PERSIDANGAN AIDS KEBANGSAAN KE 4, TAHUN 2018

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye (tiga dari kanan) ketika pelancaran HIV Connect di Panel Persidangan AIDS Kebangsaan kali ke-4, dari kiri,  Datuk Dr Christopher Lee - Ketua Perkhidmatan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr. Harbaksh Singh Mehar Singh – Presiden Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia , Dr. Suresh Kumar – Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Dr. Gunasagaran Ramanathan – Setiausaha Agung Pertubuhan Perubatan Malaysia dan Dr. Lo Ying-Ru – wakil dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
 
Pada 29 September 2018 bertempat di Hotel Swiss Garden, Kuala Lumpur, Timbalan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dr. Lee Boon Chye telah merasmikan Persidangan AIDS Kebangsaan ke 4.

Persidangan selama tiga hari yang bermula dari 28 September sehingga 30 September ini dianjurkan secara bersama antara Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MASHM) dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan kerjasama Majlis AIDS Malaysia dan Centre of Excellence for Research in AIDS (CERIA).

Tema persidangan iaitu “HIV response, together we are stronger” amat bertepatan dengan komitmen untuk mengakhiri AIDS pada tahun 2030.

Sehingga penghujung tahun 2018, lebih 30 tahun wabak HIV melanda negara. Sejak jangkitan pertama dilaporkan pada tahun 1986, bilangan kes meningkat dengan kadar notifikasi tertinggi pada tahun 2002 iaitu sebanyak 28.5/100,000 penduduk. Di antara tahun 2002 dan 2017, lebih 50% penurunan kes HIV baru telah disaksikan dengan kadar jangkitan menurun kepada 10.3/100,000 pada tahun 2017.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk menangani wabak HIV sejak 1986 lagi. Usaha ini meliputi skop pengesanan kes, pencegahan jangkitan, rawatan dan sokongan sosial. Sehingga Disember 2017, sebanyak 115,263 jangkitan HIV dan 42,864 kematian telah dilaporkan menjadikan jumlah orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) seramai 72,399 orang.

Wabak HIV di Malaysia tertumpu di kalangan golongan berisiko dan pada peringkat awal wabak ini, pengguna dadah suntikan (PWID) adalah kumpulan risiko utama yang menyumbang sebanyak 70-80% daripada semua kes-kes yang dilaporkan. Pada masa ini punca jangkitan utama di negara berubah melalui transmisi seksual yang menyumbang lebih 90% kes-kes baru.

Berpegang kepada konsep “Mencegah lebih baik daripada mengubati” serta “Rawatan sebagai Pencegahan” (Treatment as Prevention), kerajaan telah menyediakan perkhidmatan saringan HIV bagi mengesan awal jangkitan HIV dan seterusnya dapat memberi penjagaan, rawatan awal seterusnya mencegah kematian akibat AIDS kepada mereka yang dijangkiti. Justeru itu, diseru kepada semua rakyat Malaysia yang berisiko dijangkiti untuk menjalani ujian bagi mengetahui status kesihatan anda dan seterusnya mengambil langkah-langkah pencegahan serta rawatan yang telah disediakan oleh pelbagai pihak di dalam usaha untuk bersama-sama mengawal penularan jangkitan HIV di negara kita.

Kerajaan telah melaksanakan program pengurangan kemudaratan (harm reduction) pada tahun 2005 yang terdiri daripada program pertukaran jarum suntikan dan program terapi gantian metadon. Program ini telah berjaya menurunkan kadar notifikasi kes melalui perkongsian jarum lebih daripada 90% dari aras tertinggi pada tahun 2002.

Kita perlu terus menggandakan usaha untuk memastikan mereka yang hidup dengan HIV menerima rawatan ARV yang diberi secara percuma serta dapat meneruskan kehidupan yang sempurna dan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi negara. Rawatan ARV ini mendatangkan beberapa kesan positif kepada mereka yang telah dijangkiti serta membawa impak yang amat baik kepada negara.

Dengan rawatan ARV ini, mereka yang dijangkiti HIV akan dapat mengurangkan jumlah virus dalam badan (virally supressed) dan mereka akan beroleh kesihatan seperti orang yang tidak dijangkiti. Dengan rawatan ini juga, ianya dapat mengelakkan berlakunya jangkitan oportunis serta penyakit-penyakit lain kepada mereka kerana tahap immuniti mereka telah kembali kepada aras yang baik.

Pemberian ARV ini juga telah dapat mengurangkan transmisi jangkitan khususnya transmisi melalui seksual hingga kepada lebih 95%. Oleh itu, kepada mereka yang dijangkiti dan belum menerima rawatan ARV, marilah sama-sama kita menfaatkan rawatan yang disediakan. Malaysia komited dalam mencapai komitmen global seperti “United Nations General Assembly 2011 Political Declaration on HIV/AIDS” dan ‘Sustainable Development Goal’.

Sehingga kini, Malaysia berada di atas landasan yang betul untuk mencapai matlamat 95-95-95 pada tahun 2030 iaitu 95% mereka yang hidup dengan HIV mengetahui status mereka, 95% dari mereka yang dijangkiti HIV menerima rawatan antiretroviral (ARV) dan 95% mereka yang menerima ARV memiliki kualiti kehidupan yang baik (viral suppression). Mengakhiri AIDS di Malaysia bukan perkara yang mustahil jika semua disiplin perubatan dan kesihatan awam, kerajaan dan bukan kerajaan termasuk warga akademia, pihak swasta serta komuniti memacu tindakan dan usaha sepertimana yang digariskan dalam ‘Pelan Strategik Kebangsaan Mengakhiri AIDS 2016-2030’. Justeru, persidangan ini menyediakan wacana (platform) untuk membincangkan amalan terbaik dalam rawatan dan pencegahan HIV dan AIDS untuk menurunkan bilangan kes HIV sehingga ia tidak lagi menjadi ancaman terhadap kesihatan awam.

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan adalah merupakan pembiaya terbesar (97%) terhadap respon negara menangani wabak HIV berbanding dana asing (Global Fund). Pada tahun 2017, kerajaan telah membelanjakan hampir RM140 juta di mana lebih 77% adalah untuk ujian HIV dan rawatan ARV manakala selebihnya untuk program pencegahan. Bagi tahun 2018, kerajaan telah membiayai pertubuhan bukan kerajaan untuk program HIV sebanyak RM7 juta, sebagaimana bantuan yang telah diberi sebelum ini sejak tahun 2002 yang kesemuanya berjumlah RM146.8 juta.

Kerajaan juga memandang positif dengan usaha yang diterajui oleh Yayasan AIDS Malaysia dan Persatuan Perubatan HIV Malaysia (MASHM) bagi mengembangkan akses kepada rawatan HIV melalui Projek “HIV Connect”, iaitu program latihan dalam talian yang sasarkan khas untuk pengamal-pengamal perubatan am atau “General Practitioner” di Klinik-Klinik Swasta.

Program ini merupakan suatu inovasi dalam respon HIV/AIDS nasional yang amat kita alu-alukan kerana ia akan membuka peluang kepada sektor perubatan swasta untuk turut sama menyumbang kepada agenda membasmi AIDS.

Sebagai rakyat Malaysia kita patut merasa bangga kerana walaupun kita belum mencapai tahap negara maju, namun kita mempunyai beberapa model amalan terbaik (Best practice) yang telah berjaya menurunkan kes jangkitan HIV baru dan menjadi contoh terutamanya di ASEAN. Ini termasuklah Program
Pengurangan Kemudaratan yang telah berjaya menurunkan transmisi jangkitan HIV melalui perkongsian jarum suntikan.

Selain itu, program pencegahan HIV dari ibu-ke-anak (PMTCT) yang telah dilaksanakan mulai tahun 1998 telah berjaya menurunkan kadar transmisi jangkitan HIV ibu-ke-anak (MTCT) menepati sasaran eliminasi yang ditetapkan di peringkat global iaitu di bawah 2%.

Kerajaan melalui Kementerian Kesihatan yakin bahawa Malaysia akan mendapat persijilan eliminasi MTCT tersebut berdasarkan pencapaian negara dalam perkara ini.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING