LAKONAN PUTERI BALQIS DAN AMIR AHNAF PENUH EMOSI DALAM KELUARGA ITU: TULAR DAN MENYENTUH HATI PENONTON
Satu babak dari drama TV3 Keluarga Itu kini tular dengan jutaan tontonan dan ribuan komen di TikTok, memaparkan detik yang meruntun jiwa lantas memberi impak buat penonton apabila Dhamiah (lakonan Puteri Balqis) dan Aman (lakonan Amir Ahnaf) dilanda kesedihan selepas penemuan mayat bayi yang ditanam, dipercayai anak mereka yang hilang, Jihad.
Dalam adegan penuh emosi itu, Dhamiah menjerit dan meraung tanpa henti seolah-olah separuh gila, manakala Aman pula dilihat terlalu terkejut sehingga pengsan. Babak ini sekali gus menjadi antara momen paling ‘real’ dan menyentuh hati dalam drama ini serta membuka mata penonton terhadap kasih sayang mendalam yang dimiliki oleh kedua-dua ibu bapa muda ini terhadap anak mereka.
Kebanyakan komen yang membanjiri TikTok sarat dengan teka-teki tentang siapa dalang di sebalik kematian bayi Jihad, serta gambaran betapa penonton benar-benar terkesan dengan lakonan hebat Puteri Balqis dan Amir Ahnaf yang disifatkan terlalu hidup, penuh emosi dan menusuk jiwa. Antara komen seperti “Part Aman pengsan tu aku banjir”, “Menjadi betul lakonan Mia, pandai betul Aqish pegang watak”, dan “Terbaik lakonan mereka berdua” membuktikan kemampuan dua pelakon muda tanah air ini dalam mengangkat emosi penonton ke tahap luar biasa. Malah, ada yang berpendapat mereka berdua layak menerima anugerah atas lakonan yang begitu berkesan.
Dihidupkan oleh barisan pelakon berbakat besar, Keluarga Itu menggabungkan kehebatan Datuk Rosyam Nor, Datin Seri Umie Aida, Fattah Amin, Muaz Zabir, Puteri Balqis, Amir Ahnaf, Melissa Campbell, dan Izara Aishah. Jangan lepaskan tayangan episod terakhir Keluarga Itu minggu ini! Saksikan pengakhiran kisah Dhamiah dan Aman pada 9 Mei ini, hari Jumaat, jam 9.00 malam di TV3. Anda juga boleh strim 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play atau App Store.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.
Comments
Post a Comment