‘TOMORROW IS SPRING’ OLEH KRITYISHAA A/P KARUNAGARAN RANGKUL ANUGERAH HADIAH UTAMA BAGI BMW SHORTIES 2024
Melabuhkan tirai edisi 2024 yang menginspirasikan dengan tema ‘PULSE’, BMW Shorties secara rasminya memperkenalkan Pemenang Hadiah Utama yang terbaharu iaitu ‘Tomorrow is Spring (வருங்காலம் வசந்தகாலம்)’ oleh Krityishaa A/P Karunagaran.
Benjamin Nagel, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “BMW Shorties, inisiatif kebudayaan yang paling lama dianjurkan, merupakan teras dalam usaha kami untuk mencari dan meraikan bakat kreatif yang unggul di Malaysia. Selama 18 tahun, platform ini telah menjadi batu loncatan bagi pengkarya baharu serta memperlihatkan komitmen kami terhadap pemupukan inovasi dan seni. Fokus ini juga diperluaskan melalui inisiatif lain seperti ENvision.NEXT, BMW Technical Trainee, dan program BMW Product Genius, yang direka bagi membangunkan tenaga kerja tempatan yang berkualiti tinggi. Barisan inisiatif yang dilakukan ini menekankan dedikasi kami untuk membangunkan bakat meliputi pelbagai titik interaksi dalam perniagaan, di samping membentuk sebuah masyarakat yang dipacu oleh kreativiti, ketahanan, dan kemajuan.”
Sebuah projek kreatif berdurasi 15 minit yang menumpukan pada perjalanan watak, ‘Tomorrow is Spring’ mengisahkan tentang Menaga, seorang pengawal keselamatan yang berasa serba mencukupi dengan kehidupan yang dibina di flat komuniti. Namun, selepas bertengkar dengan pasangannya, beliau bertekad untuk mengubah kehidupannya. Kisah beliau digarap kemas menerusi jalan cerita yang realistik dan berkisarkan kehidupan harian, serta mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh komuniti berpendapatan rendah di negara ini, dengan memaparkan kisah seorang wanita yang gigih berusaha mengatasi pelbagai rintangan untuk memberikan kehidupan yang lebih baik buat dirinya.
Krityishaa A/P Karunagaran memenangi RM80,000 sebagai sebahagian daripada geran produksi selepas filemnya, ‘Tomorrow is Spring’, dipilih sebulat suara oleh panel juri terkemuka daripada pelbagai bidang dalam industri kreatif Malaysia, termasuk Jeany Amir (Bu, Kasih Suci), Saw Teong Hin (Puteri Gunung Ledang dan You Mean The World To Me), Tunku Mona Riza (Redha dan Rain Town), Ghazi Alqudcy (Temporary Visa, Letters from the Ends of the World) dan Nadiah Hamzah (Motif).
Mengulas akan kemenangan tersebut, Krityishaa berkongsi, “Kejayaan ini adalah satu penghormatan yang amat bermakna dan pencapaian yang penuh emosi dalam perjalanan saya sebagai seorang pengarah filem. ‘Tomorrow is Spring’ adalah ibarat sepucuk surat cinta bertemakan ketabahan dan harapan, bukan hanya untuk saya tetapi untuk semua orang yang telah menghadapi musim yang berbeza dalam kehidupan, menunjukkan bahawa walaupun kita tidak memperoleh apa yang diinginkan pada hari ini, hari esok mungkin akan membawa sinar yang lebih cerah. Saya amat berterima kasih kepada barisan pelakon dan kru yang sangat berbakat, atas kepercayaan serta dedikasi mereka dalam menghidupkan karya ini. Melihat hasil kerja kami diiktiraf di platform berprestij seperti BMW Shorties, merupakan pengalaman yang menerujakan dan membangkitkan semangat, selain mengukuhkan lagi kepercayaan saya terhadap kekuatan karya yang berkisar mengenai kisah sebenar, terutamanya di Malaysia.”
Krityishaa, yang merupakan anak kelahiran Ipoh, membuat penampilan sulungnya di BMW Shorties menerusi ‘Tomorrow is Spring’, dengan berbekalkan lebih tujuh tahun pengalaman sebagai pengarah, penulis, dan penerbit. Beliau adalah seorang graduan Bioteknologi, namun meneruskan minatnya dalam perfileman dengan melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah dalam bidang Filem Digital dan Televisyen di Universiti Lim Kok Wing. Kini, sebagai pengarah dan penulis di Buzzworks Films, Krityishaa berusaha menghasilkan karya yang berdasarkan kisah sebenar dan dapat dijiwai oleh rakyat Malaysia daripada segenap lapisan masyarakat.
‘Tomorrow is Spring’ memikat hati juri dengan penerokaan yang mendalam terhadap nilai ketenangan dalam ketabahan yang dihidupkan oleh jalan cerita yang luar biasa dan lakonan yang mantap. Mengukuhkan lagi keputusan tersebut, karya ini juga meraih anugerah sokongan untuk Pengarah Terbaik, Kisah Terbaik, dan Pelakon Wanita Terbaik oleh Piravina Ragunathan, yang mana lakonannya yang penuh penghayatan merupakan tonggak utama dalam naratif mengagumkan filem tersebut. Selain berjaya memukau panel juri, karya Krityishaa ini juga memberi kesan mendalam terhadap komuniti BMW Shorties, sekaligus menyaksikan filem ini diangkat sebagai Anugerah Pilihan Penonton selepas beberapa minggu pengundian dalam talian tamat.
Ghazi Alqudcy, pengarah kreatif dan mentor yang disegani berkata, “Kualiti bakat yang dipamerkan dalam pertandingan pada tahun ini sangat menakjubkan, dan ‘Tomorrow is Spring’ menonjol kerana kedalaman emosi yang diketengahkan, terutamanya dalam jalan cerita yang bertumpu pada pembangunan watak. Sentuhan pengarahan Krityishaa memperlihatkan pemahaman mendalam tentang emosi manusia, yang digambarkan dengan sempurna melalui setiap watak.”
Panel juri dan pengarah filem Malaysia yang berpandangan jauh, Jeany Amir, turut mengulas: “Kekuatan ‘Tomorrow is Spring’ terletak pada kehebatan karya ini dalam menggabungkan persembahan yang cemerlang, visual yang memukau, dan naratif yang menyentuh perasaan sekaligus menghasilkan sebuah kisah yang kekal dalam ingatan meskipun selepas kredit berakhir. Bakat Krityishaa dalam menzahirkan emosi mendalam dengan penuh kesederhanaan, keaslian, dan selitan momen humor ringan adalah sangat mempesonakan. Ternyata, dedikasi beliau bakal membawakan karya-karya yang lebih hebat pada masa akan datang.”
Saw Teong Hin, perintis berpengaruh dalam industri filem Malaysia, menambah, “Saya sentiasa percaya bahawa sesebuah jalan cerita yang biasa mampu menjadi baru dan luar biasa apabila diolah daripada perspektif yang segar, dan demikianlah yang telah dilakukan dengan ‘Tomorrow is Spring’. Lensa unik Krityishaa telah membantunya menemui keunikan dalam kebiasaan, dan kami teruja untuk melihat beliau melangkah lebih jauh dalam karya-karya akan datang.”
Sashi Ambihaipahan, Pengarah Komunikasi Korporat dan Kemampanan BMW Group Malaysia berkata, “BMW Shorties adalah lebih daripada sekadar inisiatif kebudayaan bagi kami. Kejayaan inisiatif ini telah mengukuhkannya sebagai platform untuk mencari, menyokong, dan meraikan bakat kreatif yang sedang meningkat naik dalam industri kandungan digital kreatif Malaysia yang dinamik ini. Tema ‘PULSE’ pada tahun ini merupakan inspirasi daripada semangat kami terhadap mobiliti elektrik dan inovasi. Tema ini mencerminkan nadi tenaga kreatif yang mendefinisikan jenama BMW dan juga barisan pengkarya yang ingin kami sokong. Mengulas mengenai edisi tahun ini, kami berbangga atas kejayaan signifikan yang telah dicapai oleh BMW Shorties sepanjang tahun-tahun lalu dengan menyerlahkan bakat kreatif yang luar biasa menerusi karya seperti ‘Tomorrow is Spring’, yang merangkumkan dengan indah semangat tema pada tahun ini.”
Projek-projek kreatif digital para finalis boleh ditonton di halaman YouTube rasmi BMW Shorties di www.youtube.com/user/bmwshortiesmy. Untuk maklumat lanjut mengenai BMW Shorties, layari laman web rasmi BMW Shorties di www.bmwshorties.com.my.
Untuk informasi terkini mengenai acara BMW Shorties yang akan datang, ikuti halaman Facebook BMW Shorties di www.facebook.com/bmwshorties dan halaman Instagram di www.instagram.com/bmwshorties.
Comments
Post a Comment