SAMBUTAN HARI PEKERJA SEDUNIA BERSAMA FESTIVAL MUZIK AIR RAIN RAVE UNTUK MENINGKATKAN PERMINTAAN PELAWAT DAN MENYOKONG EKONOMI TEMPATAN
Malaysia akan terus bergerak ke hadapan secara berhemah dan bertanggungjawab ketika Kuala Lumpur bersiap sedia untuk meraikan Sambutan Hari Pekerja Sedunia bersama Festival Muzik Air Rain Rave dari 30 April hingga 2 Mei 2026 di Bukit Bintang. Festival ini memberi peluang untuk mengalu-alukan pelawat dari seluruh rantau dan luar negara untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman bersama merentas budaya di Malaysia.
Selain acara utama di Kuala Lumpur, tujuh negeri turut menyatakan kesediaan mereka untuk menganjurkan aktiviti berkaitan bertemakan yang saling melengkapi, disesuaikan dengan konteks tempatan dan elemen budaya masing-masing. Negeri-negeri tersebut termasuk Negeri Sembilan, Johor, Melaka, Kedah, WP Labuan, Pahang dan Terengganu, mencerminkan penyertaan lebih meluas di peringkat kebangsaan dalam meraikan acara ini.
Acara ini dianjurkan bersama oleh Tourism Malaysia dan The Fame sebagai sebahagian daripada ekosistem pelancongan Visit Malaysia 2026 yang lebih luas. Walaupun persekitaran global kekal tidak menentu, justeru dalam tempoh sebegini kita perlu memberi penekanan yang lebih kepada mengekalkan aktiviti ekonomi dan memastikan pertumbuhan kekal inklusif. Inisiatif pelancongan yang dirancang dengan baik memainkan peranan penting dalam menyokong perniagaan tempatan, mengukuhkan daya tahan industri dan memastikan manfaat pertumbuhan pelancongan diagihkan dengan lebih meluas, termasuk kepada komuniti B40.
Festival Muzik Air Rain Rave dilihatkan sebagai pengaktifan pelancongan bandar strategik yang mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia dan mempromosikan keterangkuman, dengan menghimpunkan pemain industri, rakan kreatif dan pihak berkepentingan komersial, sambil meningkatkan kehadiran pelawat dan merangsang perbelanjaan merentas sektor runcit, hospitaliti dan perkhidmatan.
Selain hiburan, festival ini mengintegrasikan elemen pelbagai budaya Malaysia, bakat kreatif tempatan dan pengalaman gaya hidup terkurasi, mencerminkan kekuatan ekosistem industri kreatif Malaysia sambil menarik minat khalayak domestik dan antarabangsa. Pengunjung boleh menjangkakan persekitaran imersif yang diinspirasikan oleh hujan, barisan DJ antarabangsa dan serantau yang pelbagai bersama artis Malaysia, serta pengalaman pasar tempatan terkurasi yang menampilkan makanan, budaya dan ekspresi kreatif Malaysia.
Rain Rave kekal berteraskan identiti Malaysia dengan pendekatan kontemporari yang mencerminkan tradisi dan kreativiti moden. Diinspirasikan oleh hujan sebagai elemen semula jadi penting dalam persekitaran Malaysia, festival ini mentransformasikan elemen biasa ini kepada ekspresi kreatif dan budaya sambil mempamerkan kepelbagaian tradisi budaya Malaysia, melalui persembahan tradisional, makanan dan permainan. Diadakan bersempena Hari Pekerja, festival ini berfungsi sebagai penghargaan bermakna kepada sumbangan semua komuniti pekerja dan akan dibangunkan sebagai acara tahunan berprestij, mengukuhkan peranannya sebagai sorotan utama dalam kalendar pelancongan Malaysia serta memposisikan negara sebagai destinasi yang muda dan bertenaga.
Acara ini turut disokong oleh rangkaian pihak berkepentingan awam dan swasta. Sokongan budaya dan kandungan disediakan oleh agensi seperti Istana Budaya, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (KRAFTANGAN), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Jabatan Warisan Negara (JWN), sekali gus mempertingkatkan keseluruhan pengalaman pelawat.
Tourism Malaysia menyokong inisiatif ini melalui usaha promosi destinasi di bawah Visit Malaysia 2026, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya memainkan peranan pemudah cara dan penyelaras, bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar, pematuhan peraturan dan keselamatan awam.
Perancangan menyeluruh telah disediakan, termasuk pengurusan trafik, langkah kawalan orang ramai, protokol keselamatan dan penyelarasan dengan agensi penguatkuasaan, bagi memastikan persekitaran yang selamat, teratur dan dikendalikan dengan baik untuk semua pengunjung.
Kementerian kekal komited untuk mengimbangi keutamaan ekonomi dengan pelaksanaan yang bertanggungjawab. Pada waktu Malaysia mengharungi landskap global yang kompleks, fokus kekal jelas untuk mengekalkan pertumbuhan, mengukuhkan keyakinan dan memastikan Malaysia kekal berdaya saing, stabil dan berpandangan ke hadapan.
Sekali lagi, Malaysia terus mengalu-alukan pelawat dari seluruh dunia.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my serta media sosial di Facebook, Instagram, X, YouTube dan TikTok.
.jpeg)
Comments
Post a Comment