TV ALHIJRAH LANCAR BINCANG NIAGA 2026 BAGI MEMPERKASA USAHAWAN DAN SME TEMPATAN
TV AlHijrah terus memperluaskan peranannya sebagai platform pembangunan ummah apabila melancarkan Bincang Niaga 2026, sebuah inisiatif khas yang membuka peluang kepada usahawan dan perusahaan kecil serta sederhana (SME) tempatan memanfaatkan kekuatan ekosistem media bagi memperkukuh jenama, meningkatkan keterlihatan produk serta mengembangkan potensi perniagaan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Inisiatif yang berlangsung dari 22 Jun hingga 31 Julai 2026 itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TV AlHijrah dalam menyokong agenda pembangunan ekonomi ummah melalui penyediaan akses kepada platform promosi yang lebih efektif, dipercayai dan mampu menjangkau khalayak yang lebih luas.
Seiring dengan perubahan landskap perniagaan yang semakin dipacu oleh teknologi dan komunikasi digital, keupayaan sesebuah perniagaan untuk menonjol serta membina keyakinan pengguna menjadi antara faktor utama yang menentukan kejayaan. Menyedari cabaran yang dihadapi oleh ramai usahawan tempatan khususnya dalam aspek pemasaran dan penjenamaan, TV AlHijrah mengambil langkah proaktif dengan menawarkan peluang kepada komuniti perniagaan untuk memanfaatkan rangkaian platform medianya yang merangkumi televisyen, digital dan media sosial secara lebih strategik.
Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, media hari ini mempunyai peranan yang jauh lebih besar daripada sekadar menyampaikan maklumat dan hiburan, malah mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan masyarakat.
“TV AlHijrah sentiasa percaya bahawa media mempunyai tanggungjawab untuk memberi nilai tambah kepada masyarakat. Sebagai sebuah organisasi penyiaran yang membawa aspirasi Satukan Ummah dengan Ilmu, kami melihat media juga berupaya menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi ummah dengan membantu usahawan tempatan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas.
“Melalui Bincang Niaga 2026, kami membuka ruang kepada usahawan untuk memanfaatkan kekuatan platform televisyen, digital dan media sosial TV AlHijrah bagi meningkatkan kesedaran terhadap jenama mereka, sekali gus memperkukuhkan daya saing dalam landskap perniagaan yang semakin mencabar,” katanya.
Menurut beliau, ramai usahawan mempunyai produk dan perkhidmatan yang berkualiti serta berpotensi tinggi untuk berkembang, namun masih berdepan cabaran untuk mendapatkan pendedahan yang mencukupi dan konsisten dalam pasaran.
“Ramai usahawan mempunyai idea yang baik dan produk yang berkualiti, tetapi tidak semua mempunyai akses kepada platform promosi yang mampu membantu mereka membina kredibiliti dan keyakinan pelanggan. Justeru, TV AlHijrah mahu menjadi sebahagian daripada penyelesaian dengan menyediakan ruang yang lebih mudah diakses bagi membantu mereka memperkukuh kehadiran jenama dan mengembangkan perniagaan secara lebih mampan.
“Kejayaan usahawan tempatan bukan sahaja memberi manfaat kepada perniagaan mereka, malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, pewujudan peluang pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. Atas dasar itu, TV AlHijrah komited untuk terus memainkan peranan sebagai rakan strategik dalam memperkasakan komuniti perniagaan tempatan,” tambah beliau.
Melalui Bincang Niaga 2026, peserta berpeluang memanfaatkan kekuatan ekosistem media TV AlHijrah yang merangkumi pelbagai saluran komunikasi bagi membantu meningkatkan kesedaran terhadap jenama, memperluaskan capaian pasaran serta memperkukuhkan hubungan dengan pelanggan sedia ada dan pelanggan baharu.
Selain itu, peserta juga akan dibantu oleh pasukan profesional TV AlHijrah dalam merancang pendekatan promosi yang bersesuaian dengan objektif dan keperluan perniagaan masing-masing agar impak kempen yang dilaksanakan dapat dioptimumkan dengan lebih berkesan.
Sebagai galakan kepada penyertaan awal, TV AlHijrah turut menawarkan diskaun istimewa sehingga 40 peratus kepada peserta yang mendaftar sepanjang tempoh promosi yang ditetapkan, tertakluk kepada terma dan syarat.
Usahawan dan pemilik perniagaan yang berminat boleh mengemukakan penyertaan melalui Borang Minat Bincang Niaga 2026 di pautan https://bit.ly/bincangniagatvah2026. Penyertaan adalah terhad dan tertakluk kepada kekosongan slot yang disediakan.
TV AlHijrah berharap inisiatif ini dapat menjadi platform yang membantu lebih ramai usahawan tempatan mengembangkan potensi perniagaan mereka, sekali gus menyumbang kepada usaha memperkukuh ekosistem ekonomi ummah yang lebih progresif, inklusif dan mampan.
%20(Custom).png)
Comments
Post a Comment