MASDO UNGGULI CARTA SPOTIFY: SENSASI MUZIK MALAYSIA MENGGEGARKAN DUNIA DALAM SPOTIFY WRAPPED 2024
Warner Music Malaysia dengan bangganya mengumumkan bahawa kumpulan muzik retro unik tempatan, MASDO, bukan sahaja berjaya menduduki tangga teratas dalam kategori "Malaysia Top Local Groups of 2024" tetapi juga berjaya berada di kedudukan lima teratas dalam kategori "Malaysia Top Local Artists of 2024" menerusi Spotify Wrapped pada tahun ini.
Pencapaian luar biasa ini menegaskan pengaruh besar kumpulan ini dalam industri muzik tempatan serta sokongan padu daripada peminat setia mereka. Menyertai barisan legenda muzik tanah air seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza, yang memegang rekod sebagai artis paling banyak distrim dalam kategori "Malaysia Top Local Artists of 2024", MASDO telah mencipta kejayaan tersendiri.
Daripada memukau penonton di Indonesia kepada menggegarkan pentas di Mongolia dan Korea Selatan, MASDO telah membawa muzik Malaysia ke persada antarabangsa. Pencalonan mereka untuk kategori "Best Asia Act" di MTV EMA 2024, bersama artis terkenal dari Jepun, Korea Selatan, Filipina, dan Indonesia, semakin mengukuhkan kedudukan mereka sebagai kuasa besar dalam industri muzik Malaysia.
Dengan menutup tirai tahun yang penuh dengan kejayaan, MASDO bersedia untuk meneruskan momentum mereka. Tahun hadapan menjanjikan pelbagai projek menarik, antaranya pelancaran album penuh yang sangat dinanti-nantikan dan siri jelajah menyeluruh di Malaysia, Singapura, serta Indonesia.
Dengan tenaga yang memukau, melodi yang abadi dan bakat yang tidak dapat dinafikan, MASDO bersedia untuk memikat penonton di seluruh dunia dan meninggalkan legasi berkekalan dalam industri muzik.
Comments
Post a Comment