ULASAN: POCONG THE ORIGIN - BUKAN POCONG BIASA-BIASA


“Ananta itu punya ilmu banaspati. Dan kalau tidak dikubur di tanah kelahirannya, yang mati itu bisa bangkit lagi, Pak.”


Kisah Pocong The Origin bermula dengan hukuman bunuh seorang pembunuh yang kejam bernama Ananta (Surya Saputra). Sebelum kematiannya, Ananta meminta jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan di kampung asalnya, Cimacan. Dipercayai Ananta mengamalkan ilmu hitam di mana jika pengamalnya tidak dikebumikan di kampung asal selepas kematian, jenazah akan dihidupkan semula di bulan purnama.

Anak perempuan Ananta, Sasthi terpaksa membawa jenazah bapanya pulang ke Cimacan, dan ditemani oleh pengawal penjara bernama Yama (Samuel Rizal). Namun, kepulangan mereka tersebut tidak disenangi oleh para penduduk Cimacan.

Di sepanjang perjalanan, Sasthi dan Yama menghadapi pelbagai gangguan aneh. Mereka turut diburu oleh seorang wartawan bernama Jayanthi (Della Dartyan) yang ingin menyiasat tentang ilmu hitam yang  dimiliki oleh Ananta. 


Ulasan:

Filem Pocong mempunyai potensi dari sudut jalan cerita. Ia bukan tentang sekumpulan remaja yang dikejari hantu pocong yang melompat-lompat. Ia tampak lebih serius dan cuba untuk mengupas hubungan antara seorang anak dengan bapanya yang telah dihukum bunuh melalui adegan-adegan “flashback”.  Nadya Arima membawa wataknya dengan baik, tanpa perlu terjerit-jerit seperti filem-filem seram tipikal. 

Komitmen yang diberikan oleh pelakon Surya Saputra yang membawa watak Anantha perlu diberi pujian. Walaupun screen timenya agak kurang dan hanya kelihatan di awal filem, perlu dijelaskan bahawa tubuh yang berada di dalam kain kafan adalah benar-benar Surya, dan bukan pelakon pengganti. 

Walaupun kami faham yang kisah ini berlaku di waktu malam, tetapi pencahayaan filem ini amat kurang memuaskan. Semuanya agak kelam dan sukar untuk melihat apa yang berlaku di atas skrin. Kami juga tidak gemar dengan kemunculkan hantu-hantu rawak dan efek tangisan yang berulang-ulang sehinggakan agak menjengkelkan. Lebih baik kemunculan makhluk-makhluk yang cuba mengganggu perjalanan membawa jenazah Ananta ke kampung mempunyai kaitan atau sedikit back story dengan watak-watak utama. 

Dari sudut positifnya, Monty Tiwa berjaya menyuntik unsur komedi dan memecahkan kebosanan di dalam filem ini. “Pocong The Origin” bukanlah sebuah filem pocong yang terbaik tetapi ia juga tidak seteruk mana. 

Filem ini mempunyai banyak potensi yang tidak kesampaian, termasuklah lagu “Di Bawah Sinar Bulan Purnama” yang sepatutnya digunakan untuk meningkatkan suasana seram dan elemen mistik.  


Kesimpulannya, walaupun pocongnya bukan biasa-biasa dan jalan cerita yang agak menarik, filem ini dihantui oleh hantu-hantu rawak yang tiada berkenaan dengan jalan cerita untuk "cheap scare". Pencahayaan filem ini agak kelam dari awal sehingga akhir, sedikit sebanyak menjejaskan kepuasan penonton.



Pocong: The Origin
Bahasa: Indonesia
Sarikata: Bahasa Malaysia
Tarikh Tayangan: 4 Jun 2019
Genre: Seram
Pengedar: TGV Pictures
Pelakon: Samuel Rizal, Nadya Arina, Surya Saputra, Della Dartyan
Pengarah: Monty Tiwa




Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA