NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN
Meneruskan kesinambungan kepada usaha bantuan banjir di Kedah baru-baru ini, Nestlé meneruskan kerjasama sedia terjalin dengan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) menyantuni komuniti terjejas semasa musim tengkujuh. Dengan matlamat untuk menghulurkan bantuan yang amat diperlukan mereka yang terjejas akibat banjir, inisiatif ini mencerminkan kerjasama utuh antara Nestlé Malaysia dan BSMM yang dibina atas matlamat bersama dan komitmen tidak berbelah-bahagi kedua-dua organisasi membantu komuniti yang dilanda musibah.
Misi bantuan banjir terbaharu kali ini menghimpunkan sukarelawan Nestlé Cares bersama-sama BSMM membungkus 5,000 kotak bantuan makanan asas untuk diagihkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di kawasan Pantai Timur dan di kawasan lain yang terjejas. Setiap kotak mengandungi rangkaian produk Nestlé termasuk MILO, MAGGI, NESCAFÉ, NESTUM, NESTLÉ GOLD Cornflakes, susu EVERYDAY dan NESTLÉ OMEGA PLUS, memberikan sokongan nutrisi dan daya tahan kepada seluruh keluarga berdepan waktu sukar begini.
Inisiatif ini mewakili sumbangan besar produk dalam bentuk barangan dan sumbangan kewangan bernilai RM2 juta, yang merupakan sebahagian daripada jumlah keseluruhan sumbangan Nestlé Malaysia kepada BSMM sebanyak RM4 juta untuk tahun 2024.
Encik Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, berkata, “Sebagai sebuah syarikat yang berakar umbi di Malaysia yang telah bertapak selama 112 tahun, kami terus terlibat secara proaktif dalam menyokong komuniti terutamanya apabila berdepan saat-saat mencabar dan memerlukan. Musim tengkujuh memberi cabaran besar kepada sebahagian rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berada di kawasan Pantai Timur. Kerjasama berterusan dengan BSMM membolehkan kami menghulurkan bantuan tepat pada masanya memastikan penduduk terjejas banjir mempunyai akses kepada makanan berkhasiat di saat memerlukan. Setinggi-tinggi penghargaan saya tujukan kepada sukarelawan kami yang berdedikasi yang telah sekali lagi berganding bahu membungkus 5,000 pek bantuan makanan yang akan dihantar ke kawasan dilanda banjir secepat mungkin, di bawah penyelarasan rapi BSMM.”
Yang Teramat Mulia Tunku Puteri Intan Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi BSMM, mengulas, “Sokongan konsisten Nestlé Malaysia dalam misi bantuan banjir merupakan talian hayat, membantu kami meluaskan jangkauan untuk memberikan bantuan berkesan kepada penduduk terjejas banjir. Sumbangan ini meringankan beban dan berperanan penting dalam memulihkan harapan bagi isi rumah yang dilanda musibah. Melalui kerjasama kukuh seperti ini, kita berupaya melakukan perubahan yang bermakna.”
Inisiatif bantuan banjir ini bukan sahaja mempamerkan dedikasi Nestlé Malaysia untuk mengangkat martabat rakyat Malaysia tetapi menyerlahkan kekuatan perpaduan dalam menangani cabaran nasional. Melalui usaha sebegini, selain pelbagai inisiatif CSR dan ESG, Nestlé Malaysia kekal teguh dalam misinya menerajui usaha murni, selari hasrat globalnya untuk meneroka potensi makanan untuk meningkatkan kualiti hidup semua untuk hari ini dan generasi akan datang.
Comments
Post a Comment