PERSIDANGAN BICSI SEA 2026 KEMBALI KE MALAYSIA: FOKUS PEMBANGUNAN BAKAT BERKEMAHIRAN TINGGI, PERKASA INFRASTRUKTUR AI
Ekosistem infrastruktur digital negara terus diperkasa menerusi penganjuran Persidangan dan Pameran BICSI Asia Tenggara Malaysia 2026, yang menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memajukan sektor tersebut, sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia di peringkat serantau.
Majlis pra-pelancaran persidangan berkenaan hari ini disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof.
![]() |
| Sesi perbincangan berlangsung di dalam BICSI SEA Beyond 2026 Forum, di mana rakan-rakan kerjasama BICSI SEA membincangkan masa depan pendigitalan dalam landskap semasa yang dipacu oleh AI. |
Acara tersebut yang bakal berlangsung pada 21 dan 22 Julai di Sunway Resort Hotel memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan keupayaan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), khususnya dalam mendepani perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keperluan tenaga kerja mahir dalam industri terbabit. Edisi di Malaysia kali ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran terdahulu di Johor Bahru pada 2025 serta edisi yang diadakan di Vietnam awal tahun ini.
![]() |
| Mohd Azmi bin Isa, Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Antarabangsa di Kementerian Sumber Manusia menyampaikan ucapan bagi pihak Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Azman Mohd Yusof. |
Dalam perkembangan berkaitan, sektor ICT negara terus menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan dengan sumbangan sebanyak RM451.3 bilion atau 23.4 peratus kepada ekonomi, di samping menyediakan lebih 1.25 juta peluang pekerjaan menurut Laporan Ekonomi Digital Malaysia 2025 terbitan Jabatan Perangkaan Malaysia. Sepanjang tempoh 2022 hingga 2025, pelaburan digital telah diluluskan melebihi RM342 bilion dan dijangka mencipta lebih 114,000 peluang pekerjaan baharu, majoritinya dalam bidang berkemahiran tinggi.
Mengulas perkara itu, Azman berkata keperluan terhadap tenaga kerja berkualiti semakin mendesak seiring peningkatan pelaburan dan perubahan landskap teknologi.
“KESUMA mengenal pasti keperluan membangunkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan bukan sekadar menambah bilangan, tetapi kita juga perlu memastikan rakyat Malaysia dilengkapi dengan kemahiran, pensijilan dan pendedahan yang tepat bagi memenuhi keperluan landskap digital yang semakin kompleks,” katanya.
![]() |
| Mary Elizabeth Cheng, Pengasas dan Pengetua Tecnoviq Learning Academy (TECLA) serta Pengarah Eksekutif BICSI Southeast Asia Affiliate |
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan lebih menyeluruh dalam pembangunan bakat, termasuk memperkukuh piawaian industri dan memperluas akses kepada pensijilan antarabangsa.
“Penerimagunaan pensijilan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa seperti BICSI serta laluan latihan yang tersusun sudah tentu dapat memperkukuh standard industri, di samping memastikan kualiti bakat yang konsisten dan sejajar dengan keperluan teknologi yang sentiasa berkembang,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama lebih rapat antara pemain industri, institusi latihan dan pembuat dasar perlu terus diperkukuh bagi memastikan pembangunan kemahiran sentiasa selari dengan keperluan pasaran, khususnya dalam menangani isu ketidakpadanan kemahiran serta menyokong mobiliti tenaga kerja.
Persidangan itu dianjurkan oleh Tecnoviq Learning Academy (TECLA), rakan gabungan BICSI Asia Tenggara, yang merupakan sebahagian daripada BICSI, badan antarabangsa dalam penetapan piawaian dan pensijilan profesional industri ICT.
![]() |
| Pengerusi Eksekutif BICSI Asia Tenggara, Dr. Garies Chong |
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif BICSI Asia Tenggara, Dr. Garies Chong berkata pihaknya bersedia untuk terus menyokong kemajuan industri terbabit melalui pendekatan kolaboratif di peringkat serantau.
“Bagi BICSI Asia Tenggara, usaha kami tertumpu kepada peningkatan standard industri, pembangunan bakat berkemahiran tinggi serta pengukuhan kerjasama serantau yang menjadi asas kepada ekosistem ICT yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya.
Majlis pra-pelancaran itu menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, pemain industri dan penyedia teknologi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Invest Selangor, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) serta Cyberview.
Penganjuran edisi kali ini turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM), di samping penajaan daripada syarikat antarabangsa seperti Softing AG (Jerman), SENKO Advanced Components (Euro) Ltd. (UK), OneSystems Technologies Pte. Ltd. (Singapura) dan Datwyler AG (Switzerland).
Dalam pada itu, penganjur memaklumkan bahawa peluang penajaan masih terbuka kepada syarikat yang ingin menyertai acara berkenaan sebagai rakan strategik. Maklumat lanjut mengenai penyertaan dan peluang penajaan boleh didapati dengan menghubungi pihak TECLA melalui e-mel di info@bicsi-sea.org atau dengan melayari laman sesawang rasmi penganjur di bicsi-sea.org.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)
Comments
Post a Comment