ASTRO DAPAT HAK SIARAN EKSKLUSIF PERKAHWINAN KAMAL & UQASHA

 

Setelah hampir genap setahun kejutan lamaran terbuka penuh romantis dibuat ketika siaran langsung Anugerah Meletop Era (AME) 2020, penantian peminat untuk melihat pasangan selebriti popular tanah air, Kamal Adli dan Uqasha Senrose disatukan sebagai suami isteri menjadi kenyataan apabila kedua-dua mereka akhirnya berkongsi khabar gembira berhubung fasa baharu ikatan kasih yang termeterai secara rasmi di majlis sidang media yang diadakan pada hari ini.


Pasangan sama cantik sama padan ini juga turut mengesahkan hak penyiaran eksklusif untuk membuat liputan khas pada hari bahagia mereka telah diberikan kepada pihak Astro Ria di saluran 104.


Detik bersejarah penyatuan Kamal dan Uqasha bakal diabadikan menerusi paparan tiga buah episod istimewa dalam program ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ yang akan disiarkan secara eksklusif pada 11, 18 dan 25 Disember 2021 jam 9.00 malam. Momen indah tersebut turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan On Demand. Selain itu, sebarang berita terkini mengenai liputan majlis tersebut juga boleh diikuti di portal Gempak dan tanda pagar rasmi #KamalXUqasha.


Mengulas lanjut mengenai liputan eksklusif majlis perkahwinan berkenaan, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Ria berkata,“Selaku satu-satunya penyiar rasmi, pihak Astro amat berbesar hati dengan kepercayaan dan kebenaran penuh yang diberikan oleh pasangan merpati dua sejoli, Kamal dan Uqasha kepada kami untuk sama-sama meraikan majlis perkahwinan mereka secara eksklusif untuk dikongsikan bersama penonton.


Program istimewa ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ terbitan Astro Ria ini bakal mengimbau momen manis dan merungkai rahsia sepanjang percintaan mereka yang belum pernah dikongsi dengan mana-mana pihak sebelum ini. Selain paparan menarik tentang persiapan perjalanan kasih pasangan romantis ini dalam menghitung saat paling dinantikan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan, kami juga bakal menyiarkan liputan penuh sekitar majlis akad nikah dan majlis persandingan mereka nanti.


Sebagai pasangan selebriti popular tanah air, para peminat pastinya ingin mengetahui setiap kisah belakang tabir tentang Kamal dan Uqasha yang berlaku sewaktu mereka masih kecil, perjalanan karier, fasa bercinta, lamaran secara langsung di televisyen sehinggalah berakhir di jinjang pelamin. Saksikan temuramah eksklusif ahli keluarga, teman-teman rapat dan rakan-rakan artis mengenai pasangan ini yang akan disiarkan secara istimewa dalam program ini.

Kami berharap pengisian program ini dapat menghiburkan para peminat yang pastinya amat teruja untuk menantikan saat bahagia artis kesayangan mereka disatukan secara sah.”


Bahagian pertama program ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ yang dijadualkan untuk bersiaran pada 11 Disember ini bakal menjejaki kisah cinta kedua mempelai daripada kaca mata mereka sendiri serta kenalan dan ahli keluarga sejak awal perkenalan sehingga berakhir ke jinjang pelamin.

Bahagian kedua pada 18 Disember pula bakal membawakan liputan persiapan menuju gerbang perkahwinan dan sewaktu majlis ijab kabul yang bertemakan dalam taman atau ‘Garden Wedding’.

Manakala bahagian ketiga yang akan disiarkan pada 25 Disember kelak bakal menyiarkan liputan persiapan terakhir dan sewaktu majlis malam berinai serta resepsi pasangan raja sehari Kamal dan Uqasha.

Sebelum ini, hubungan mesra Kamal dan Uqasha mula dihidu peminat setelah digandingkan bersama sebagai hero dan heroin dalam drama ‘Setelah Terlafaznya Akad’ sekitar tahun 2019, namun tiada sebarang pengesahan dibuat oleh pasangan tersebut. Kisah cinta mereka kemudiannya sekali lagi mencuri perhatian ramai apabila Michael Ang, pengarah drama ‘Perempuan Tanpa Dosa’ secara tidak sengaja telah mencetuskan spekulasi bahawa mereka telah mengikuti kursus perkahwinan sewaktu penggambaran drama berkenaan masih berjalan tahun lalu.


Jangan ketinggalan untuk mengikuti perjalanan kisah cinta penuh romantis pasangan bahagia ini dengan menonton program ‘Walimatulurus Kamal Adli & Uqasha Senrose’ secara eksklusif di saluran Astro Ria (104), aplikasi Astro Go dan perkhidmatan On Demand pada 11, 18 dan 25 Disember ini jam 9.00 malam.

Bagi memberi pilihan yang lebih fleksibel, program ini juga boleh distrim melalui aplikasi sooka sejurus selepas tayangan perdana di Astro Ria menggunakan peranti mudah alih dengan melanggan pelan VIP Entertainment Rm15.90/sebulan. 

Tekan search di kategori #KamalSha Akhirnya Terlafaz Akad untuk menikmati variasi program istimewa yang menampilkan kedua-dua pasangan mempelai ini seperti ‘Setelah Terlafaznya Akad’, ‘Perempuan Tanpa Dosa’ dan banyak lagi. Muat turun aplikasi sooka di Apple AppStore dan Google PlayStore atau layari www.sooka.my.

Foto ihsan Astro Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO