TAYANGAN KHAS WAYANG PACAK BAGI FILEM MAGIK DITERUSKAN KE 4 LAGI LOKASI


Penganjuran tayangan khas atau ‘wayang pacak’ sempena filem magiK diteruskan di empat lagi lokasi terpilih serata tanah air iaitu YMCA di Pulau Pinang, Port Ipoh dan Johor Baharu sejak Oktober lalu.

Menurut penerbit juga teraju utama produksi 42nd Pictures Sdn Bhd, Bea dan suaminya, pengarah Yasu Tanaka, tayangan khas atau ‘wayang pacak’ itu adalah cara alternatif sebelum tayangan di pawagam untuk menyampaikan filem itu secara terus kepada masyarakat tempatan.


“Semasa tayangan khas ini, Yasu menemui semula nilai atau kewujudannya sebagai pembikin filem indie.

“Pengalaman menganjurkan tayangan khas ini juga ini tidak ternilai buat kami,” kata pasangan suami isteri ini.

Yasu yang juga pengarah filem magiK berkata, pihaknya gembira kerana dapat berkongsi filem itu dengan penonton dan melihat reaksi mereka menerusi tayangan khas itu.

"Tayangan khas filem ini adalah versi 'closed caption' untuk memudahkan penonton dari komuniti bermasalah pendengaran,” katanya.


Sebagai bekas guru pendidikan khas, Bea berkata, tayangan khas filem magiK di YMCA, Pulau Pinang berjaya menarik seramai lebih 150 kanak-kanak dan dewasa pekak (CODA).

“Ia juga pertemuan semula saya dengan bekas pelajar yang juga seorang guru di mana dia membawa ramai pelajar dan guru pelajar bermasalah pendengaran untuk tayangan khas berkenaan.

“Komuniti pekak juga sangat fokus ketika menonton filem magiK menerusi skrin besar ketika tayangan khas filem ini,” katanya.

Kata Bea lagi, kerja kerasnya dan Yasu untuk menganjurkan tayangan khas filem magiK juga membuahkan hasil apabila melihat orang ramai menghayati filem berkenaan.

“Pekak bukan kecacatan tetapi mereka mempunyai keupayaan yang berbeza,” katanya.


Bea juga mengucapkan terima kasih dengan kerjasama diberikan pihak Port Ipoh
kerana berjaya menjayakan acara tayangan khas dua hari dan menampilkan penonton yang sangat berbeza.

“Pihak kami menayangkan filem magiK kepada komuniti seni dan pelajar dari sekitar Ipoh pada tayangan khas 14 Oktober lalu.

“Pelakon utama filem ini, Beto Kusyairy turut hadir dan ia adalah kali pertama dia menonton filem magiK,” katanya.

Bea berkata, apa yang terbaik daripada tayangan khas kali ini ialah mereka dapat berkongsi filem magiK dengan komuniti pekak.

Katanya, tayangan khas pada 15 Oktober di Ipoh pula berjaya menarik seramai 100 orang termasuk dari Persatuan Orang Pekak Perak (POPP), Sekolah Rendah Khas untuk orang pekak dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Hampir semua penonton bermasalah pendengaran ditemani guru dan ibu bapa mereka.

“Kami juga terkejut apabila melihat penonton OKU pekak menonton filem ini sehingga selesai. Saya percaya kanak- kanak pekak mudah mengaitkan diri mereka dengan watak Kit dalam filem ini,” katanya.


Tidak ketinggalan, kata Bea, tayangan khas filem magiK yang terakhir di Embrace Hall, Johor Bahru dijayakan walaupun dengan penonton bersaiz kecil.

“Kerjasama dengan penduduk tempatan di Embrace Hall, Johor Bahru mengingatkan kami dengan komuniti kecil seni di Kuantan dan Sungai Petani sebelum ini,” katanya.

“magiK” dibarisi pelakon terkenal tanah air seperti Beto Kusyairy, Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain.

Filem ini berkisar kepada kanak-kanak pekak berusia tujuh tahun, Kit di perkampungan yang terkenal dengan tarikan kelip-kelip dan menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada 30 November 2023.




Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI