ULASAN FILEM: CHIHAYAFURU: MUSUBI - PERGOLAKAN CINTA & CITA
Dua tahun telah berlalu sejak pelajar tahun pertama Kelab Karuta Sekolah Tinggi Mizusawa, Ayase Chihaya (Hirose Suzu) dan kawan-kawannya bertempur sengit dengan Queen, Wakamiya Shinobu (Matsuoka Mayu).
Chihaya dan Taichi Mashima (Nomura Shuhei) yang kini merupakan pelajar tahun akhir Sekolah Menengah, mula bergerak ke arah kejohanan kebangsaan dan perlu menentukan karier hidup masing-masing. Sementara itu, Karuta Club Sekolah Tinggi Fujioka Timur baru berjuang untuk menubuhkan jabatan Karuta mereka untuk melawan Chihaya di pertandingan karuta kebangsaan.
Walau bagaimanapun, pada masa yang sama ada masalah yang tidak dijangka berlaku di Jabatan Karuta Mizusawa.
Kebimbangan utama setiap adaptasi manga ialah bagaimana mahu menyumbat 35 jilid atau 2 musim siri anime karya penulisan Yuki Suetsugu ini sebagai trilogi filem live action? Bukan itu saja, dengan barisan pelakon sedia sarat ramainya dari dua filem pertama, 3 lagi karakter ditambah kali ini. Pemain karuta misteri Hisashi Suo (Kento Kaku), dua ahli kelab baru Sumire Hanano (Mio Yuki) dan Akihiro Tsukuba (Hayato Sano).
Dengan kebijaksanaan adaptasi penulisan, setiap watak punyai screentime mencukupi dan memorable lebih baik dari dua filem pertama. Walaupun saya tidak menyertai marathon kedua filem pertama, pengarah Norihiro Koizumi berjaya mengimbau memori lama dari filem pertama sebagai contoh pertemuan pertama Chihaya dan Kanade Ooe (Mone Kamishiraishi).
Memori-memori manis ini membuat penonton sedih dengan pengakhiran trilogi dan pergolakan emosi setiap karakter. Plotnya yang amat normal: cabaran setiap pelajar senior hadapi di akhir sekolah menengah, tetapi ia digarap dengan baik kerana Koizumi tidak meletak tema cinta sebagai cabaran utama Chihaya.
Walaupun rakannya Taichi Mashima (Shuhei Nomura) dan Arata Wataya (Mackenyu) punca pergolakan jiwa Chihaya tetapi akhirnya Chihaya yang kuat tidur itulah yang paling fokus dalam menentukan masa hadapan dirinya, semua ahli pasukan dan seni permainan karuta.
Penggunaan puisi klasik juga memudahkan plot cinta tanpa meleret filem ini jadi lebih panjang. Bagi penonton yang baru kenal dengan permainan kad karuta yang kompleks, menontonnya buat kali ketiga boleh cepat membosankan, tetapi kerana cara pengarah dan penulis layar Koizumi memampatkan semua maklumat dan menerjemahkannya kepada visual yang sangat menarik dengan teknik sinematografi unik, para penonton pasti terpaku pada skrin dan setiap pergerakan dalam pertandingan.
Dalam zaman yang sangat negatif buat dunia adaptasi manga ke layar perak selepas kegagalan GHOST IN THE SHELL (2017) dan remake Netflix DEATHNOTE (2017), CHIHAYAFURU: MUSUBI masih kekal antara adaptasi manga yang terbaik kerana berjaya menggabungkan hiburan dan seni yang padat dengan elemen cinta, persahabatan serta cita-cita dan pada masa yang sama mempromosi kesusateraan dan kebudayaan Jepun.
Saksikan CHIHAYAFURU: MUSUBI melalui Japanese Film Festival 2018 di pawagam Golden Screen Cinemas terpilih bermula 6th September 2018 hingga 7th Oktober 2018.
Comments
Post a Comment