SAHUTI PANGGILAN HIDUPAN LIAR DENGAN PERCUTIAN EKSOTIK INI
Selepas bertungkus-lumus membanting tulang di pejabat, luangkanlah masa R&R (rehat and rawat) untuk diri anda. Kita bernasib baik kerana terdapat pelbagai destinasi percutian dengan alam semulajadi yang indah di Malaysia atau di negara berhampiran. Jom kita lihat lima cadangan destinasi “liar” yang dikongsikan oleh Agoda.
Berusia 130 juta tahun, Hutan Hujan Belum Temenggor di Perak merupakan salah satu hutan hujan yang tertua di dunia. Penggemar alam semulajadi pastinya mempunyai banyak pilihan aktiviti untuk dilakukan, termasuk memerhati hidupan liar, trekking, berkayak dan berkhemah Jika nasib menyebelahi anda, anda mungkin dapat melihat hidupan liar yang terancam termasuk harimau Malaya, gajah Asia atau ungka tangan putih. Bermalamlah di Belum Rainforest Resort yang mempunyai pemandangan rimba yang indah dari bilik tetamu yang serba mewah.
Berenang dengan hidupan laut di Pulau Miniloc
Dikelilingi oleh suak yang indah dan berlatarbelakangkan lereng bukit batu kapur, Resort El Nido di Pulai Miniloc, Filipina merupakan sebuah destinasi hebat untuk mereka yang idamkan percutian pantai dengan air yang jernih umpama kristal dan dihuni pelbagai hidupan laut. Antara aktiviti-aktiviti menarik di pusat peranginan ini adalah seperti kembara berjalan kaki berpandu ketika matahari terbit atau terbenam, rombongan menaiki bot ke lagun berhampiran, penerokaan gua serta aktiviti snorkeling bersama ikan tempatan. Di sini, anda juga dapat melihat ikan selar besar yang dikenali oleh penduduk tempatan sebagai Talakitok. Dengan beratnya yang mencecah 80 kilo dan panjangnya sehingga 170 cm, ikan yang besar ini sering dikelirukan dengan ikan jerung.
Terbang tinggi di Phuket, Thailand
Hotel Keemala menampilkan villa ‘sarang burung” yang bertenggek tinggi di atas hutan di Phuket.
Berlandaskan ‘Polisi anti eksploitasi haiwan’ yang ketat, pusat peranginan ini turut memelihara beberapa ekor haiwan yang telah diselamatkan daripada penganiayaan. Para tetamu boleh bertemu dengan kerbau air yang telah diselamatkan dari rumah sembelih Thai dan mempelajari rutin harian spesis tersebut serta kepentingannya dalam kebudayaan Thai. Antara haiwan lain yang turut diselamatkan oleh hotel ini adalah seperti kambing, itik, burung merak dan ayam, yang pastinya mampu memberi pengalaman yang menarik bagi kanak-kanak.
Jadilah penyokong pemuliharaan laut untuk sehari (atau dua)
Bagi percutian yang lebih ceria, kunjungilah Resort Gayana Marine di Kota Kinabalu. Pusat peranginan ini mempunyai sebuah badan pendidikan miliknya sendiri iaitu Pusat Penyelidikan Ekologi Marin, sebuah organisasi pembelajaran dan pendidikan yang menimbulkan kesedaran tentang kepentingan ekosistem marin dan ancaman yang dihadapi. Para tetamu boleh mengambil bahagian dalam aktiviti pemuliharaan seperti penanaman semula terumbu karang atau mengenali hidupan laut seperti kuda laut dan jerung buluh dengan lebih dekat.
Alami sesuatu yang berbeza dengan haiwan pemangsa India
Taman Negara Ranthambore di Rajasthan adalah salah sebuah kawasan perlindungan haiwan liar yang terbesar di India Utara, dan terkenal dengan populasi Harimau Bengali yang tinggi. Walaupun harimau adalah tarikan utama bagi penggemar hidupan liar, anda juga berpeluang untuk menyaksikan haiwan-haiwan lain seperti harimau bintang India, nilgai, khinzir hutan, dubuk belang, beruang sloth dan rusa chital di sini.
Nikmati aktiviti glamping dengan khemah mewah bagaikan untuk kegunaan maharaja di Hotel Oberoi Vanyavilas Ranthambhore yang terletak berhampiran. Bersiar-siar di dalam hutan sambil memerhatikan himpunan unggas yang beraneka jenis, termasuk burung murai, burung matahari ungu dan burung mata putih.
Comments
Post a Comment