32 PASUKAN REBUT KEJUARAAN BADMINTON JUNIOR ASTRO
Astro Junior Championship peringkat kebangsaan anjuran Astro bagi mencungkil bakat-bakat baru di bawah umur 15 tahun, berjaya menarik minat banyak pasukan badminton dari seluruh negara.
Namun, hanya 32 pasukan telah terpilih berkumpul hari ini bagi memulakan kejohanan yang julung kalinya dianjurkan.
Majlis pelancaran “Astro Junior Championship U15” telah berlangsung dengan meriah dan telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Encik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Kejohanan empat hari ini akan berlangsung mulai Khamis, 6 Sept hingga Ahad, 9 Sept pukul 8 pagi di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Orang ramai di jemput hadir dan kemasukan adalah percuma. Pelbagai hadiah menarik dan barangan Astro akan di berikan kepada para penonton.
‘Astro Junior Championship U15’ merupakan kesinambungan dari kejayaan program ‘Astro Kem Badminton’ hasil kerjasama di antara Yayasan Astro Kasih, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan dan BAM yang mana lebih daripada 15,800 remaja berumur di antara 10-12 tahun telah mendapat manfaat daripada program ini semenjak ianya di perkenalkan pada 2012.
Seramai 358 peserta terbaik telah mengikuti latihan intensif selama seminggu di Kuala Lumpur di bawah kelolaan Jurulatih professional dan berkelayakan BAM. 245 peserta cemerlang telah menjalani program latihan lanjutan intensif luar negara selama dua (2) minggu di Tokyo, Jepun di bawah bimbingan sekumpulan Jurulatih Kebangsaan Jepun.
Amat membanggakan peserta-peserta ini berlatih di Pusat Latihan Nasional Jepun dan di tempatkan di Perkampungan Olyimpik Tokyo. ‘Astro Junior Championship U15’ terbuka kepada kelab serta pasukan badminton sedia ada, di peringkat negeri, sekolah dan juga pasukan-pasukan persendirian.
Pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini berpeluang untuk membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM14,000 (RM5,000 untuk Juara, RM4,000 untuk Naib Juara dan RM2,500 untuk tempat Ketiga dan Keempat) di samping tropi kejohanan. Turut berlangsung di majlis yang sama adalah sesi menandatangani Perjanjian Strategik di antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Astro.
Menerusi perjanjian ini, BAM dengan ini akan terus mengiktiraf program-program anjuran ‘Kem Badminton Astro’ dan menawarkan sokongan teknikal untuk ‘Astro Junior Championship U15’.
Menteri Belia dan Sukan, YB Encik Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata, “Saya berasa begitu teruja apabila berpeluang menyaksikan kedua-dua sektor awam dan swasta bergandingan bahu untuk memastikan legasi sukan badminton negara sentiasa berada pada tahap terbaik. Menerusi penganjuran pelbagai inisiatif positif seumpama ini, kita boleh jadikannya loncatan untuk mempertingkatkan prestasi pemain terutamanya barisan pelapis demi memastikan Malaysia akan terus bersinar di persada luar negara. Saya juga percaya, dengan adanya penganjuran program-program membina seperti ‘Astro Junior Championship’ dan ‘Kem Badminton Astro’ ini, ia secara tidak langsung dapat mencungkil bakat-bakat baru dan menyiap-sediakan mereka sebagai barisan pelapis sukan badminton di masa hadapan. Kami di pihak Kementerian akan terus mengalu-alukan inisiatif yang melibatkan kolaborasi di antara sektor awam dan swasta seumpama ini. Kami juga akan memastikan kita sentiasa memaksimumkan sumber serta meluaskan capaian, bagi menyumbang ke arah kecemerlangan sukan negara. Sejujurnya, saya sendiri amat gembira apabila diberi peluang untuk terlibat dan beramah mesra dengan pemain-pemain badminton dan para pelajar yang hadir dari seluruh negara pagi tadi. Saya yakin, setiap peserta akan mencabar diri masing-masing untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka. Saya boleh merasakan semangat juang yang tinggi dari semua yang terlibat ketika berada di sesi tersebut, justeru di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Astro dan BAM di atas usaha murni mereka dalam memartabatkan sukan badminton Malaysia.”
Sebagai sebahagian dari simbolik pembukaan tirai ‘Kejohanan Astro Junior’, YB Menteri telah mengadakan ‘match play’ dengan Jacky Kok Jing Hong, pemain badminton nombor satu (1) Asia.
Perlawanan tersebut menerima sorakan hebat para penonton. Turut serta di majlis tersebut adalah Presiden BAM, YBhg Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan, berkata, “Astro percaya, anak-anak kita merupakan penentu arah pembangunan cemerlang sukan di masa hadapan. Kami akui, tugas Astro sebagai sebuah platform media adalah sangat penting dalam mencorakkan perkembangan sukan, baik di Malaysia mahupun di lokasi-lokasi lain yang kami beroperasi. Menerusi program Astro Kasih, kami terlibat secara aktif dalam melaksanakan usaha-usaha pembangunan komuniti. Sebahagian dari program-program yang diadakan melibatkan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan sukan, termasuklah ‘Astro Kem Badminton’ dan ‘Astro Kem Bola’ di seluruh negara mahupun di rantau ASEAN. Menerusi ‘Astro Kem Badminton’, kami terlibat secara langsung dalam sesi-sesi latihan di seluruh negara bersama barisan pelapis sukan badminton, yang mana sebahagian dari mereka telah terpilih dan diberi peluang untuk mendapatkan latihan lebih intensif di negara Jepun."
“Hari ini, kami begitu teruja kerana sekali lagi dapat bekerjasama dengan rakan strategik yang sentiasa berada di bersama kami, menyokong setiap usaha kami, iaitu, BAM. Menerusi perjanjian ini, Astro dan BAM akan bekerjasama untuk meningkatkan standard badminton tanah air menerusi beberapa siri program,” tambah beliau.
Kerjasama yang dimeterai di antara Astro dan BAM ini akan menyaksikan pelbagai program berkaitan sukan badminton di anjurkan di seluruh negara. Sebagai sebuah negara yang kaya dengan bakat-bakat muda dan terpendam di kalangan generasi akan datang, tanggungjawab untuk mencungkil dan mengetengahkan potensi mereka ini wajar di kongsi bersama di antara golongan belia berpengaruh, termasuklah ibu bapa, serta sektor awam dan swasta.
Presiden BAM, YBhg. Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria, berkata, “Astro bukanlah satu nama asing bagi kami. Kami telah bekerjasama dalam pelbagai program-program pembangunan sebelum ini. Astro merupakan ‘penyokong setia’ pada program-program sukan tanah air, terutama menerusi Astro Arena. Bagi ‘Astro Junior Championship’, kami telah membantu dari segi nasihat penganjuran serta membekalkan tenaga kerja profesional seperti‘Pengadil’, ‘Umpires’, dan ‘Linesmen’. Ini bagi memastikan setiap perlawanan yang berlangsung di dalam ‘standard’ yang ditetapkan dan diadili dengan adil dan saksama. Kami memberi keutamaan untuk menentukan sesebuah kejohanan menepati ‘standard’ yang tinggi wajar digunapakai sejak dari awal lagi.”
Comments
Post a Comment