VILLA MARHAEN: MONOLOQUE MENYULAM SATIRA DALAM IRAMA RAKYAT
monoloQue meneruskan perjuangan seni mereka dengan sebuah karya yang bukan sekadar lagu, tetapi sebuah alegori sosial yang menggugah. Villa Marhaen (Mereka Vs Kami) tampil sebagai single pembuka kepada album penuh ketiga mereka yang bakal dilancarkan tahun ini, berjudul Tunjuk Langit. Lagu ini bukan hanya sekadar halwa telinga, tetapi mengetuk kesedaran — sebuah refleksi tentang jurang sosial yang semakin melebar, disulam dalam bingkai puitis dan sonik yang berani.
Terinspirasi daripada sajak ikonik Marhaenville karya Sasterawan Negara A. Samad Said, loQue — arkitek utama di sebalik monoloQue — menyaring makna puisi tersebut lalu melahirkan Villa Marhaen sebagai cerminan retak-retak halus dalam masyarakat. Jika Marhaenville menyindir dengan sarkasme, Villa Marhaen memilih untuk membayangkan. “Kita tidak mahu menjurus kepada siapa atau apa, tetapi membiarkan pendengar menafsirnya sendiri. Siapa makan cili, dia yang rasa pedas,” ujar loQue.
Secara teknikal, lagu ini mengekalkan identiti eksperimental monoloQue dengan lapisan bunyi yang kompleks — ketukan dram yang hampir ritualistik, petikan gitar yang berselang antara realisme dan surealisme, serta susunan vokal yang memberi ruang kepada gema suara rakyat yang jarang didengar. Herda ‘Geroda’, pemain bass untuk lagu ini, menyifatkan komposisinya sebagai mencabar dan penuh kebebasan. “LoQue dalam album ini seperti orang yang sudah lepas gian — bebas curahkan segala rasa dan idea,” katanya.
![]()  | 
| Villa Marhaen (Versi Kiri) | 
Keberanian dalam reka bunyi menjadikan Villa Marhaen sebuah pengalaman sonik yang menggugah. Menariknya, lagu ini turut diserikan dengan suara latar kanak-kanak dari Kumpulan Nasyid Farabi, menambah lapisan emosi dan kejujuran dalam naratifnya. Dari segi komposisi, lagu ini memperlihatkan peralihan ketara berbanding karya terdahulu — dibina atas latar eksotik dengan sentuhan irama gurun, membangkitkan suasana padang pasir yang gersang namun penuh daya tarikan.
Bakri ‘Halia’ Ismail, pemain dram untuk lagu ini, menyifatkan Villa Marhaen sebagai lebih berjiwa rakyat. “Rentaknya rentak joget, mudah diikuti dan dinyanyikan bersama. Ia lebih straight to the point, berbanding lagu-lagu monoloQue sebelum ini yang lebih eksperimental,” jelasnya. Lagu ini juga menggunakan dua dram, satu pendekatan yang mungkin diteruskan dalam keseluruhan album Tunjuk Langit.
Loko, pemain dram senior monoloQue, melihat lagu ini sebagai kritikan sosial yang halus tetapi tajam. “LoQue memang faham isi hati golongan marhaen. Walaupun komposisinya berbeza, DNA monoloQue tetap ada,” katanya. Pemilihan judul “Marhaen” membawa nuansa simbolik — menggabungkan imejan rakyat dengan ‘villa’ yang lazimnya dikaitkan dengan golongan elit. Bunyi-bunyian berakar dari Timur Tengah bukan sekadar hiasan, tetapi lahir secara organik daripada etimologi judulnya.
Di sebalik melodi merdu dan harmoni kaya, terselit satira sosial yang tenang tetapi menikam. Lagu ini mengimbangi ruang antara fantasi dan realiti, antara ilusi kemewahan dan kebenaran rakyat terbanyak. Ia tidak sekadar mahu didengar, tetapi juga direnung, dicerna, dan mungkin dipersoalkan. “Villa Marhaen sebuah karya yang sarat dengan sindiran sinis, kiasan dan satira,” tegas loQue.
Sebagai kesinambungan kepada warisan karya berteraskan rakyat selepas lagu Ringgit, Villa Marhaen meneruskan jalur “lagu untuk rakyat daripada rakyat” dalam gaya monoloQue. Bukan sekadar lirik sosial, tetapi bahasa muzik yang menyalurkan denyut nadi masyarakat melalui irama dan metafora. loQue menyebut pendekatan ini sebagai “musik kiasan rakyat” — suara marhaen yang dibingkai melalui simbol dan seni, bukan slogan semata.
![]()  | 
| Villa Marhaen (Versi Kanan) | 
Lagu ini juga menjadi pintu masuk kepada album Tunjuk Langit, yang melanjutkan perjalanan epik monoloQue dari Lagu Cinta, rentak dangdut dalam Mengapa Dikenang, Mengapa Difikir, joget moden Halimunan Abad ke-21, balada piano Panjat Tangga, eksperimentasi elektronik Langgar Lari, hingga ke rindu perayaan dalam Rindu Dendam Hari Raya. Kesemuanya membentuk roh album yang disebut loQue sebagai “nama timangan” kepada semangat muzik mereka.
Dengan Villa Marhaen, monoloQue menegaskan bahawa seni bukan sekadar hiburan — ia adalah jendela tafsiran, lorong sunyi antara suara rakyat dan gema kuasa, antara ilusi kayangan dan realiti marhaen. “Baca kontrak sebelum sign,” tambah loQue, memetik lirik yang mungkin paling relevan dalam dunia hari ini.
Sebuah karya yang bukan hanya untuk didengar, tetapi untuk difikirkan. Villa Marhaen adalah suara rakyat yang bergema dalam bentuk paling jujur dan paling berani.
.jpg)
%20(Custom).jpg)
%20(Custom).jpg)
Comments
Post a Comment