PUBG MOBILE SAMBUT ULANG TAHUN KE-8 DENGAN SAMBUTAN MERIAH, UMUM FOKUS BAHARU KEPADA KOMUNITI MALAYSIA TIMUR


PUBG MOBILE, antara permainan mudah alih paling popular di dunia, telah menutup tirai sambutan Ulang Tahun ke-8 mereka dengan jayanya di Sunway Pyramid, sekali gus mencatatkan antara acara komuniti terbesar dalam sejarah permainan mudah alih ini di Malaysia. Sepanjang tiga hari dari 3 hingga 5 April, acara ini berjaya menarik lebih daripada 50,000 pengunjung, membuktikan bahawa komuniti PUBG MOBILE di Malaysia terus berkembang kukuh.

Sempena pelancaran Versi 4.3 “Evolving Universe”, Sunway Pyramid telah diubah menjadi sebuah pengalaman bertemakan intergalaksi yang menggabungkan dunia permainan dan realiti. Acara ini meraikan suasana yang penuh meriah apabila peminat berkumpul untuk meraikan lapan tahun perjalanan PUBG MOBILE bersama-sama.

Antara tarikan utama acara ini ialah persembahan pentas secara langsung yang menyaksikan kemunculan artis tempatan seperti Nazu dan MASDO. Mereka mempersembahkan lagu-lagu popular termasuk lagu kolaborasi khas PUBG MOBILE seperti “Pura Pura versi PUBG MOBILE” oleh Nazu serta “Setia Bersamamu”, lagu kolaborasi kedua MASDO bersama PUBG MOBILE yang dilancarkan pada September 2025. Kemuncak persembahan menyaksikan debut eksklusif secara langsung lagu rasmi ulang tahun ke-8, “Infiniti - Kita Up (With PUBG MOBILE)” oleh Kidd Santhe dan Yonnyboii. Segmen muzik ini berjaya menyatukan peminat yang turut menyanyi dan menikmati suasana bersama dari awal hingga akhir.


Selain itu, persembahan visual turut diperkaya dengan aksi tarian bertenaga oleh Zeppo Youngsterz yang menampilkan interpretasi budaya tempatan bagi lagu global ulang tahun ke-8, “Carry You” oleh BamBam dan MINNIE. Tidak ketinggalan, seramai 19 cosplayer turut memeriahkan acara dengan memperagakan X-Suits dan Gilt Sets paling ikonik dalam satu persembahan yang memukau.

Kemuncak emosi acara berlangsung pada hari terakhir menerusi KOL Showmatch yang menampilkan nama-nama besar tempatan seperti Soloz, Feekz dan Yoodo Gank. Sambutan diteruskan dengan kejutan kek ulang tahun gergasi di pentas utama, disaksikan oleh peminat, pencipta kandungan dan rakan kerjasama sebagai simbol penghargaan kepada lapan tahun perjalanan penuh kenangan PUBG MOBILE.

Ashley Phuah, Pengurus Produk PUBG MOBILE Malaysia berkata, “Ulang tahun ke-8 ini merupakan satu pencapaian bermakna buat kami, dan ia tidak mungkin dicapai tanpa sokongan padu daripada para pemain dan komuniti. Tenaga dan semangat yang ditunjukkan sepanjang sambutan ini amat menggalakkan, dan kami komited untuk terus membawakan pengalaman permainan, kolaborasi dan aktiviti komuniti yang lebih menarik pada masa akan datang.”

Skala sambutan ini turut direalisasikan melalui sokongan kukuh daripada rangkaian rakan industri. Ashley Phuah turut berkata, “Penganjuran sambutan sebesar ini memerlukan sistem sokongan yang hebat. Kami amat berterima kasih kepada Sony Music Malaysia, Sunway Pyramid selaku Rakan Lokasi Rasmi, Razer Inc sebagai Rakan Kerusi Gaming Rasmi, serta ARC Helmet sebagai Rakan Helmet Rasmi, selain Clazroom Academy dan Krispy Kreme atas kerjasama istimewa mereka. Sokongan ini membolehkan kami menghadirkan pengalaman bertaraf dunia yang benar-benar meraikan komuniti pemain kami.”

Walaupun acara di Sunway Pyramid telah melabuhkan tirainya, usaha PUBG MOBILE untuk mendekati komuniti akan terus diperkasakan. Pada masa akan datang, PUBG MOBILE merancang untuk memperluaskan inisiatif komuniti di Malaysia Timur, khususnya di Sarawak, melalui penganjuran kejohanan tempatan, sesi pertemuan komuniti dan pelbagai aktiviti lapangan. Para peminat boleh menantikan lebih banyak acara menarik di Malaysia Timur dalam masa terdekat.

PUBG MOBILE boleh dimuat turun dan dimainkan secara percuma melalui App Store dan Google Play Store.

Comments

Popular posts from this blog

HARVEY NORMAN LANCAR HILKER TITANIUM COMFORTCORE V-SERIES: EVOLUSI KESELESAAN TIDUR DI MALAYSIA