SINOPSIS & TRIVIA TELEFILEM ASTRO FIRST "BERANI JADI PAPA"



Bersempena dengan musim cuti persekolahan ini, Astro First Eksklusif (saluran 480) tampil dengan sebuah filem televisyen (FTV) istimewa, ‘Berani Jadi Papa’, yang bakal menemui peminat mulai 6 Disember 2018. FTV arahan sutradara hebat, Umi Salwana Omar ini boleh turut ditonton di platform digital, ‘on demand’. 

‘Berani Jadi Papa’ adalah buah tangan terbaharu rumah produksi, Red Communications Sdn. Bhd. dan buat julung kalinya, ia menampilkan gabungan tiga generasi yang bertindak sebagai pengemudi utama, Dato’ Awie, Ungku Hariz dan Rykarl Iskandar.

Lakon layar dan cerita asal FTV ini adalah nukilan Nadia Khan dan Mamu Vies, manakala Lina Tan merangkap Penerbit Eksekutif. ‘Berani Jadi Papa’ merupakan sebuah naskhah santai namun sarat dengan pelbagai mesej positif yang amat sesuai untuk ditonton seisi keluarga.

Disisipkan dengan elemen komedi dari satu babak ke babak yang lain, ‘Berani Jadi Papa’ memaparkan kisah kesetiaan sebuah persahabatan dan kerakraban hubungan di antara anak dan ayah, yang mana masing-masing mempunyai masalah dan isu yang perlu dihadapi dalam mengharungi hari-hari yang mendatang.

Menyukarkan lagi apabila tanpa adanya kehadiran susuk seorang wanita yang boleh dipanggil ibu atau isteri. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat kedua-dua anak beranak ini untuk terus bangun meneruskan kehidupan seharian, dengan cara mereka yang tersendiri.

Walaupun keadaan cuaca yang tidak menentu dan sentiasa hujan, penggambaran naskhah ini yang dijalankan di sekitar Lembah Kelang tetap berjaya diselesaikan dalam tempoh masa 12 hari.

Setiap pemain yang terlibat, baik di hadapan mahupun di belakang lensa kamera begitu komited dalam memastikan Berani Jadi Papa berjaya disiapkan mengikut kepada garis masa yang diberikan dan mereka berjaya!

FTV ini mengangkat kisah keakraban dan hubungan dalam sesebuah keluarga. Ia mengupas erti pengorbanan setiap individu dalam keluarga dan maksud sebenar di sebalik setiap pahit manis yang perlu dilalui demi memastikan kebahagiaan sentiasa dikecapi. Oleh itu, ibu, ayah dan anak-anak, jangan lepaskan peluang untuk menonton ‘Berani Jadi Papa’ di musim cuti persekolahan ini.”

TRIVIA MENARIK ‘BERANI JADI PAPA’ 
1. Pengarah, Umi Salwana Omar merupakan figura yang menggalas tugas sama (sebagai sutradara) untuk filem ‘Gol & Gincu 2’ dan siri-siri popular, ‘Oh My English’, serta kesinambungannya, telefilem ‘Oh My Ganu’.

2. Lokasi utama penggambaran FTV ‘Berani Jadi Papa’ telah dijalankan di sekitar Lembah Klang selama 12 hari (Sept - Okt 2018) untuk diselesaikan.

3. ‘Berani Jadi Papa’ yang berdurasi 90 minit ini bergenre drama dan komedi.

4. Dato’ Awie turut menyampaikan lagu runut bunyi khas untuk ‘Berani Jadi Papa’. Bertajuk ‘Hey Anak Muda!’, lagu tersebut mendapat sentuhan Anas Amdan selaku penulis lirik dan pencipta lagu, serta diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd.

5. Bagi menyuntik sedikit elemen nostalgia, rentak dan irama lagu ‘Hey Anak Muda’ dizahirkan dengan inspirasi lagu di zaman 80-an. Sangat ‘up-beat’ dan ‘catchy’. Mesej utama di sebalik lagu ini adalah untuk memberi semangat kepada golongan muda khususnya untuk terus berusaha dan tidak mudah menyerah kalah.

6. Antara cabaran utama yang perlu dilalui pihak produksi apabila terpaksa juga meneruskan penggambaran untuk beberapa babak utama sebaik sahaja Dato’ Awie pulih dari kesakitan kaki beliau (sebelum itu Dato’ Awie perlu bertongkat untuk berjalan). Oleh kerana komitmen jitu yang diberikan Dato’ Awie dan barisan pelakon yang terlibat, penggambaran berjaya dilaksanakan dan disiapkan mengikut kepada garis masa yang ditetapkan. Malahan, Dato’ Awie turut mampu menyelesaikan babak ‘jogging’, di mana beliau diperlukan untuk berlari.

7. Aspek pengolahan skrip dan pembentukan karektor barisan pelakon begitu dititik beratkan bagi memastikan keberkesanan kualiti lakonan dapat disampaikan dengan baik dalam apa jua watak yang dipegang. Kedua-dua Ungku Hariz dan Rykarl Iskandar berjaya menghidupkan watak dewasa dan kanak-kanak yang ‘tertukar badan’ dengan baik, dan sepenuhnya di bawah bimbingan pengarah, Umi Salwana.

8. Kismah Johar yang memainkan watak nenek (Tok Wan) tidak memerlukan pelakon tambahan lain untuk melakukan adegan membawa bas. Ini kerana beliau mampu memandunya sendiri.

9. Pengarah Umi Salwana terjatuh di tangga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) semasa melakukan peninjauan di lokasi seminggu sebelum penggambaran dan beliau telah dihantar ke hospital. Sepanjang berlangsungnya penggambaran, Umi terpaksa menggunakan tongkat (crutches) untuk mengarah kerana kakinya bengkak akibat terjatuh.

10. Sebagai sebahagian dari inisiatif Astro untuk mempromosikan ‘Berani Jadi Papa’, pihak GenNext telah mengaktifkan ‘Kempen Cabaran Soalan UPSR’ yang mana video pertama kami yang menyaksikan penglibatan pengacara duo terhebat, Nabil Ahmad dan Jihan Muse kini tular di laman sosial, YouTube. Kempen ini adalah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan ibu bapa akan perkara-perkara mencabar yang perlu dilalui anak-anak sebagai seorang pelajar, yang sering dipandang remeh oleh orang dewasa.

11. Babak penampilan istimewa Nabil Ahmad dan Jihan Muse dalam ‘Berani Jadi Papa’ dilakukan di pentas sebenar ‘Gegar Vaganza’ di Dewan MBSA. 


SINOPSIS RINGKAS ‘BERANI JADI PAPA’
Hubungan Kamal (Ungku Hariz) dan anaknya, Ayim (Rykarl Iskandar), menjadi renggang sejak isteri Kamal iaitu ibu Ayim meninggal dunia. Kamal kini membesarkan Ayim sebagai ayah tunggal. Pada suatu hari, Kamal dan Ayim bertengkar dalam perjalanan ke sekolah untuk berjumpa Pengetua kerana Ayim kerap ponteng sekolah.

Kamal gagal memahami cabaran hidup Ayim, dan begitu juga sebaliknya. Tanpa diduga, Kamal dan Ayim tertukar badan dalam pertengkaran tersebut. Kini Ayim berada dalam tubuh papanya Kamal, dan Kamal berada dalam tubuh anaknya, Ayim. Mereka perlu mencari jalan untuk segera kembali ke badan masing-masing. Malangnya mereka gagal.

Kamal dan Ayim terpaksa melalui kehidupan dalam tubuh mereka yang baru, menimbulkan pelbagai masalah dan kekeliruan. Keadaan bertambah kalut apabila artis veteran yang diuruskan oleh Kamal, Sani Joned (Dato’ Awie), terpaksa tinggal di rumah mereka akibat masalah kewangan. Kamal dan Ayim bukan saja perlu belajar hidup dalam tubuh yang baru, malah terpaksa berusaha keras untuk mempopularkan semula seorang artis veteran yang kini makin dilupai.

‘Berani Jadi Papa’ bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 6 Disember 2018 (Khamis) ini. Dengan hanya RM 15.00*, penonton boleh menonton ‘Berani Jadi Papa’ dengan berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, ‘Berani Jadi Papa’ boleh turut didapati menerusi platform digital, ‘on demand’. *tidak termasuk cukai

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN