PEMENANG ‘AYDA’ BERSAING UNTUK PROGRAM HARVARD
Loo Yi dari Universiti Malaya dan Zachary Khaw Lit Siang dari Taylor's University diumumkan sebagai pemenang untuk Anugerah Pereka Muda Asia (AYDA) 2018. Kedua-dua pemenang ini akan mewakili Malaysia di Singapura pada Mac 2019 dan akan bersaing dengan pemenang dari 14 rantau Asia untuk gelaran Pereka Muda Asia 2018/19 (Asia Young Designer of the Year 2018/19). Selari dengan tema AYDA Forward: Challenging Design Boundaries, pereka-pereka muda di seluruh Malaysia menyahut cabaran melangkaui sempadan dalam reka bentuk, pemikiran dan inovasi melepasi norma reka bentuk semasa sambil melihat ke masa hadapan dalam meramal rekaan yang mampan serta memberi manfaat kepada komuniti serta kemanusiaan secara keseluruhan.
Memasuki tahun ke-11, AYDA adalah landasan terkenal yang diterajui oleh Nippon Paint dan disokong oleh IJM Land Berhad dengan tujuan memupuk serta mengasah bakat yang berpotensi dalam bidang seni bina dan reka bentuk dalaman, memperkasakan mereka untuk berfikir secara progresif sambil membimbing ke arah kelestarian dalam rekaan mereka bagi membantu dalam membentuk masa depan dengan idea-idea inovatif. Pada tahun ini, persaingan dilihat sengit apabila pemenang serantau dari kategori seni bina dan reka bentuk dalaman masing-masing, akan menerima tempat di program Design Discovery yang dibayar sepenuhnya selama 6 minggu di Harvard Graduate School of Design di Amerika Syarikat. Ini berikutan penubuhan Gennosuke Obata Fellowship di Harvard, perkongsian antara institut pengajian tinggi tersebut dan Nippon Paint. Harvard University Graduate School of Design adalah pemimpin akademik global dalam bidang reka bentuk, dan oleh itu pelajar yang mendaftar dalam programnya bakal memperoleh pendidikan berkualiti dengan pengetahuan dan pengalaman berharga yang pasti akan memperkayakan pemikiran, reka bentuk serta idea mereka.
Pemenang kategori Seni Bina, Loo dianugerahkan hadiah utama untuk rekaannya, Mangrove Charcoal Living Museum, yang mempamerkan konsep muzium bukan konvensional, menggabungkan mentaliti pemikiran ke hadapan dalam integrasi struktur antara sifat fizikal serta alam sekitar. Reka bentuk ruang dan pameran di dalam, rekaannya turut menggabungkan kilang-kilang arang tradisional yang sedia ada dengan alam semula jadi dan mengubah tapak tersebut menjadi daya tarikan pelancong yang baharu, dan pada masa yang sama mencapai pembangunan yang mampan dengan hutan bakau di sekelilingnya.
Beliau berkata, “Ia merupakan satu penghormatan apabila dipilih sebagai pemenang Anugerah Emas untuk Anugerah Pereka Asia Muda (Seni Bina) tahun ini dan saya mengucapkan terima kasih kepada para juri kerana mempercayai hasil kerja saya. Apabila saya mandapat inspirasi untuk melakukan idea ini, saya mahu ia bukan jadi sekadar sebuah galeri untuk memaparkan koleksi sisa-sisa fizikal di Kuala Sepetang Perak, tetapi juga merupakan tapak yang menggabungkan amalan kebudayaan bukan fizikal dan warisan hutan semulajadi.”
Sementara itu, pemenang kategori Reka Bentuk Dalaman, Khaw mendapat inspirasi dari industri reka bentuk fesyen tempatan dan mencetuskan idea-ideanya dalam The Weave, sebuah inkubator fesyen untuk pereka tempatan, bagi mengitar semula tekstil lama ke pakaian baharu sebagai salah satu asas konsepnya. Idea kreatif ini mempamerkan bagaimana sebuah bangunan dapat diubah menjadi konsep masa depan yang siap bagi memenuhi keperluan fesyen yang wujud dalam masyarakat dengan cara yang lestari.
Jelasnya lagi: “Projek ini sungguh peribadi buat saya kerana saya sangat meminati kesemua cabang reka bentuk dan memahami kesukaran pereka-pereka fesyen yang baharu untuk bertapak. Dalam mencipta The Weave, saya ingin memberikan sesuatu kepada semua pelajar reka bentuk fesyen muda satu kemudahan dalam industri dan membantu mereka untuk berjaya, melalui kemudahan yang disertakan dalam reka bentuk tersebut. Kali pertama saya menyertai anugerah seperti ini, AYDA sememangnya satu pengalaman yang mengubah hidup, menunjukkan keupayaan saya dalam industri ini, dan saya amat berterima kasih atas segala bimbingan dari para juri.”
Sebagai penerima Anugerah Emas di AYDA Malaysia 2018, Loo dan Khaw masing-masing memenangi wang tunai RM5,000 dan akan mewakili Malaysia di Sidang Kemuncak Pereka Asia muda di Singapura, bersaing untuk gelaran Pereka Muda Asia 2018/19. Sementara itu, Ngew Kah Sheng dari Universiti Teknologi Malaysia dan Low Kah Lim dari Institut Seni Malaysia memenangi Anugerah Perak dalam kategori Seni Bina dan Reka Bentuk Dalaman dengan membawa pulang wang tunai RM3,000; Muhammad Nazli Bin Karamazaman dari Universiti Sains Malaysia, Ooi Soon Theng (Jackson) dari Universiti Teknologi Malaysia, Vevitera A/P Kalaivanan dan Lauridson Liaw Fu Kang dari City University of Malaysia memperoleh anugerah kehormat dalam kategori tersebut dengan hadiah wang tunai RM1,500 setiap seorang.
Gladys Goh, Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia, berkata, “Matlamat tema AYDA tahun ini iaitu Forward: Challenging Design Boundaries adalah bagi melangkaui batasan reka bentuk konvensional, sambil mengimbangi bagaimana tindakan merancang sesuatu mampu membawa kesan positif terhadap isu alam sekitar, menanam nilai baharu dalam konteks sosial dan budaya, meningkatkan kehidupan masyarakat dan gaya hidup yang lebih baik, dan menggalakkan pertumbuhan dan pembangunan yang progresif di sebuah bandaraya. Kami amat berbangga dengan pemenang-pemenang dari Malaysia yang berjaya meletakkan satu tanda aras yang baharu, seterusnya menunjukkan kepada kita semua apa yang dimaksudkan dalam mempersoalkan perimeter kreatif, berfikir secara inovatif dalam memecahkan norma reka bentuk yang menjadi kebiasaan. Kami di Nippon Paint percaya bahawa belia hari ini mampu memberikan impak positif bukan sahaja kepada persekitaran namun juga industri reka bentuk secara keseluruhan. Ia sungguh menggembirakan apabila dapat melihat dengan wujudnya AYDA, pereka muda yang berbakat diberi platform sewajarnya bagi membolehkan mereka untuk lebih cemerlang dalam mempamerkan bakat yang dimiliki, dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan bandar dan masyarakat pada masa akan datang.”
Edward Chong Sin Kiat, Pengarah Urusan IJM Land Berhad, berkata: “Kami di IJM Land amat berbangga dengan evolusi AYDA yang telah membawa ia ke pentas antarabangsa. Tahun demi tahun, para pemenang telah membuktikan bahawa mereka merupakan pereka yang akan menerajui industri di masa hadapan. Kerjasama IJM Land dengan Nippon Paint selama 5 tahun ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dalam selok belok industri, bagi membina ruang hidup yang holistik serta menghormati alam sekitar dan mementingkan unsur kekeluargaan, bisnes dan komuniti. Kami percaya dalam mendidik dan memperkasakan bakat muda yang akan mengubah panorama seni bina dan reka bentuk dalaman yang akan datang.”
Panel juri yang menilai penyertaan tahun ini telah memberikan maklumbalas yang positif serta berkongsi pengetahuan dengan peserta AYDA terdiri daripada tokoh yang terkenal dalam industri seni bina dan reka bentuk dalaman, diketuai oleh ketua juri Ar. Sarly Adre Sarkum (Pengetua Sarly Adre Sarkum Architecture) dan Encik Lai Siew Hong (Ketua Pereka Eksekutif Blu Water Studio). Selari dengan matlamat untuk membantu memupuk paradigma yang inovatif di kalangan para finalis, AYDA menawarkan peluang buat semua bakat muda untuk melibatkan diri agar memperoleh pendedahan secara langsung menerusi latihan peribadi, bimbingan, bengkel pembinaan kemahiran dan lawatan sambil belajar ke Bandar Rimbayu oleh IJM Land Berhad.
Selain daripada Nippon Paint dan IJM Land, AYDA juga disokong oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (MOE), Institut Arkitek Malaysia (PAM), Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Pemuda REHDA) dan Konfederasi Bangunan Hijau Malaysia (MGBC), serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai AYDA, penyertaan dan maklumat lain, sila ke www.asiayoungdesigneraward.com.
Comments
Post a Comment