BERGELUT UNTUK MENJADI “NORMAL”: MEMAHAMI ADHD
“Anak saya sangat nakal dan sukar dikawal!” “Dia tak boleh belajar!” “Dia malas sangat!” Biarpun ledakan emosi spontan yang berlaku sesekali ini hanyalah sebahagian daripada ragam biasa kanak-kanak, namun apabila ia menjadi pola tingkah laku yang berulang, ia mungkin satu petunjuk kepada sesuatu yang lebih besar yang tersembunyi. Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan di Universiti IMU, berkongsi tentang ADHD dan mitos yang mengelilinginya.
Joe berusia lapan tahun dan dia sentiasa gelisah sehingga tidak boleh duduk diam dan selalu bangun dari tempat duduk, sama ada di dalam kelas, semasa menonton wayang, ketika makan, atau ketika cuba membaca buku. Dia cuba menunggu gilirannya tetapi tidak dapat menahan diri daripada menyampuk semasa sesi pembelajaran dan mengganggu rakan-rakannya. Walau sekuat mana dia mencuba, dia tetap tidak ingat di mana dia tinggalkan mainan dinasour kesayangannya, atau penselnya, beg sekolah, atau roti sosej yang sudah separuh dimakannya. Sudah berkali-kali dia diberitahu yang dia seorang budak yang nakal dan menjengkelkan. Orang di sekelilingnya sering memberitahunya yang dia tidak cukup berusaha. Namun, dia sebenarnya memang mencuba. Dia bergelut setiap hari untuk menjadi seperti rakan-rakannya, tetapi setiap hari jugalah dia merasa gagal.
Joe ialah contoh lazim seorang kanak-kanak dengan Kecelaruan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD). Walaupun simptom serta cabaran tertentu mungkin berbeza bagi setiap individu, perasaan tidak berdaya dan sering disalah faham merupakan perjuangan bersama mereka yang didiagnosis dengan gangguan ini.
Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menganggarkan bahawa antara 1.6 peratus hingga 4.6 peratus daripada populasi negara telah didiagnosis dengan ADHD pada tahun 2020. Julat yang luas ini mencerminkan hakikat bahawa ADHD tidak selalu dikenal pasti dan didiagnosis. “Sama seperti gangguan lain, ada kecenderungan untuk melaporkan ADHD,” kata Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan di Universiti IMU.
Statistik sedia ada menunjukkan bahawa gangguan ini lebih banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki yang mana berisiko menghidap ADHD tiga hingga empat kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan. Namun begitu, Dr Serena mengakui angka ini mungkin tidak sepenuhnya tepat kerana kanak-kanak perempuan cenderung menyesuaikan tingkah laku mereka agar lebih diterima secara sosial, dan ini menyebabkan bilangan diagnosis lebih rendah. “Saya merasakan kita tidak akan pernah mendapat angka sebenar kerana ia bergantung kepada keseluruhan sistem penjagaan kesihatan dalam menangani isu ini secara sistematik,” katanya.
Apa itu ADHD?
ADHD ialah satu gangguan perkembangan saraf yang bermula sejak zaman kanak-kanak. Ia memberi kesan kepada bagaimana otak berkembang dan memproses maklumat. “Ia bukan masalah tingkah laku. Apa yang berlaku dalam otak mempengaruhi cara seorang kanak-kanak berfungsi,” tegas Dr Serena.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis ADHD iaitu kebanyakannya jenis hiperaktif-impulsif, jenis kurang tumpuan (inattentive), atau gabungan kedua-duanya.
Kanak-kanak jenis hiperaktif-impulsif sukar untuk kekal fokus pada sesuatu tugasan, sentiasa aktif dan tidak boleh duduk diam serta sentiasa bergerak-gerak. Mereka tidak boleh duduk diam semasa dalam kelas atau ketika menonton wayang. Mereka juga mungkin menunjukkan kurangnya kawalan diri. Contohnya, kanak-kanak biasa boleh belajar untuk beratur dan menunggu giliran, tetapi kanak-kanak jenis hiperaktif-impulsif cukup sukar untuk melakukannya.
Sebaliknya, kanak-kanak jenis tidak fokus cenderung untuk lupa atau hilang barang, mudah terganggu dan sukar untuk menumpukan perhatian. Pelajar mungkin kerap berkata mereka terlupa menyiapkan kerja sekolah atau temu janji yang telah ditetapkan. Mereka kelihatan seperti tidak mampu mendengar dengan baik, hilang minat, nampak bosan atau seolah-olah sedang berangan.
Tidak kiralah jenis ADHD apa pun yang dihidapi seseorang kanak-kanak, mereka sering disalah anggap sebagai bermasalah dari segi tingkah laku dan disiplin. Malangnya, mereka mungkin membesar dengan dilabel sebagai biadab, tidak terkawal dan nakal.
Apakah punca ADHD?
Pelbagai faktor menyumbang kepada perkembangan otak kita. Menurut Dr Serena, genetik memainkan peranan, di mana kanak-kanak lebih cenderung menghidap ADHD jika terdapat ahli keluarga yang turut menghidapnya. Beliau menambah bahawa dalam kes kembar seiras, jika seorang mempunyai ADHD, kemungkinan besar kembarnya juga menghidapnya.
Terdapat juga faktor persekitaran seperti pendedahan kepada bahan toksik semasa zaman kanak-kanak; serta faktor pranatal seperti ubat-ubatan yang diambil oleh ibu hamil yang boleh mendedahkan janin kepada risiko tertentu yang berpotensi membahayakan.
Menurut Dr Serena, kumpulan pakar turut menasihati ibu bapa supaya menangguhkan pendedahan kepada skrin atau gajet untuk anak-anak selama yang mungkin. Kepantasan filem yang semakin meningkat, iklan dan pemberitahuan yang berterusan dan kerap boleh menjadi sangat membebankan dan merangsang otak secara berlebihan, terutamanya otak kanak-kanak yang masih muda yang mudah dibentuk dan sedang berkembang. Ini juga boleh meningkatkan tingkah laku ketagihan dan memendekkan jangka masa tumpuan.
“Masa dan pendedahan kepada skrin yang berlebihan juga bermaksud kurang bersenam, kurang tidur yang berkualiti, dan kurang masa untuk melakukan kerja sekolah, yang mana akhirnya menjejaskan keupayaan kanak-kanak untuk berada pada tahap terbaik mereka,” kata Dr Serena sambil menambah bahawa lebih banyak kajian jangka panjang perlu dijalankan untuk benar-benar memahami kesan penggunaan peranti yang berlebihan.
Bagaimana untuk mendapatkan diagnosis
Bagi kanak-kanak, prosesnya bermula dengan pemerhatian oleh ibu bapa dan penjaga dalam pelbagai situasi - di rumah, di sekolah, di rumah pengasuh, semasa aktiviti riadah dan sebagainya. “Pemerhatian perlu datang daripada lebih daripada seorang individu dan dalam pelbagai suasana. Bila tingkah laku yang sama dapat dilihat merentasi semua situasi ini, maka mungkin ada sebab untuk bimbang,” jelas Dr Serena. Beliau menyatakan bahawa ibu bapa yang membawa anak untuk penilaian biasanya berbuat demikian selepas diminta oleh guru. “Guru memainkan peranan penting dalam mengenal pasti bila seorang kanak-kanak perlukan bantuan,” katanya.
![]() |
Dr Serena In, Pakar Psikologi Klinikal dan Pensyarah Kanan di Universiti IMU |
Siapa yang perlu anda jumpa?
Di Malaysia, tiada prosedur piawai, tetapi amalan terbaik di negara lain mencadangkan anda berjumpa dengan pakar psikologi klinikal. Penilaian yang menyeluruh biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga sesi. Sepanjang sesi ini, pakar psikologi klinikal akan menggunakan gabungan alat penilaian, pemerhatian tingkah laku, ujian kognitif serta saringan keupayaan penyesuaian diri yang lain untuk menyingkir kemungkinan gangguan lain.
Dr Serena menekankan bahawa tindakan mencuba mendiagnosis diri sendiri melalui ujian dalam talian pasti akan menyebabkan berlakunya salah diagnosis atau terlebih diagnosis. “Sentiasa berjumpa dengan profesional berdaftar kerana mereka mempunyai latihan yang mencukupi untuk membuat diagnosis yang tepat,” katanya.
Ibu bapa boleh mendapatkan bantuan sama ada di klinik kesihatan swasta atau awam, bergantung pada tahap kemampuan dan tahap segera kes tersebut. Sektor swasta dapat memberikan temujanji lebih cepat manakala mereka yang mendapatkan bantuan di hospital kerajaan perlu menunggu giliran. Surat rujukan daripada klinik atau pengamal perubatan am (GP) juga diperlukan untuk mendapatkan temujanji di fasiliti kerajaan.
Dalam sesi temu janji, ahli psikologi klinikal juga akan mengenal pasti kekuatan kanak-kanak tersebut. “Kami tidak hanya mengesahkan diagnosis dan membiarkan anda dengan satu label,” jelas Dr Serena. Melalui penilaian menyeluruh, ahli psikologi akan menyerlahkan kekuatan kanak-kanak seperti kebolehan memori, kreativiti, atau keupayaan daya tumpuan luar biasa terhadap bidang-bidang yang diminati. Pada asasnya, diagnosis akan membawa kepada cadangan yang tertumpu dan praktikal, serta pelan rawatan yang disesuaikan untuk kanak-kanak tersebut. Itulah sebabnya penilaian psikologi oleh profesional kesihatan mental amat bermanfaat.
Pelan rawatan boleh bergantung kepada terapi, ubat-ubatan, atau gabungan kedua-duanya, dan membantu membimbing ibu bapa atau penjaga tentang apa yang perlu dilakukan. Dr Serena berkata, jika ubat disyorkan, maka kanak-kanak tersebut juga perlu berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan preskripsi yang diperlukan.
Membina landasan untuk kejayaan
Untuk membantu kanak-kanak dengan ADHD menyesuaikan diri dengan rutin sekolah dengan lebih baik, doktor boleh menulis surat rujukan untuk menyokong keperluan tertentu. Antaranya, memberikan masa peperiksaan yang lebih panjang, membenarkan mereka duduk di tempat yang membolehkan mereka bangun dan bergerak tanpa mengganggu orang lain, atau membenarkan penggunaan alat mainan pengalih fokus (fidget toys) dalam kelas. “Kita perlu belajar mengurus dan menyokong kanak-kanak ini secara berkesan dan bukan hanya tahu memarahi atau mendisiplin setiap kali,” kata Dr Serena.
Di luar sekolah, terapi psikologi juga penting untuk menangani isu berkaitan seperti kemurungan atau kebimbangan. Terapi sering melibatkan pengajaran mekanisme kendalian atau daya tindak kepada kanak-kanak, seperti meluahkan emosi dengan cara yang membina, serta mengurus tingkah laku mereka dengan menggunakan alat pemasa dan peringatan yang boleh membantu mereka kekal fokus.
Di rumah, ibu bapa boleh menilai semula cara mereka mengatur kehidupan keluarga dan membina rutin serta tabiat seperti waktu makan yang teratur. Memastikan rumah sentiasa bersih, kemas dan teratur turut membantu. “Ini adalah rutin dan struktur kecil yang membantu semua orang, tetapi amat bermanfaat untuk individu dengan ADHD,” jelas Dr Serena.
Langkah seterusnya
Menurut Dr Serena, masyarakat kita sudah banyak berkembang dari segi kesedaran dan pemahaman terhadap gangguan ini. “Ia sememangnya sudah menunjukkan banyak kemajuan dalam sedekad yang lalu,” katanya, namun masih banyak yang perlu dilakukan. Kesedaran perlu diterapkan dalam sistem persekolahan. Selain itu, kejayaan seorang kanak-kanak juga sangat bergantung pada dedikasi ibu bapa dan penjaga untuk memperjuangkan hak anak-anak mereka. Pesanan beliau kepada ibu bapa ialah tiada salahnya untuk hadir menjalani penilaian. Ahli psikologi klinikal sangat berhati-hati agar tidak membuat diagnosis berlebihan. Memahami perjuangan anak akan membantu kedua-dua anak dan ibu bapa untuk mencari cara yang membina, bukan sekadar untuk menghadapi cabaran harian tetapi juga untuk berjaya dalam kehidupan.
Beliau mengingatkan bahawa dari luar, kita mungkin fikir anak kita sedang mengatasinya. Namun pada hakikatnya, kanak-kanak seperti Joe mungkin sedang berjuang dalam diam setiap hari. Bayangkan jika, daripada sekadar cuba bertahan dan menyesuaikan diri, setiap anak seperti Joe disokong sepenuhnya supaya mereka boleh berkembang dan mencapai potensi penuh.
Comments
Post a Comment