WANY HASRITA BAWA KECERIAAN RAYA DENGAN "RAYA TELAH TIBA"


Penyanyi bersuara merdu yang sentiasa dekat di hati peminat, Wany Hasrita, kembali menceriakan musim perayaan ini dengan single Raya terbaharunya, "Raya Telah Tiba", terbitan syarikat rakaman yang tidak asing lagi, Sony Music Malaysia.

Lagu ini menampilkan elemen muzik yang lebih rancak, segar, dan sedikit mencuit hati, berbeza dengan lagu-lagu Raya yang pernah dinyanyikan oleh Wany sebelum ini. Dikenali dengan lagu-lagu berentak pop balada dan tradisional, kali ini Wany mencuba sesuatu yang baharu, segar dan berbeza.

"Raya Telah Tiba" merupakan hasil ciptaan komposer muda, Affan Mazlan, yang menyuntik elemen pop moden dengan sentuhan Melayu klasik dan elemen rock, menjadikan lagu ini unik serta mudah diingati.

Kisah Di Sebalik "Raya Telah Tiba"

Lagu ini menggambarkan suasana Hari Raya dengan lirik yang cukup santai dan dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Dari kisah berpuasa penuh sebelum beraya, kesibukan membuat persiapan pulang ke kampung, sehinggalah momen indah berkumpul bersama keluarga dan bergaya dengan baju Raya baharu. Malah, lagu ini turut menyentuh perkara yang sering dialami ramai – keseronokan balik kampung tetapi dalam keterujaan itu, ada pula yang terkena saman trafik!

"Lagu ini sangat 'straightforward', ia bercerita tentang perkara yang kita lalui setiap kali perayaan. Dari berpuasa penuh, persiapan pulang ke kampung, tergesa-gesa hendak sampai ke destinasi, sehinggalah keterujaan hendak 'ber-OOTD' dengan baju Raya yang cantik," kongsi Wany Hasrita mengenai konsep lagu ini.

Proses Rakaman & MV Yang Menceriakan

Menariknya, proses rakaman "Raya Telah Tiba" mengambil masa hanya satu sehingga dua jam sahaja, membuktikan keserasian Wany dengan lagu ini sejak kali pertama mendengarnya. Dan bagi melengkapkan pengalaman pendengar, sebuah video muzik (MV) turut dihasilkan yang mencerminkan keseronokan Hari Raya. Bertemakan suasana kampung, MV ini menampilkan Wany dalam pelbagai situasi yang menghiburkan, termasuk persiapan sibuk mengemas rumah menyambut keluarga pulang beraya, insiden dikenakan saman oleh polis, dan tidak ketinggalan, tarian khas Raya yang pastinya bakal menjadi ikutan ramai!

Kenangan Manis Raya & Harapan Wany

Bagi Wany, kenangan paling manis dalam hidupnya adalah apabila berpeluang menyambut Hari Raya bersama puteri sulungnya, Aishah Al Iman. Tahun sebelumnya, dia hanya beraya ketika sedang hamil, namun tahun ini lebih bermakna kerana dapat meraikan bersama anak dan suami tercinta.

Melalui "Raya Telah Tiba", Wany berharap lagu ini akan menjadi salah satu lagu wajib dalam "playlist" peminat sepanjang musim perayaan, terutamanya buat mereka yang sedang memandu pulang ke kampung halaman.

"Semoga lagu ini menjadi peneman ketika dalam perjalanan pulang beraya di kampung. Tetapi jangan terlalu leka sangat dan tidak menghiraukan had laju sampai terkena saman!" seloroh Wany.

Ucapan Ramadan & Aidilfitri

Sebagai penutup, Wany turut mengingatkan umat Islam agar memperbanyakkan dan mempertingkatkan ibadah pada bulan Ramadan ini berbanding tahun-tahun sebelumnya, serta berusaha untuk bertemu dengan malam yang istimewa, Lailatul Qadar.

"Semoga kita semua diberi kekuatan untuk menambah ibadah lebih daripada tahun sebelumnya, dan dapat menyambut Aidilfitri dengan penuh keberkatan dan kegembiraan bersama keluarga tercinta."


Pelancaran Di Semua Platform Digital

"Raya Telah Tiba" bakal dilancarkan pada 7 Mac 2025 di semua platform penstriman digital utama seperti Apple Music, Spotify dan YouTube. Jangan lupa tonton MV rasmi yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Comments

Popular posts from this blog

BIASISWA SISWI SAFI MENYOKONG WANITA MALAYSIA MEMACU MASA DEPAN

4 TIPS BERGUNA UNTUK MELANCONG OLEH UNIVERSAL TRAVELLER

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!