INFLUENZA: JANGAN PANDANG RINGAN SELESEMA
Berita terkini mengenai pelakon Taiwan Barbie Hsu dan pelakon negara China Liang Youcheng menarik perhatian terhadap bahayanya influenza. Ramai yang tertanya-tanya, "Bagaimana ia boleh berlaku?" Walaupun berita seperti ini membuktikan bahawa influenza boleh membawa maut, namun masih terdapat banyak salah faham mengenainya.
“Ramai masih beranggapan influenza bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan. Malah, mereka percaya ia masalah di negara beriklim sejuk sahaja. Apabila mereka jatuh sakit, mereka tetap berfikir ia hanya selesema biasa dan akan sembuh dalam beberapa hari. Syukurlah, kebanyakan orang pulih tanpa sebarang komplikasi, tetapi ada juga individu yang tidak begitu bernasib baik, seperti yang kita nampak melalui kes-kes berprofil tinggi baru-baru ini,” kata Profesor Dr. James Koh.
“Namun begitu, ramai orang tidak menyedari atau kurang faham tentang influenza sehinggalah sesuatu seperti ini berlaku.”
![]() |
Profesor Dr. James Koh. |
Titik Kritikal
“Secara tradisional, influenza dikaitkan dengan demam panas yang tiba-tiba – seseorang boleh sihat pada satu hari dan keesokan harinya mengalami demam panas. Selepas itu, mereka akan sakit-sakit badan, sakit tekak, dan bagi sesetengah individu pula mengalami sesak nafas. Ini adalah empat simptom klasik influenza yang biasanya berlaku dalam tempoh 24 hingga 48 jam,” jelas Prof. Koh.
Ramai orang cuba bertahan, tetapi demam panas yang tidak mereda dalam tempoh tiga hari boleh menjadi tanda komplikasi. Mereka yang mengalami gejala seperti gelisah, resah, atau perubahan kesedaran seperti berasa keliru perlu segera mendapatkan rawatan. Gejala-gejala tersebut lebih kerap berlaku pada kanak-kanak dan warga emas. Satu lagi petanda yang sering kita terlepas pandang ialah muntah-muntah, kerana ia sering dikaitkan dengan keracunan makanan.
Dalam kalangan kanak-kanak, gejalanya mungkin berbeza sedikit, tambah Profesor Koh. “Keadaan kesihatan kanak-kanak boleh merosot dengan cepat. Mereka menjadi sangat diam atau mengantuk, serta mudah mengalami dehidrasi. Mereka juga mungkin mengeluarkan bunyi pernafasan yang luar dari kebiasaan, yang kami panggil sebagai ‘noisy breathing’ (nafas berbunyi). Ini bermakna mereka mengalami kesukaran bernafas dan tahap oksigen dalam darah berkemungkinan rendah.”
“Namun, usah tunggu sehingga tanda-tanda ini muncul sebelum berjumpa doktor! Ramai orang sibuk atau degil dan mencari pelbagai alasan untuk mengelak daripada mendapatkan rawatan, walaupun orang di sekeliling mereka boleh nampak mereka tidak sihat. Oleh itu, jangan tunggu, terutamanya jika anda tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi seperti wanita hamil, kanak-kanak di bawah umur lima tahun, orang dewasa berpenyakit kronik seperti asma, diabetes, tekanan darah tinggi, atau penyakit jantung, serta mereka yang merokok atau menggunakan vape. Faktor-faktor ini meningkatkan risiko komplikasi, dan risikonya jauh lebih tinggi jika tidak dikawal dengan baik.”
Selain itu, Profesor Koh menegaskan bahawa ramai orang tidak menyedari mereka mempunyai masalah kesihatan yang boleh meningkatkan risiko komplikasi. Ini menyebabkan seseorang yang kelihatan sihat juga boleh mengalami masalah serius seperti pneumonia.
Langkah Perlindungan Terhadap Influenza
Vaksin influenza, yang mula digunakan sejak tahun 1945, adalah kaedah paling berkesan untuk mencegah influenza. Vaksin ini perlu diambil setiap tahun untuk memberi perlindungan terhadap strain influenza terkini serta mencegah komplikasi serius dan berpotensi membawa maut.
Salah satu komplikasi ialah radang paru-paru, yang menjadi punca utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia pada tahun 2023. Buat pertama kalinya dalam tempoh 20 tahun, ia mengatasi penyakit jantung koronari. Kejadian ini lebih kerap berlaku dalam kalangan wanita, warga emas berusia 60 tahun ke atas, dan individu berketurunan Cina.
“Malangnya, kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia tentang bahaya influenza masih rendah yang menyebabkan mereka kurang motivasi untuk melindungi diri. Selain itu, Malaysia tidak mempunyai musim influenza yang jelas. Sebaliknya, kita mengalami wabak yang berlaku secara sporadik dan sukar diramal. Oleh kerana sistem imun memerlukan kira-kira dua minggu untuk membina perlindungan selepas suntikan vaksin, mereka yang menunggu sehingga berlakunya wabak untuk mendapatkan vaksin masih berisiko dijangkiti dalam tempoh tersebut,” jelas beliau. “Sebab itulah vaksinasi tahunan amat penting.”
Secara ringkas, tambah beliau, perbezaan antara individu yang divaksin dan yang tidak boleh diumpamakan seperti perbezaan antara seseorang yang terlatih dalam seni mempertahankan diri dan seseorang yang tidak mempunyai latihan. Kedua-duanya berisiko untuk diserang, tetapi individu yang terlatih (divaksin) mempunyai peluang lebih baik untuk mempertahankan diri daripada penyerang (virus influenza), berbanding individu yang tidak terlatih.
“Idealnya, saya mencadangkan semua individu berusia enam bulan ke atas untuk mendapatkan vaksinasi. Namun, pendekatan yang lebih berfokus adalah dengan memastikan mereka yang berisiko tinggi mendapat perlindungan, iaitu kanak-kanak bawah dua tahun, warga emas berumur 65 tahun ke atas, wanita hamil, orang dewasa dengan penyakit kronik seperti diabetes, asma, penyakit jantung, penyakit buah pinggang, obesiti, serta mereka yang mempunyai sistem imun lemah, termasuk pekerja kesihatan dan penjaga golongan berisiko.”
“Ingat, semua orang berisiko dan influenza tidak memilih mangsanya.”
Comments
Post a Comment