SHAZIA LANCAR “ITOSHI-HITO”: LAGU CINTA JEPUN PENUH EMOSI HASIL SENTUHAN PAKYA SENARIO



Penyanyi dan pelakon Shazia Rozaini tampil dengan single terbaharu berjudul “Itoshi-Hito”, sebuah lagu cinta berbahasa Jepun ciptaan komposer dan pelawak terkenal kumpulan Senario, Illya Buang atau lebih dikenali sebagai Pakya Senario.

“Itoshi-Hito” yang membawa maksud “Rinduku” mengisahkan seorang gadis Melayu yang menyimpan perasaan terhadap jejaka Jepun, namun cintanya tidak pernah diungkapkan. Persoalan sama ada jejaka itu turut membalas perasaan tersebut terus menghantui fikiran si gadis, menjadikan lagu ini sarat dengan emosi rindu dan keraguan.

Shazia berkata, lagu ini bukan sekadar romantik dalam makna bahasa Jepun, tetapi juga melambangkan kerinduannya terhadap seni nyanyian yang memperkenalkan dirinya ke dunia hiburan. “Apabila Pakya memberikan lagu ini kepada saya, saya sangat gembira kerana ia turut menggambarkan keindahan budaya Jepun,” katanya.

Selain bergiat dalam bidang nyanyian, Shazia kini aktif sebagai pelakon dengan membintangi pelbagai drama dan telefilem di TV3, Astro serta RTM. Beliau juga baru-baru ini terlibat dalam teater muzikal Masmoona bersama pelakon popular Nabila Huda.

Pakya pula menjelaskan inspirasi lagu ini datang daripada pengaruh muzik Jepun era 70-an yang menurutnya sesuai dengan cita rasa pendengar Melayu. “Shazia berbakat besar dalam nyanyian. Saya mula mengenalinya melalui rancangan Sepahtu Reunion dan tertarik untuk menghasilkan single baharu ini sebagai langkah penting dalam perjalanan muziknya,” ujar Pakya.

Dengan melodi sentimental, pengaruh budaya Jepun dan penceritaan yang halus, “Itoshi-Hito” dijangka memberi pengalaman emosional kepada pendengar. Lagu ini turut mendapat sokongan penuh daripada label Luncai Emas, yang bertindak sebagai pengedar digital dan pemegang hak cipta.

Single ini kini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music dan iTunes, manakala video muzik rasmi boleh ditonton di saluran YouTube Luncai Emas.

Comments

Popular posts from this blog