USOP MUNCUL DENGAN LAGU BALADA POP ‘AKU YANG BERSALAH’



Jika disebut nama Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, mungkin ramai yang kurang mengenali siapakah pemilik nama tersebut, namun kalau disebut Usop, mungkin ada yang teringatkan wajah serta suaranya.
Berasal dari Kulim, Kedah pemuda yang digelar Usop ini merupakan seorang penyanyi yang bakatnya dicungkil dari sebuah rancangan TV realiti popular sekitar setahun lalu. Biarpun baru menginjak usia 21 tahun, Usop mempunyai bakat yang besar dalam bidang nyanyian dan mempunyai para peminat serta pengikutnya tersendiri.

Pernah muncul dengan single ‘Matahari’ serta ‘Nama Terindah’ dan pernah diberi peluang berganding dengan bekas juara Akademi Fantasia, Hazama lewat lagu ‘Saya Anak Malaysia’ dia kini kembali dengan sebuah lagu baru berjudul ‘Aku Yang Bersalah’.

Lagu berentak balada pop ini merupakan hasil karya penyanyi popular Haqiem Rusli bersama rakannya Fareez Fauzi. Seperti kebanyakan lagu berentak balada, lagu ini menceritakan tentang kisah cinta yang didustai dan dijangka menjadi kesukaan ramai.

Menurut Feros, Ketua Label Muzik, Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd., “Jika kita bercerita tentang Usop, perkara pertama yang bermain di fikiran saya ialah keunikan vokalnya dalam menyanyikan sesebuah lagu dan ditambah pula dengan cara nyanyiannya yang menyentuh perasaan. Saya yakin bakat yang dimiliki oleh Usop tidak boleh dibandingkan dengan penyanyi-penyanyi lain di Malaysia. Saya harap peminat di luar sana akan memberikan sokongan padu terhadap Usop dan muzik yang di bawa.”


Single ‘Aku Yang Bersalah’ ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan bakal menemui peminat-peminat di corong-corong radio seluruh Malaysia tidak lama lagi. Selain itu, muzik video rasmi ‘Aku Yang Bersalah’ juga akan mula berada di saluran YouTube Rocketfuel Network bermula pada 26 Oktober 2018.

 

Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA