TOURISM MALAYSIA PERKUKUH SINERGI INDUSTRI PELANCONGAN DI SABAH MENJELANG VISIT MALAYSIA 2026


Tourism Malaysia Sabah telah menganjurkan Majlis Apresiasi Media dan Rakan Strategik Industri Pelancongan sebagai usaha berterusan untuk memperkukuh jaringan kerjasama strategik serta menyokong pembangunan industri pelancongan di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sejajar dengan aspirasi nasional, kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Majlis ini menghimpunkan penggiat industri pelancongan utama termasuk agensi dan pengendali pelancongan, pengusaha penginapan, syarikat penerbangan, pemilik produk pelancongan, komuniti setempat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan serta wakil media. Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen bersepadu semua pihak ke arah memperkasa ekosistem pelancongan yang inklusif, mampan dan berdaya saing.

Sepanjang tahun 2025, industri pelancongan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan terus mencatatkan prestasi yang memberangsangkan meskipun berdepan pelbagai cabaran global. Peningkatan ketibaan pelawat, pengukuhan kerjasama awam-swasta serta pengenalan produk pelancongan bernilai tambah telah menyumbang secara signifikan kepada pemulihan dan pertumbuhan sektor ini.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Cik Haryanty Abu Bakar, “Kejayaan sektor pelancongan amat bergantung kepada pendekatan bersepadu serta sokongan menyeluruh daripada semua pihak berkepentingan. Disamping kerjasama erat bersama rakan strategik industri, peranan media juga amat signifikan dalam menyampaikan naratif pelancongan negara. Sokongan berterusan melalui liputan, penulisan dan penghasilan kandungan kreatif berupaya meningkatkan keterlihatan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa”.

Bagi menyokong pelaksanaan kempen Visit Malaysia 2026, Tourism Malaysia Sabah telah mengenal pasti tiga keutamaan strategik promosi, iaitu;
  • Memperkukuh penjenamaan dan pemasaran destinasi bagi merangsang permintaan pasaran;
  • Meningkatkan aliran pelawat melalui pelaksanaan kerjasama strategik bersama rakan industri; serta
  • Memberi tumpuan kepada segmen pasaran berimpak tinggi termasuk pelancongan pengembaraan, ekopelancongan, golf, serta produk pelancongan minat khas seperti Community-Based Tourism (CBT), pengalaman homestay, birdwatching dan selaman skuba.
Menurut beliau lagi, VM2026 merupakan agenda nasional yang menuntut kerjasama erat antara sektor awam dan swasta, khususnya di Sabah. Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan ekonomi pelancongan, malah memberi impak langsung kepada komuniti, pemeliharaan alam sekitar serta pengukuhan kedudukan negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia.


Seiring dengan usaha memperkasa industri pelancongan negara, Tourism Malaysia juga telah membuka permohonan secara dalam talian bagi Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan program GAMELAN bagi tahun 2026 bermula 16 Disember 2025. Inisiatif ini bertujuan memberikan peluang kepada pihak industri untuk memohon sokongan dalam melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan pelancongan selaras dengan aspirasi nasional.

Comments

Popular posts from this blog

FITNESS @ SEA: STARCRUISES X UNDER ARMOUR BAWA KECERGASAN KE LAUT BIRU

SIPZZ BUKA KEDAI PERDANA PERTAMA DI MALAYSIA – TUMBLER WARNA-WARNI UNTUK GAYA HIDUP SIHAT

RANGKAIAN PENJAGAAN KULIT KEPALA SUU BALM DENGAN FORMULASI PAKAR DERMATOLOGI UNTUK KESIHATAN KULIT KEPALA & RAMBUT

ELDON, JENAMA PHARM-D HEALTH SCIENCE, METERAI KERJASAMA DUTA JENAMA DENGAN SELEBRITI CHAN FONG AND HENLEY HII, RAIH PENGIKTIRAFAN MALAYSIA BOOK OF RECORDS

KINOHIMITSU PERKENAL KOLEKSI HAMPER TAHUN BARU CINA 2026