KHAI BAHAR & WANY HASRITA BERPADU SUARA DALAM “BERBAGI HATI” SINGLE TERBAHARU OST DRAMA “BERBAGI SUAMI”
Pemenang trofi bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-35 (ABPBH35) yang diadakan baharu-baharu ini, Khai Bahar, sekali lagi berpadu suara dengan penyanyi wanita tanah air, Wany Hasrita dalam single terbaharu berjudul “Berbagi Hati” hasil ciptaan komposer berpengalaman, Amylea, terbitan label rakaman terkenal tanah air, Sony Music Malaysia.
Lagu ini juga turut menjadi runut bunyi asli (OST) bagi drama bersiri “Berbagi Suami”, adaptasi drama “sinetron” dari seberang yang bakal ditayangkan pada 2 Disember 2024 ini, hasil kerjasama di antara Astro Prima dan Radiusone.
“Ini merupakan kali kedua saya bergandingan dengan Wany Hasrita secara ‘rasmi’ dalam sebuah single. Sebelum ini pun, saya sering berduet dengan Wany dalam pelbagai acara pentas sama ada di Malaysia mahupun Singapura. Wany merupakan penyanyi seangkatan dengan saya kerana kami mula-mula menapak dalam industri muzik sekitar tahun 2016,” kongsi Khai.
Menurut Wany, pelawaan dari pihak Sony Music Malaysia untuk berduet bersama Khai merupakan sebuah penghargaan besar buat dirinya yang kini bergerak solo, katanya, “Sejujurnya saya sangat berterima kasih buat Sony Music kerana sudi bekerjasama dengan saya untuk menghasilkan single ini. Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menyanyikan karya ciptaan insan-insan hebat, ditambah pula dapat berkolaborasi dengan rakan seni yang mempunyai nama besar seperti Khai Bahar dalam industri muzik kita. Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami ‘berbagi hati’ di tahun 2024 ini.
Lagu “Berbagi Hati” yang dicipta dalam nuansa balada ini mengisahkan tentang hubungan pasangan kekasih ataupun suami isteri yang terikat dengan kenangan silam, masing-masing dibayangi sejarah cinta lalu dan cuba berjuang demi cinta yang baharu. Namun apakah mereka boleh bahagia? Inilah mesej yang cuba disampaikan melalui lagu ini, kompleksiti dalam percintaan, perjuangan emosi dan keinginan untuk bahagia semula.
Khai turut berkongsi pengalaman dapat bekerjasama dengan Wany melalui pengalaman lalu, katanya, “Saya senang bekerjasama dengan Wany kerana sudah lama mengenali diri masing-masing. Nota suara kami juga seakan sama dan serasi apabila digandingkan, terutamanya ketika menyanyikan lagu-lagu bergenre balada dan tradisional.
“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkan lagu ini kerana sudah kenal dengan dinamik suara masing-masing, jadi proses rakaman berlangsung dengan mudah. Selain itu, kami banyak berbincang bagaimana hendak memberi ‘warna’ dalam lagu ini agar setiap karya yang kami nyanyikan bersama nampak berbeza dan tidak kedengaran mendatar.
Sebagai seorang isteri yang kini bergelar ibu dan berkerjaya sebagai penyanyi profesional, Wany turut berkongsi pengalaman perubahan dalam fasa kehidupannya kini, katanya, “Secara jujur, ia bukanlah sebuah proses yang mudah namun mampu untuk dilaksanakan. Saya bersyukur kerana mempunyai ‘support system’ yang kuat, suami dan keluarga banyak membantu.
Selain bernyanyi, Khai juga aktif berlakon dalam beberapa drama bersiri produksi tempatan. “Sebagai anak seni, saya mahukan setiap lakonan mahupun nyanyian mendapat perhatian, jadi besar harapan saya bersama Wany jika lagu ini dapat diterima oleh semua pendengar, semoga penggemar muzik tanah air sukakan lagu ini dan selamat menonton drama bersiri ‘Berbagi Suami’ yang bakal ditayangkan,” akhiri Khai.
Lagu “Berbagi Hati” kini sudah berada di kesemua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox dan Spotify. Manakala muzik video (MV) single ini bakal dilancarkan pada tarikh 29 November 2024 secara eksklusif di YouTube sonymusicMYVEVO.
Comments
Post a Comment