EDISON CHEN KEMBALI KE LAYAR PERAK! BERGANDING DENGAN ANTHONY WONG DALAM FILEM RM10 JUTA 'TEMPLE OF WISHES'


Filem blockbuster Tahun Baharu Cina bernilai RM10 juta, Temple of Wishes, sedia menggegarkan pawagam tempatan apabila dijadualkan menemui penonton pada hari pertama Tahun Baharu Cina 2027, bersamaan 6 Februari 2027. Sesi sidang media yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini menyaksikan gabungan mantap barisan pelakon terkemuka dari Hong Kong, Taiwan dan Malaysia, sekali gus mencetuskan fenomena serta keterujaan peminat filem tanah air.

Dua gergasi perfileman Hong Kong, Anthony Wong dan Edison Chen, dipilih menerajui naskhah hebat ini. Kehadiran Edison Chen sebagai watak utama paling mencuri tumpuan ramai memandangkan beliau sudah sekian lama 'menyepi' daripada persada seni lakonan. Majlis tersebut turut diseri dengan kehadiran pelakon Taiwan, Nikki Hsieh, pelakon Hong Kong Samuel Pang dan Summer Chan, serta bintang bakat tempatan, Zhen Ning.

Pengarah filem, Pei Chiek Goh, meluahkan rasa syukur apabila projek yang mengambil masa empat tahun dalam fasa penulisan skrip dan perancangan ini akhirnya berjaya 'naik penggambaran'. Menjelaskan pemilihan teraju utama, Pei Chiek memberitahu keserasian atau 'chemistry' antara Anthony Wong dan Edison Chen menjadi punca utama beliau mengunci pilihan tersebut sejak awal lagi. Beliau mengakui agak gemuruh pada mulanya, namun komitmen serta kebebasan memberikan idea daripada barisan pelakon banyak mempermudah urusan di set.


Filem terbitan YP Entertainment Sdn Bhd dengan kerjasama Umi-Umi Penang, Huayang Film dan Mega Films Distribution Sdn Bhd ini menjalankan penggambaran merentas tiga buah negara iaitu China, Malaysia dan Itali. Antara lokasi ikonik yang terlibat termasuklah Hengdian, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Bellagio, selain set khas yang dibina bina khas demi menghidupkan atmosfera unik jalan cerita ini.

Pengalaman berlakon bersama turut meninggalkan kesan mendalam buat Anthony Wong. Pelakon veteran pemenang tiga kali Anugerah Filem Hong Kong itu memuji sikap profesional Edison Chen yang sanggup 'berjaga malam' menghafal skrip bahasa Cina menggunakan ejaan fonetik Inggeris, memandangkan beliau kurang fasih berbahasa Mandarin. Anthony turut berseloroh mengenai sebab beliau menerima tawaran filem ini: faktor bayaran lumayan daripada produksi berskala besar. Beliau menambah, kesefahaman antara dirinya dan Edison serta sikap pengarah yang 'open-minded' menjadikan perwatakan mereka lebih hidup dan berimpak tinggi.

Bagi Edison Chen pula, keputusannya untuk kembali turun ke set adalah demi menguji sama ada beliau masih 'ada taring' dalam bidang lakonan dan kekal relevan di mata penonton. Edison mengakui kini beliau lebih fokus dan menjiwai watak berbanding dahulu, hinggakan waktu menunggu giliran penggambaran pun berasa begitu lama. Apabila ditanya mengenai impian, Edison berkongsi pegangan hidupnya bahawa beliau tidak percaya pada sekadar berharap atau 'minta hajat', sebaliknya lebih selesa menyusun strategi dan berusaha merealisasikannya secara nyata.

Sementara itu, barisan pelakon lain turut berdepan cabaran tersendiri. Samuel Pang meluahkan rasa teruja dapat kembali menjalani penggambaran di Malaysia selepas lebih dua dekad, di mana beliau akhirnya membawa watak orang biasa—satu kelainan daripada imej babak aksi yang sering dibawakannya sebelum ini. Nikki Hsieh pula tertarik dengan elemen tilik nasib serta mistik yang diangkat dalam penceritaan, manakala Summer Chan memilih untuk bermain dengan emosi secara spontan di set. Cabaran paling berat digalas oleh pelakon tempatan, Zhen Ning, yang memegang watak Panglima Besar. Beliau perlu menyarung baju perisai seberat 20 kilogram sambil memegang senjata seberat 10 kilogram, selain wajib menjalani latihan persediaan khas bersama jurulatih aksi.


Temple of Wishes mengisahkan dua lelaki marhaen, A-Tian dan A-Le, yang berdepan jalan buntu dalam kehidupan lalu mengambil keputusan untuk mendirikan sebuah tokong tempat 'memohon hajat'. Tokong tersebut mula tumpuan masyarakat pelbagai lapisan, namun niat asal mereka bertukar menjadi huru-hara apabila garis antara kebenaran dan ilusi semakin kabur.

Proses penggambaran di Pulau Pinang telah pun selesai dan penggambaran utama dijangka tamat sepenuhnya menjelang akhir September bagi memberi ruang kepada fasa posproduksi. Filem yang sarat dengan suspen, emosi dan drama ini dijangka bakal menjadi tumpuan utama penonton di pawagam kelak.

Comments

Popular posts from this blog

SEJUTA BINTANG KEMBALI, TOP 32 BERSEDIA BERSAING DALAM CALPIS SODA ONE IN A MILLION!

HEALTH SUMMIT ASIA (HSA) 2027: MEMACU INOVASI, AKSES PASARAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI DI SELURUH EKONOMI KESIHATAN ASIA YANG BERNILAI RM20 TRILION

CITRAWARNA SPEED FESTIVAL 2026 MERAIKAN SENI BUDAYA BERSAMA KEMERIAHAN SUKAN PERMOTORAN

EKSKLUSIF DI VIU: DIA PEREMPUAN SIALAN, SERAM PENUH DENDAM