MUNAFIK 2 MENGGEMPARKAN PAWAGAM 30 OGOS INI



Syamsul Yusof kembali filem Munafik 2 yang mengekalkan genre seram dan penuh dengan perisian keagamaan (Islamic) dengan gaya persembahan yang lebih bertenaga dan bermotivasi.

Boleh dikatakan atas permintaan para penggemar setia filem-filem karya Syamsul telah mendorong beliau untuk mempersembahkan sebuah lagi karya yang berkait rapat dengan jalan cerita MUNAFIK.


Filem MUNAFIK 2 merupakan karya Syamsul yang ke 10. Syamsul menaruh kepercayaan tinggi dengan menampilkan Maya Karin buat pertama kalinya dalam MUNAFIK 2. Bakat lakonan beliau yang besar menerusi filem-filem lakonannya sebelum ini yang cukup berkesan diyakini mampu menghidupkan watak Sakinah yang menuntut pengawalan emosi sebagai seorang anak yang menjaga bapanya yang mengidap penyakit misteri di samping membesarkan seorang anak yang turut menderita sejenis penyakit gara-gara tekanan akibat diganggu jin/syaitan.

Syamsul juga buat kedua kalinya menampilkan Nasir Bilal Khan sebagai pemain watak yang sangat mencabar menerusi MUNAFIK 2. Syamsul percaya berdasarkan lakonan mantap Nasir sebelum ini menerusi filem BOHSIA… Jangan Pilih Jalan Hitam (2009), Nasir berupaya memberikan persembahan terbaik untuk watak yang dipertanggungjawabkan kepadanya dalam MUNAFIK 2.


Keserasian gandingan Syamsul dan Mawi dalam bidang nyanyian mendorong Syamsul untuk memberi tugasan baharu buat Mawi untuk menghidupkan satu watak dalam MUNAFIK 2. Syamsul mengambil kira kesesuaian Mawi sebagai seorang personaliti yang berpengaruh dengan kreativiti keagamaan.

Fauzi Nawawi juga turut menjadi pilihan Syamsul untuk mendukung watak yang diwujudkan dalam MUNAFIK 2. Pemilihan Fauzi dibuat berdasarkan hasil lakonan beliau yang dilihat mampu memainkan peranan yang tidak kurang cabarannya.

Selain itu, Syamsul juga masih mengekalkan beberapa pelakon hebat lain yang pernah muncul dalam MUNAFIK seperti Fizz Fairuz dan Datuk Rahim Razali turut membintangi MUNAFIK 2.


Sinopsis: Selepas tragedi hitam yang melanda Ustaz Adam, lautan kehidupannya kembali tenang. Dia mula menjadi pendakwah bebas dan meneruskan tanggungjawab membantu orang-orang yang terkena gangguan sihir/jin di serata tempat.

Ujian yang menimpa sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih tawadhu pada Ilahi. Namun apa yang mengelirukan, Adam sentiasa dihantui dengan imbasan-imbasan silam tentang kematian Maria, kenapa?

Adam juga sering didatangi seorang wanita misteri yang mempersoalkan tentang keimanan dan takdir Tuhan. Dalam masa yang sama, di seberang kampung tinggal seorang wanita bernama Sakinah anak lelakinya Aman.


Sakinah terpaksa menjaga yang mengidap penyakit misteri. Kehidupan Sakinah yang daif memberi tekanan padanya ditambah pula dia dan anaknya beberapa kali diganggu syaitan.

Sakinah percaya apa yang dihadapinya berpunca dari Abuja, seorang munafik dan ketua ajaran sesat di kampung yang sama. Abuja mempunyai pengikut yang ramai dan digeruni penduduk kampung. Sakinah atau sesiapa sahaja yang masih berpegang pada Islam adalah musuh Abuja. Dia menggunakan sihir/jin untuk menghancurkan sesiapa yang tidak mengikut ajarannya. Ini memaksa Sakinah untuk mencari Ustaz Adam.

Kedatangan Adam ke kampung seberang telah menimbulkan kemarahan Abuja. Adam bukan sahaja terkejut dengan apa sebenarnya berlaku pada keluarga Sakinah tetapi juga dengan ajaran sesat Abuja yang memesongkan akidah orang Islam di kampung itu.


Bermulalah perjuangan Adam di jalan Allah sekali lagi. Mampukah Adam menepis “talbis iblis” yang bakal diharunginya kali ini?

Apakah rahsia di sebalik imbasan kematian Maria di fikiran Adam? Siapa sebenarnya Sakinah di sisi Abuja? Adakah Sakinah terus kuat berpegang pada Islam walau diugut Abuja?

Di dalam Al Quran, golongan yang paling teruk dikeji Allah ialah ulama yang tidak amanah dan mengharapkan habuan dunia. Golongan ini lah yang bakal ditentang Ustaz Adam di dalam filem “Munafik 2”.



Nantikan, pertarungan antara hak dan batil yang mampu menggegarkan jiwa. Berjayakah Ustaz Adam melawan orang-orang munafik yang menentang Allah dan Rasulnya? Kerana Adam hanyalah insan biasa…


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING