‘MY RAMADAN LOVE STORY’ – DRAMA VERTIKAL ANGKAT CINTA PENUH MAKNA SEMPENA RAMADAN
Bulan Ramadan bukan sahaja sinonim dengan ibadah dan muhasabah diri, tetapi juga menjadi inspirasi kepada karya seni yang menyentuh hati. P-Circle bersama Nuansa Sdn Bhd tampil dengan sebuah drama vertikal berjudul My Ramadan Love Story, sebuah naskhah yang mengangkat kisah cinta sederhana namun sarat dengan nilai kemanusiaan, keikhlasan dan kesabaran.
Majlis tayangan perdana yang berlangsung di Courtyard by Marriott Kuala Lumpur baru-baru ini turut diserikan dengan kehadiran anak-anak yatim, sebagai sebahagian daripada inisiatif produksi dan penganjur untuk berkongsi kegembiraan Ramadan. Suasana penuh mesra itu menjadikan pelancaran drama ini lebih bermakna, seiring dengan mesej yang ingin disampaikan kepada penonton.
Penerbit Nuansa, Jaya Julian, menjelaskan bahawa idea menghasilkan drama ini tercetus daripada detik-detik kecil masyarakat tempatan sepanjang Ramadan. “Ramadan adalah waktu untuk memperlahankan langkah, merenung diri dan menjadi lebih peka terhadap hati serta niat. My Ramadan Love Story diilhamkan daripada momen sederhana seperti interaksi di masjid atau sekecil momen berkongsi kurma ketika berbuka. Detik sebegini mampu menyentuh hati dan merapatkan hubungan sesama manusia,” katanya.
Keunikan drama ini terletak pada pendekatan penceritaan yang lebih tenang dan intim, berbeza daripada kebanyakan drama Ramadan yang sering menonjolkan konflik besar atau emosi dramatik. “Dalam drama ini, cerita berkembang melalui detik-detik kecil yang penuh makna – pandangan mata, kesunyian, perasaan yang disimpan. Ia mengetengahkan bentuk cinta yang jarang dipaparkan di layar, iaitu cinta yang berkembang dengan penuh batas, disiplin dan rasa hormat,” tambah Julian.
Barisan pelakon yang membawakan kisah ini terdiri daripada nama-nama berbakat besar seperti Muaz Zabir, Ezzanie Jasny, Syrul Ezwan, Farah Nadiah, dan Wan Raja, yang masing-masing menampilkan lakonan penuh penghayatan. Lebih menarik, drama ini diarahkan oleh pengarah prolifik Osman Ali, yang terkenal dengan sentuhan sinematik penuh emosi dan kehalusan visual. Kehadiran beliau sebagai pengarah menambah kredibiliti dan daya tarikan drama ini.
Drama ini bukan sekadar kisah cinta, tetapi juga refleksi kehidupan ramai orang. Ia menekankan kesabaran, menjaga batas dalam hubungan, serta kepercayaan bahawa setiap perkara berlaku pada waktunya. “Kami berharap My Ramadan Love Story dapat menyentuh hati penonton kerana kisahnya dekat dengan kehidupan seharian masyarakat,” ujar Julian lagi.
Selain itu, drama ini juga menjadi sebahagian daripada usaha P-Circle untuk memperkasa kandungan original tempatan yang segar dan relevan dengan penonton masa kini. Dengan format vertikal yang sesuai untuk tontonan digital, ia dijangka menarik minat generasi muda yang semakin gemar menikmati kandungan hiburan melalui telefon pintar.
Drama vertikal My Ramadan Love Story kini boleh ditonton di platform rasmi P-Circle secara digital, dengan format paparan menegak yang direka khas untuk tontonan telefon pintar.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment