ARY HUSSIN LANCAR SINGLE PERDANA “LUKA TERPALING DALAM” – GUBAHAN PENCIPTA LAGU TERSOHOR, EDRIE HASHIM
Selepas dua dekad berjuang tanpa mengenal putus asa untuk menembusi pasaran arus perdana, Muhammad Hadzri Hussin, 40, akhirnya melakar sejarah peribadi apabila tampil sebagai penyanyi profesional dengan nama pentas Ary Hussin.
Ary yang sebelum ini dikenali melalui persembahan di gerai burger dan platform media sosial, kini melangkah ke pentas sebenar dengan single sulung berjudul “Luka Terpaling Dalam”, hasil ciptaan penuh legenda muzik tanah air, Edrie Hashim. Lagu bergenre pop balada ini menonjolkan kekuatan vokal Ary yang sarat emosi, dibalut melodi kontemporari dengan nuansa klasik Melayu.
Perjalanan Seni 20 Tahun & Sokongan A7 Empire
Ary bukanlah pendatang baru dalam dunia muzik. Beliau telah berusaha selama 20 tahun untuk menjadikan muzik sebagai kerjaya sepenuh masa. Usaha gigih itu mula mendapat perhatian apabila pihak A7 Entertainment melihat bakat dan komitmen Ary menerusi program Astro Gimme The Mic pada 2024. Dari situ, A7 mula merangka konsep yang sesuai sebelum menawarkan kontrak rakaman sulung kepada Ary pada awal 2025.
Lebih istimewa, Ary kini menjadi artis rakaman pertama di bawah label A7 Empire dan A7 Entertainment, menjadikan pelancaran single ini sebagai detik bersejarah bukan sahaja buat dirinya tetapi juga syarikat rakaman tersebut.
Idola Jadi Mentor
Edrie Hashim, yang merupakan salah seorang idola Ary sejak muda, turut mencadangkan kepada pihak A7 agar beliau diberi peluang bekerjasama dalam projek ini. Hasilnya, “Luka Terpaling Dalam” lahir sebagai karya yang benar-benar menonjolkan ciri khas vokal Ary.
Menurut Edrie, lagu ini dihasilkan dengan menekankan kekuatan vokal Ary yang kaya dengan bunyian Melayu. “Ada sedikit rasa klasik tetapi tetap segar sesuai dengan cita rasa masa kini. Liriknya membawa kisah luka dan patah hati, namun susunan strings dan piano menjadikannya sinematik,” jelasnya.
Pelancaran Eksklusif
Pelancaran rasmi single ini turut disertai tayangan perdana muzik video arahan Syazwan Zazlan dari A7 Entertainment. Menariknya, Ary dan Edrie sendiri menyaksikan muzik video tersebut buat kali pertama bersama para tetamu dan wakil media.
Acara itu juga menjadi pentas bagi persembahan live pertama Ary Hussin secara eksklusif, menandakan langkah rasmi beliau sebagai penyanyi profesional.
Dari Band Penunggu ke Pentas Solo
Selain kerjaya solonya, Ary juga merupakan vokalis kumpulan rock Band Penunggu sejak 2017. Pengalaman bersama kumpulan itu menjadi asas kepada kematangan vokalnya sebelum beliau beralih ke dunia pop balada dengan single perdana ini.
Bagi Ary, peluang memiliki single sendiri hasil sentuhan seorang legenda adalah mimpi yang menjadi kenyataan. “Saya bersyukur kerana suara saya dinilai berkualiti dan diberi peluang diketengahkan. Harapan saya, ‘Luka Terpaling Dalam’ mendapat tempat di hati peminat kerana ia dihasilkan dengan penuh cermat demi memenuhi kehendak pasaran masa kini,” katanya.
Single “Luka Terpaling Dalam” kini diedarkan oleh A7 Empire (A7E) dan boleh didengarkan di stesen radio serta pelbagai platform digital. Baik Ary mahupun Edrie, kedua-duanya berharap karya ini diterima sebagai sumbangan baharu yang memperkayakan industri muzik tempatan.
%20(Custom)%20(1).jpg)
%20(1).jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment