YAYASAN PENERAJU PERKASA LEPASAN SPM UNTUK MEMPERCEPAT LALUAN KE ARAH KELAYAKAN AKAUNTAN BERTAULIAH


Yayasan Peneraju (YP), sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi, telah menyempurnakan penganjuran program 2026 ‘Jom Explore! Why Not YP?’ dengan penyertaan lebih 2,000 belia Bumiputera di seluruh negara. Ini termasuk pendaftaran di Kunching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah sebagai sebahagian daripada usaha memperluas jangkauan program ke Malaysia Timur, sekali gus menarik minat yang tinggi daripada bakat muda Bumiputera yang berpotensi.

Kini memasuki tahun kedua penganjurannya, program ‘Jom Explore! Why Not YP?’ dirangka bagi memberi pendedahan kepada lepasan SPM Bumiputera mengenai laluan yang lebih jelas dan mudah kearah memperoleh kelayakan perakaunan profesional bertaraf antarabangsa. Menerusi program tersebut, peserta yang layak telah diperkenalkan kepada saluran pantas untuk mengikuti pengajian sama ada daripada Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) atau Institut Akauntan Berkanun di England dan Wales (ICAEW), yang dibiayai sepenuhnya di bawah skim pembiayaan Yayasan Peneraju.

Edisi 2026 bermula dengan Gelombang 1 di Kuala Lumpur dari 28 Februari hingga 2 Mac 2026, diikuti oleh Gelombang 2 dari 4 hingga 6 April 2026, sebelum diteruskan ke Kuching, Sarawak pada 13 April 2026 dan Kota Kinabalu, Sabah pada 18 April 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani, berkata, “Sebagai sebuah agensi yang diberi mandat mengenal pasti, memupuk dan menguruskan bakat Bumiputera, YP kekal komited untuk melahirkan individu berpotensi tinggi menjadi pencipta nilai yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Kelayakan profesional dalam bidang perakaunan dan perkhidmatan perniagaan adalah antara saluran paling berkesan untuk mencapai matlamat ini, bukan sahaja bagi individu, malah untuk keluarga mereka serta masa depan ekonomi Malaysia.”

“Melalui‘Jom Explore! Why Not YP?’, kami berpeluang mendekati belia Bumiputera di seluruh negara pada satu fasa penting dalam perjalanan pendidikan mereka, khususnya ketika ramai antara mereka baru sahaja menerima keputusan SPM. Program ini dirangka untuk menyediakan laluan yang jelas dan disokong secara menyeluruh bagi membantu lepasan sekolah melangkah ke arah menjadi akauntan bertauliah dengan lebih pantas berbanding laluan konvensional,” tambahnya.

Melalui ‘Jom Explore! Why Not YP?’, pemohon yang berjaya layak menerima sokongan pembiayaan sehingga RM150,000 yang merangkumi yuran pengajian, kos peperiksaan dan bahan pembelajaran, selain elaun sara hidup bulanan sekitar RM1,000 sepanjang tempoh pengajian mereka. Mereka ditawarkan pengajian di institusi rakan kerjasama termasuk Sunway College, INTEC Education College, UOW Malaysia KDU College dan Tymba Education Group.

Graduan program berpeluang memperoleh status Keahlian Affiliate seawal usia 21 tahun dengan gaji permulaan sekitar RM4,000 dan potensi pendapatan mencecah RM8,000 atau lebih dalam tempoh tiga tahun selepas memperoleh kelayakan.

Antara penambahbaikan utama bagi program tahun ini ialah proses permohonan dan pemilihan yang lebih tersusun, yang memudahkan calon untuk memohon sambil mengekalkan pengambilan berasaskan merit. Penambahbaikan ini melancarkan lagi proses secara keseluruhan bagi peserta dan mencerminkan usaha berterusan Yayasan Peneraju untuk memudahkan penyertaan golongan belia Bumiputera terhadap laluan profesional berpotensi tinggi.

Yayasan Peneraju terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh saluran bakat profesional Bumiputera. Sehingga kini, lebih 9,000 bakat Bumiputera di seluruh negara telah meraih manfaat daripada program perakaunan profesional YP hasil usaha jangkauannya. Agensi ini turut menyasarkan untuk menyokong 2,000 lagi akauntan berkelayakan profesional pada tahun 2026, dengan matlamat jangka panjang untuk melahirkan 5,000 akauntan bertauliah setiap tahun menjelang 2030.

Comments

Popular posts from this blog

LKE MUSANG QUEEN & DKING JALIN KERJASAMA UNTUK MEMBANGUNKAN INDUSTRI DURIAN MALAYSIA

TENA TAMPILKAN PEREKA DR. ERIC LEONG DALAM KEMPEN TERBARU