PET LOVERS CENTRE ANJUR KEMPEN PENGUMPULAN MAKANAN HAIWAN




Kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Peliharaan Kali Ke-3 anjuran Pet Lovers Centre Malaysia yang telah berlangsung pada 1 hingga 16 Disember 2018 berjaya mencapai matlamatnya. Kempen tersebut yang disertai oleh semua cawangan Pet Lovers Centres dan The Pet Safaris di seluruh negara membolehkan rakyat Malaysia membantu si comel agar kekal kenyang dan sihat di sepanjang musim perayaan pada hujung tahun lalu.

Sesuai dengan tema ‘Stomachs Full, Dreams Come True!’, kempen pengumpulan makanan haiwan peliharaan ini dianjurkan bagi mengurangkan kos penyediaan makanan harian sambil memastikan anjing serta kucing yang ditempatkan di pusat perlindungan haiwan sentiasa mendapat makanan yang secukupnya. Ia turut membantu mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh badan-badan kebajikan haiwan.

“Kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Kali Ke-3 mendapat sambutan yang amat memberangsangkan, di mana kami berjaya mengumpul makanan berjumlah 2,895.31kg. Ini bermakna, lebih 1,546.39kg makanan berjaya dikumpulkan berbanding pada 2017, peningkatan sehingga 114.64%. Disebabkan oleh keikhlasan hati mereka yang telah menyumbang, haiwan-haiwan berkenaan akan mendapat makanan yang secukupnya dan beban kewangan empat pusat perlindungan haiwan yang terlibat dapat dikurangkan,” kata Pengarah Operasi Pet Lovers Centre Malaysia, Bryan Boo.

Jumlah makanan haiwan peliharaan yang berjaya dikumpulkan boleh dilihat di laman sesawang rasmi Pet Lovers Centre Malaysia di www.petloverscentre.com.my.

Badan-badan kebajikan haiwan yang mendapat manfaat daripada Kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Peliharaan
Sehingga 16 Disember 2018, sejumlah 2,895.31kg makanan berjaya dikumpulkan di sepanjang tempoh Kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Peliharaan dilaksanakan. Semua makanan yang telah dikumpulkan akan dibahagikan secara sama rata kepada empat badan kebajikan haiwan; Pusat Perlindungan Haiwan Noah’s Ark (NANAS), Pertubuhan Kebajikan Haiwan PAWS (PAWS), Second Chance Animal Society (SCAS) dan Save A Stray Malaysia (SASM).

Pusat perlindungan haiwan PAWS menempatkan haiwan terbiar di pusat perlindungannya dan berhasrat untuk mencari rumah yang kekal untuk haiwan berkenaan. Sehingga hari ini, pusat perlindungan PAWS menjaga lebih 500 ekor anjing serta kucing. Pet Lovers Centre telah lama menjalinkan kerjasama dengan PAWS dalam usaha membantu mereka menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar berkenaan. Selain daripada kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Peliharaan, Pet Lovers Centre turut mengutip sumbangan makanan di samping menyediakan ruang bagi membantu PAWS mendapatkan pemilik baru untuk haiwan peliharaan berkenaan menerusi program Adopt 1st mereka.

“Kami sangat terhutang budi kepada rakan kongsi kami, Pet Lovers Centre kerana telah berusaha mengumpulkan bantuan makanan untuk haiwan-haiwan berkenaan sepanjang musim perayaan yang lalu. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyumbang kepada kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Peliharaan kerana sumbangan anda sememangnya membantu mengurangkan beban kewangan kami,” kata Pengurus PAWS, Edward Lim.

Sementara itu, NANAS, pusat perlindungan haiwan yang membenarkan haiwan hidup bebas, ketika ini menempatkan lebih 1,000 haiwan yang telah diselamatkan. Manakala SASM, sebuah inisiatif yang berpengkalan di Pulau Ketam, berusaha untuk memastikan haiwan berkenaan sentiasa bersih dan tidak berkeliaran di jalanan. SCAS yang turut membenarkan haiwan hidup bebas berazam untuk mencari rumah baru untuk anjing-anjing yang telah diselamatkan. Ketika ini, SCAS melindungi anjing-anjing yang menjadi mangsa penderaan, mengalami kecederaan dan ditinggalkan.

“Matlamat kami ialah memastikan lebih 500 haiwan yang telah diselamatkan kekal bahagia dan sentiasa kenyang setiap hari. Dengan adanya kempen Pengumpulan Makanan Haiwan Peliharaan, kami berjaya melakukannya. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pet Lovers Centre Malaysia kerana membuat impian jadi nyata, dan kepada anda semua atas sumbangan ikhlas anda,” kata Penasihat merangkap Bendahari SCAS, Kim.

Pet Lovers Centre Malaysia kini mempunyai 29 kedai yang beroperasi di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Sebagai kedai haiwan peliharaan yang terkemuka di negara ini, ia sentiasa berusaha menyediakan penyelesaian terbaik untuk pemilik haiwan peliharaan dan membolehkan mereka memberikan penjagaan yang sempurna untuk haiwan peliharaan mereka. Pet Lovers Centre Malaysia turut melindungi haiwan terbiar dan menguruskan Adopt 1st Centre di SS2 Central.


LAMAN SESAWANG
FACEBOOK

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!