DARIPADA PENGELAKAN KE TINDAKAN: MEMAHAMI REALITI KONSULTASI BERSAMA PAKAR UROLOGI


Perbincangan mengenai kesihatan prostat masih sering diselubungi oleh kesunyian, keraguan dan rasa kurang selesa dalam kalangan lelaki di Malaysia. Walaupun akses kepada maklumat kesihatan semakin meluas, sebahagian besar lelaki masih cenderung menangguhkan lawatan ke pakar urologi, khususnya berhubung isu prostat. Antara faktor yang menyumbang termasuklah stigma, ketidakpastian, kebimbangan terhadap prosedur invasif, serta tanggapan bahawa “ia mungkin tidak begitu berat.” Namun, data menunjukkan sebaliknya.

Kanser prostat kini merupakan kanser ketiga paling kerap didiagnosis dalam kalangan lelaki di Malaysia, dengan hampir 70 peratus kes hanya dikesan pada peringkat lanjut. Jurang yang lebih ketara dalam kesihatan lelaki terus kekal, apabila Kementerian Kesihatan mengakui bahawa aspek kesihatan lelaki masih kurang diberi perhatian dalam dasar nasional. Dengan purata jangka hayat lelaki hampir lima tahun lebih pendek berbanding wanita, jelas bahawa sikap berdiam diri terhadap isu kesihatan membawa implikasi yang serius.

Sebagai langkah proaktif, Pusat Perubatan Sunway Damansara (Sunway Medical Centre Damansara – SMCD) mengambil inisiatif untuk mengubah persepsi tersebut dengan memperkenalkan pendekatan yang lebih terbuka. Langkah ini bermula dengan penjelasan telus mengenai apa yang sebenarnya berlaku semasa sesi konsultasi urologi, yang hakikatnya jauh daripada menakutkan (dan jauh lebih penting) daripada apa yang disangkakan.

Ketakutan, Stigma & Kesunyian: Mengapa Lelaki Melengah-Lengahkan Konsultasi Urologi?

Secara umumnya, wanita didedahkan kepada pemeriksaan kesihatan reproduktif sejak usia muda, manakala lelaki kurang cenderung untuk menjalani saringan berkala. Kebanyakan lelaki hanya mendapatkan rawatan apabila simptom mula mengganggu atau menjadi sukar untuk diabaikan. Bagi sesetengah individu, berbicara mengenai kesihatan urinari atau prostat dianggap terlalu peribadi, manakala idea menjalani pemeriksaan fizikal pula sering menimbulkan keresahan atau rasa malu.

“Pada pendapat saya, terdapat sikap dalam kalangan lelaki dimana mereka perlu selalu dilihat sebagai seorang yang tabah, malah sikap ini membuat mereka cenderung untuk memandang ringan isu kesihatan kerana percaya ia akan pulih dengan sendiri,” ujar Dr. Yeoh Wei Sien, Pakar Urologi di Pusat Perubatan Sunway Damansara. “Ramai juga beranggapan mereka tidak berisiko, atau dalam erti kata lain, mereka mempunyai tahap kesedaran risiko yang rendah. Akibatnya, mereka tidak melihat simptom yang dialami sebagai sesuatu yang luar biasa atau memerlukan perhatian doktor.”

Apabila simptom akhirnya muncul, ada yang memilih untuk mencari jawapan melalui internet atau mencuba rawatan tradisional serta suplemen yang disarankan oleh rakan-rakan. Pendekatan sebegini boleh melambatkan diagnosis yang tepat dan dalam sesetengah keadaan, memburukkan lagi keadaan kesihatan individu tersebut.”

Tanggapan masyarakat turut memainkan peranan. “Lelaki sering dianggap perlu sentiasa kuat dan ini menjadikan perbualan mengenai isu kesihatan seperti penjagaan prostat lebih sukar kerana ia dianggap terlalu peribadi atau akan menimbulkan ketidakselesaan,” jelas Dr. Yeoh. “Kini maklumat kesihatan lebih mudah didapati dan perkara tersebut sedikit sebanyak membantu mengubah sikap masyarakat. Namun begitu, perbincangan mengenai isu kesihatan lelaki masih dianggap sensitif dan jarang dibincangkan secara terbuka. Pada akhirnya, keputusan untuk mendapatkan rawatan tetap terletak pada individu.”

Apa Sebenarnya Berlaku Semasa Konsultasi Urologi

Salah satu faktor utama yang menyebabkan lelaki kurang mendapatkan rawatan adalah kurangnya pengetahuan tentang apa yang sebenarnya berlaku semasa sesi konsultasi. Istilah “pemeriksaan prostat” sering menimbulkan kebimbangan, khususnya kerana sering dikaitkan dengan pemeriksaan rektum digital (digital rectal exam atau DRE). Namun hakikatnya, konsultasi urologi moden jauh lebih berhemah, profesional dan berfokuskan kepada pesakit berbanding tanggapan kebanyakan orang.

Menurut Dr. Yeoh Wei Sien, sesi konsultasi lazimnya dimulakan dengan perbualan: “Sesi dimulakan dengan mendapatkan maklumat mengenai simptom, gaya hidup serta keadaan kesihatan umum pesakit. Jika prostat dikenal pasti sebagai kebimbangan utama, fokus diberikan kepada corak pembuangan air kecil serta faktor risiko. Sekiranya perlu – dan sentiasa dengan persetujuan pesakit – pemeriksaan fizikal akan dijalankan, yang mungkin merangkumi pemeriksaan rektum bagi menilai saiz serta tekstur kelenjar prostat.”

Walaupun DRE masih merupakan kaedah diagnostik yang penting, Dr. Yeoh menegaskan ia tidaklah menakutkan seperti yang sering dibimbangkan. “Sepanjang sesi, kami akan sentiasa menerangkan terlebih dahulu setiap langkah yang akan dilakukan, serta memastikan proses berlangsung dengan pantas dan sebaik mungkin. Malah, kebanyakan pesakit mengatakan bahawa prosedur tersebut jauh lebih selesa daripada apa yang mereka bayangkan.”

Lebih penting, penjagaan prostat masa kini merangkumi lebih daripada sekadar pemeriksaan fizikal. Bergantung pada keperluan pesakit, doktor mungkin mencadangkan ujian makmal, pemeriksaan pengimejan atau penilaian khusus. “Selain daripada diagnosis semata-mata, matlamat utama adalah membina kepercayaan – dan hubungan baik dengan pesakit amat membantu dalam proses ini,” tambah Dr. Yeoh. “Kami amat menitikberatkan keselesaan, privasi serta komunikasi terbuka pada setiap peringkat rawatan.”

Menilai Semula Penjagaan Prostat

Selama bertahun lamanya, isu kesihatan prostat sering dipinggirkan. Hakikatnya, prostat mempunyai kaitan rapat dengan aspek kesihatan lelaki secara menyeluruh – merangkumi fungsi urinari hinggalah prestasi seksual.

“Prostat merupakan sebahagian daripada sistem reproduktif. Walaupun rawatan untuk pembesaran prostat kadangkala boleh menyebabkan disfungsi erektil (erectile dysfunction - ED), tidak semua kes ED berpunca daripada masalah prostat,” jelas Dr. Yeoh. “Ramai lelaki sedar bahawa prostat mempengaruhi pembuangan air kecil dan fungsi reproduktif, tetapi mereka tidak memahami bagaimana ia berkait dengan kesihatan keseluruhan serta kualiti hidup. Masalah prostat yang tidak dirawat juga berpotensi membawa kepada jangkitan sistem badan lain. Tanda amaran awal tidak wajar diabaikan,” beliau menegaskan. “Aliran kencing yang perlahan, jangkitan berulang, kerap terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil atau kewujudan darah dalam air kencing adalah antara faktor yang penting untuk segera mendapatkan konsultasi.”

Perkembangan dalam bidang urologi turut membuka harapan baharu. Menurut Dr. Yeoh, ubat-ubatan kini lebih khusus dengan kesan sampingan yang minimum, manakala pilihan pembedahan pula semakin bersifat invasif minimum. Beliau turut menekankan bahawa perbincangan bersama pesakit mengenai maskuliniti, keintiman serta aspek keterdedahan kini ditangani dengan lebih terbuka dan penuh kepekaan.

Menjadikan Penjagaan Prostat Sebahagian daripada Perbualan

Pada asasnya, penjagaan prostat bukan hanya tertumpu kepada mendapatkan diagnosis, tetapi juga tentang memperkasakan lelaki untuk mengawal kesihatan mereka sendiri. Menerusi pendidikan awam dan dialog terbuka, pakar urologi di SMCD berhasrat untuk menormalkan perbualan mengenai kesihatan prostat serta mendorong lelaki mengambil pendekatan yang lebih proaktif terhadap penjagaan diri.

“Malaysia pada masa ini masih belum mempunyai program saringan kanser prostat di peringkat nasional,” jelas Dr. Yeoh. “Namun, lelaki berusia 45 hingga 50 tahun – terutamanya mereka yang mempunyai sejarah keluarga – disarankan untuk mempertimbangkan ujian awal sekiranya berada dalam keadaan sihat dan berpotensi untuk hidup sekurang-kurangnya lagi 10 tahun atau lebih.”

Buat mereka yang masih berasa takut atau malu, beliau memberikan nasihat yang jelas: “Penyakit prostat boleh dirawat. Lebih awal ia dikesan, lebih banyak pilihan rawatan tersedia – selalunya tanpa gangguan besar kepada kehidupan seharian. Pengesanan awal memberikan peluang terbaik untuk rawatan yang berkesan, malah berpotensi sembuh sepenuhnya. Menunggu terlalu lama pula boleh mengakibatkan keperluan rawatan lebih intensif atau kehilangan peluang rawatan sepenuhnya.”

Satu pemeriksaan ringkas hari ini mampu membawa perubahan besar pada masa hadapan. Layari laman web Pusat Perubatan Sunway Damansara untuk maklumat lanjut atau menempah sesi konsultasi.

Comments

Popular posts from this blog

CADBURY DAIRY MILK TAMPIL DENGAN IDENTITI JENAMA BAHARU

CITA RASA MINNAN DI PUTRAJAYA: KOLABORASI KULINARI LE MÉRIDIEN X SHERATON GRAND XIAMEN

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN