta banyak lagi di pusat beli-belah terpilih. 
  • Sesi jatuhan belon: Penyertaan dalam aktiviti mendebarkan ini di pusat beli belah terpilih berpeluang untuk memenangi hadiah keseluruhan bernilai RM20,000. 
  • Promosi istimewa mingguan: Tawaran eksklusif melibatkan produk kecantikan, pakaian, aksesori, peralatan rumah dan barangan elektronik. 
  • Reruai barangan berjenama: Pelbagai seleksi pilihan automobil, gajet, barangan IT, hiasan dalaman, fesyen serta barangan kesihatan dan kosmetik. 
  • Persembahan konsert: Persembahan menarik daripada artis-artis terkenal. 
Pelancong asing juga boleh mendapatkan tawaran pembelian eksklusif dengan hanya menunjukkan pasport mereka di kaunter khidmat pelanggan di pusat beli-belah yang mengambil bahagian. 

Bagi memperhebat pengalaman beli-belah kali ini, sebanyak 7 acara jualan tengah malam akan diadakan di Aeon Mall Tebrau City (29-30 November), Mitsui Outlet Park KLIA Sepang (29-30 November), Freeport A’Farmosa Outlet Park (21 Disember), Noor Arfa Craft Complex Kuala Terengganu (21 Disember), Aeon Mall Kota Bharu (24 Disember), Sutera Mall Johor Bahru (31 Disember) dan The Exchange TRX (31 Disember). 

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) pula menawarkan penjualan harga tiket menarik dari beberapa destinasi antarabangsa terpilih seperti United Kingdom, Korea, China, Jepun, Taiwan, India, Hong Kong, Indonesia, Vietnam dan Australia ke Malaysia dengan penyambungan penerbangan domestik ke Langkawi, Pulau Pinang, Johor Bahru dan banyak lagi. Air Asia Ride turut menawarkan penebusan kod promosi bagi memudahkan pergerakan pelancong ke pusat beli-belah yang mengambil bahagian. 

Selain pengalaman beli-belah, hotel-hotel terlibat juga menawarkan pakej penginapan istimewa termasuk afternoon tea, snack pack dan buffet dinner untuk keluarga atau pasangan. Bukan itu sahaja, terdapat juga hotel yang menawarkan daftar keluar lewat sehingga jam 4.30 petang. 

Keseronokan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pelancongan yang ditawarkan seperti lawatan ke zoo dan Natural Batik Village, berkayak di hutan paya bakau, bermain golf dan ATV, menikmati seni jalanan, selam snorkel dan menyusuri sungai. 

YBrs. Dr. Yasmeen binti Yasim, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya berkata: “Aktiviti beli-belah merupakan komponen penting bagi industri pelancongan Malaysia. Dari Januari hingga September 2024, jumlah perbelanjaan pelancong mencecah hingga RM26.98 bilion iaitu peningkatan sebanyak 63% berbanding RM16.56 bilion yang dicatatkan untuk tempoh sama pada tahun 2023. “Segmen ini menjadi penyumbang utama kepada pendapatan pelancongan iaitu mewakili 36.8% daripada jumlah keseluruhan RM73.2 bilion pendapatan pelancongan yang direkodkan bagi tempoh ini. Oleh itu, saya yakin angka ini akan terus meningkat sekali gus memperkukuh perkembangan segmen ini, lebih-lebih lagi selepas kita menganjurkan semula kempen Malaysia Mega Sale 2024,” katanya. 

Bagi mendapatkan senarai lengkap berkaitan aktiviti dan tawaran hebat bersempena penganjuran MYES 2024, sila layari https://www.malaysia.travel/explore/national-sales-campaign.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?