AGODA PERLUAS PROGRAM ECO DEALS DENGAN KOMITMEN MEMBIAYAI PROJEK PEMULIHARAAN KRITIKAL BERJUMLAH SEHINGGA $1.5 JUTA DI 10 PASARAN ASIA MELALUI KERJASAMA DENGAN WWF


Platform perjalanan digital, Agoda, mengumumkan pelancaran program Eco Deals keempatnya semasa Forum Pelancongan ASEAN (ATF) di Malaysia, sekali gus memperkukuh dan memperluaskan kerjasama berterusan dengan Tabung Alam Sedunia (WWF). Selaras dengan tema forum, "Unity In Motion: Shaping ASEAN's Tourism Tomorrow," inisiatif ini menyokong usaha perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan habitat kritikal di Asia.

Agoda telah menetapkan sasaran sumbangan sebanyak USD 1.5 juta, melepasi sasaran tahun sebelumnya iaitu USD 1 juta pada tahun 2024. Tahun ini, program ini diperluaskan lagi untuk merangkumi Jepun dan Korea, menjadikan jumlah keseluruhannya 10 pasaran. Seperti edisi-edisi sebelumnya, Agoda akan menyumbangkan USD 1 kepada usaha pemuliharaan WWF bagi setiap tempahan program yang dibuat di hotel-hotel yang mengambil bahagian dalam kempen ini.

Inisiatif Eco Deals akan membiayai pelbagai aktiviti pemuliharaan, termasuk pemulihan tanah lembap di Jepun, perlindungan burung spoonbill di Korea, serta meneruskan projek sedia ada seperti usaha pemuliharaan harimau di Malaysia, perlindungan jerung paus di Filipina, pemuliharaan gajah di Thailand, perlindungan saola di Vietnam, pemulihan ekosistem di Indonesia, pembangunan tanah lembap kawasan bandar di Laos PDR, dan sokongan kepada renjer di Kemboja. Program Eco Deals ini akan dibuka untuk tempahan dari 20 Januari 2025 hingga 19 Disember 2025.

Sebagai sebahagian daripada rangka kerja Eco Deals untuk tahun 2025, Agoda turut memperkenalkan Dana Impak Pelancongan Lestari (Sustainable Tourism Impact Fund) dengan kerjasama WWF-Singapore dan UnTours Foundation. Dana ini menyediakan modal pelaburan yang fleksibel dan berpatutan untuk menyokong perniagaan yang berinovasi dalam menangani cabaran kelestarian dalam sektor pelancongan. Agoda memperuntukkan USD 100,000 kepada dana ini, dengan potensi untuk meningkat kepada USD 150,000, sekiranya sasaran sumbangan sebanyak USD 1.5 juta tercapai.

Damien Pfirsch, Ketua Pegawai Komersial di Agoda berkata, "Dengan Eco Deals 2025, kami bertekad untuk meningkatkan usaha melindungi destinasi dan hidupan liar yang menakjubkan di Asia. Kerjasama kami dengan WWF bertujuan memastikan generasi akan datang dapat meneroka dunia dengan kos yang berpatutan sambil memelihara keindahan semula jadi. Program Eco Deals telah menjadi inisiatif yang penting bagi rakan perhotelan kami sejak pelancarannya pada tahun 2022. Ia menyediakan pendekatan yang mudah untuk menyokong projek perlindungan hidupan liar dan pemuliharaan habitat kepada mereka. Berdasarkan kejayaan lalu, kami mengembangkan skala program tahun ini dengan meningkatkan sasaran sumbangan kami kepada USD 1.5 juta dan memperluaskan impak kepada projek-projek pemuliharaan di 10 pasaran. Ini mewujudkan peluang yang lebih baik bagi pihak hotel untuk menyertai usaha yang bermakna ini. Selain itu, pelancaran Dana Impak Pelancongan Lestari akan memberikan sokongan yang penting kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan memperkasakan mereka untuk mengamalkan tata cara lestari dan menyumbang dengan bermakna kepada masa depan industri pelancongan."


Melalui program Eco Deals, rakan perhotelan boleh menawarkan diskaun sehingga 15% kepada pelanggan mereka. Sebagai ganjaran, rakan perhotelan yang turut serta akan menerima lencana Eco Deals dan dipaparkan dengan ketara di pelbagai platform Agoda, termasuk media sosial, promosi sepanduk, emel pelanggan, dan makluman dalam aplikasi untuk meningkatkan keterlihatan mereka. Selain itu, pelanggan boleh mencari Eco Deals dengan mudah melalui halaman khas Agoda yang direka untuk pengalaman pelayaran lancar pada komputer dan peranti mudah alih.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, "Kami menggalakkan kedua-dua sektor awam dan swasta untuk terlibat secara aktif dalam memupuk amalan lestari di seluruh ASEAN. Sebagai pengerusi Mesyuarat Menteri Pelancongan ASEAN 2025, kami berbesar hati melihat kerjasama antara Agoda dan WWF untuk menggalakkan aktiviti pelancongan yang memberikan sumbangan kembali kepada destinasi. Ini selaras dengan tema kami "Unity In Motion: Shaping ASEAN's Tourism Tomorrow," dan sejajar dengan fokus Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk memajukan kelestarian dalam industri pelancongan, baik di Malaysia mahupun di peringkat global."

Vivek Kumar, Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Singapore, menambah, "Biodiversiti adalah asas kehidupan di Bumi. Ia saling berkait rapat dengan kesejahteraan planet kita dan umat manusia. Memasuki tahun keempat kerjasama yang penuh makna ini, Agoda dan WWF telah memberikan sumbangan besar kepada usaha pemuliharaan di seluruh rantau ini–termasuk melindungi populasi harimau di Malaysia, memulihkan landskap hutan yang terjejas di Indonesia, dan menangani konflik antara manusia dan gajah, serta pemburuan haram di Thailand. Tahun ini, kami bakal meluaskan usaha pemuliharaan ke Jepun dan Korea untuk menghasilkan impak yang lebih besar. Menurut Laporan Living Planet WWF 2024, terdapat penurunan mendadak sebanyak 73% dalam populasi hidupan liar global. Inilah masa yang paling genting bagi kita semua untuk melakukan tindakan yang segera. Bersama Agoda, kami kekal komited untuk membina masa depan yang lebih baik untuk manusia dan alam semula jadi."

Dana Impak Pelancongan Lestari diwujudkan untuk menyediakan modal pelaburan kepada PMKS dalam sektor pelancongan di beberapa pasaran Asia Tenggara, dengan tujuan untuk memupuk inovasi dan meningkatkan usaha pemuliharaan, bagi membentuk masa depan sektor pelancongan yang lebih lestari.

Di bawah skim dana ini, PMKS yang layak dan ingin mendapatkan pembiayaan untuk memperkukuhkan usaha kelestarian mereka dalam sektor pelancongan boleh memohon pinjaman berfaedah rendah antara USD 10,000 hingga USD 25,000. Dana ini diuruskan oleh UnTours Foundation yang memastikan proses permohonan dan penyaringan dapat dilaksanakan dengan efektif. Sementara itu, Agoda pula menyumbangkan pembiayaan, membuat keputusan pelaburan, dan menyediakan bimbingan, manakala WWF-Singapore membantu untuk memberi panduan persekitaran dan menjalankan penilaian kelayakan. Syarikat yang berminat boleh membuat permohonan melalui laman web rasmi dana tersebut di https://untoursfoundation.org/sustainable-tourism-impact-fund.

Dengan adanya rangkaian global yang merangkumi pelbagai jenis tempat penginapan dan aktiviti liburan, Agoda meneruskan komitmennya untuk menjana masa depan sektor pelancongan yang lebih lestari. Kerjasama dengan organisasi seperti WWF dan UnTours Foundation memperkuatkan usaha Agoda untuk memastikan setiap perjalanan dapat memberi impak ekologi dan sosioekonomi yang positif.

Comments

Popular posts from this blog

“RONA BOSPHORUS”, DRAMA ADAPTASI PERTAMA BUKA TIRAI DI RTM TAHUN 2025

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!