THE WORKING DEAD - MUZIKAL SATIRA YANG MENGHIBURKAN



The Working Dead Musical adalah pementasan komedi muzikal oleh KuLT Productions di bawah arahan Nicole-Ann Thomas dan ditulis oleh Terence Toh. Berlangsung selama 2 jam dan 30 minit (termasuk waktu rehat), komedi muzikal ini membawa penonton ke dalam kehidupan (dan kematian!) seorang wargakerja korporat bernama Edwin.



Edwin adalah pekerja contoh yang disayangi oleh majikannya. Matlamat hidupnya adalah untuk memberikan kehidupan yang lebih baik kepada isterinya, Sarah. Dengan itu, dia berkerja keras untuk mendapatkan wang. Dalam masa yang sama majikannya, Chan mengekploitasi para pekerjanya untuk mendapatkan keuntungan. 

Apabila Edwin meninggal dunia tanpa disangka, Chan menggunakan khidmat seorang bomoh untuk menghidupkan balik mayatnya. Maka kembalilah Edwin ke dunia korporat sebagai mayat hidup atau zombie dan diperhambakan oleh Chan. Sarah dan rakan-rakan sekerja Edwin cuba menyelamatkanna dari cengkaman Chan yang tidak berhati perut.


Walaupun pementasan ini bertema zombi, ia bukanlah satu persembahan yang menyeramkan tetapi ia membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak menyaksikan gelagat zombie yang tidak ubah seperti wargakerja korporat seperti penonton sendiri - bekerja siang malam demi wang ringgit. Pementasan yang berbaur satira ini menyentuh aspek sosial dan juga politik di pejabat dengan secara halus tetapi tajam sekali. 




Pementasan muzikal ini dihidupkan oleh lagu-lagu yang catchy ala-Broadway hasil lirik tulisan Terence Toh dan muzik gubahan Lydia Tong dan Kelvin Loh di mana ia mengambil masa dua tahun untuk disiapkan. Boleh dikatakan semua lagu-lagu yang dipersembahkan, sama ada rancak atau balada, dapat menyampaikan mesej yang tersirat kepada penonton. 

Pelakon-pelakon berbakat Brian Cheong, Colin Kirton, Denise Yap, Iz Sulaini, Kirthana Kuhendran, Pryanka Rasa, Tina Isaacs, Zhafri Hassan, Zickry Yusof, dan Zukhairi Ahmad harus diberi pujian. Bukan sahaja mereka boleh menari dan menyanyi dengan baik dalam mempersembahkan lagu rancak, bakat mereka juga menyerlah ketika menyampaikan lagu balada yang memerlukan penghayatan emosi yang mantap. Mereka diiringi oleh empat pemuzik secara langsung dan ini memberikan tenaga yang dinamik kepada seluruh persembahan.


Secara keseluruhannya, pementasan komedi muzikal ini amat menghiburkan. Jarang-jarang kita dapat menyaksikan sebuah persembahan muzikal ala-Broadway yang begitu padu dan lain daripada yang lain di pentas Malaysia. Apa yang membanggakan adalah kesemua aspek muzikal ini, daripada kreatif sehingga teknikal adalah 100% buatan Malaysia!

Jangan lupa saksikan pementasan The Working Dead hari ini!

Pementasan kini berlangsung di Pentas 2, KLPAC (The Kuala Lumpur Performing Arts Centre) dari 18 Julai hingga 4 Ogos 2019 pada jam 8.30 malam (pementasan hari biasa dan hari Sabtu) serta 3 petang (pementasan hari Ahad).

Tiket adalah berharga RM88 dan RM68 (Selasa dan Rabu, pelajar, orang kelainan upaya dan warga emas serta pemegang kad TAS) serta boleh dibeli daripada https://proticket.com.my/klpac-the-working-dead/

Ikuti zombie korporat di https://www.facebook.com/workingdeadthemusical/.

Ihsan Foto: KuLT Productions

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!