HOCK KEE MASUK FASA PERTUMBUHAN BAHARU DENGAN PELABURAN CREADOR FOUNDATION DAN CENSURIA SERTA PELANTIKAN BELLA ASTILLAH SEBAGAI DUTA JENAMA


Hock Kee Kopitiam melakar lembaran baharu dalam landskap kopitiam Malaysia dengan mengumumkan dua langkah strategik: penyertaan firma ekuiti persendirian global, Creador Foundation (cabang dermawan firma ekuiti persendirian Creador) dan Censuria Capital sebagai pelabur strategik, serta pelantikan Bella Astillah sebagai Duta Jenama rasmi pertamanya. Pengumuman ini bertepatan dengan pembukaan cawangan ke-17, Hock Kee Heritage di Medan Pasar, sekali gus menandakan evolusi Hock Kee daripada kegemaran tempatan kepada jenama kopitiam bertaraf nasional dengan hala tuju pertumbuhan yang jelas.

Penyertaan Creador Foundation dan Censuria membawa sokongan modal institusi, kepakaran pengembangan serta disiplin operasi yang kukuh bagi mempercepat peluasan rangkaian, pemerkasaan platform dan pembinaan kepimpinan pasaran jangka panjang. Pelantikan Bella Astillah pula mempertingkat pengaruh, kerelevanan budaya dan keterlihatan jenama. Kedua-dua langkah ini mengubah landskap persaingan kopitiam — daripada pasaran yang didominasi pemain bebas kepada kemunculan pemain nasional yang dipacu jenama dan diurus secara profesional.


Pelaburan Strategik Creador Foundation dan Censuria Pacu Momentum Pertumbuhan Hock Kee

Pelaburan strategik oleh Creador Foundation—cabang dermawan sebuah firma ekuiti persendirian terkemuka di Asia Tenggara yang menyokong jenama pengguna dan runcit berpertumbuhan tinggi—mencerminkan keyakinan kukuh terhadap asas perniagaan, kekuatan jenama serta potensi jangka panjang Hock Kee Kopitiam.

Creador terkenal dengan pelaburannya dalam jenama-jenama terkemuka di Malaysia dan rantau ini, termasuk BIG Pharmacy dan MR DIY. Mengulas tentang pelaburan tersebut, Pengasas Creador dan Pemegang Amanah Creador Foundation, Brahmal Vasudevan, berkata, “Keputusan kami untuk melabur dalam Hock Kee Kopitiam berasaskan keyakinan terhadap asas perniagaan yang mantap, kedudukan jenama yang unik serta potensinya untuk berkembang sebagai sebuah jenama Malaysia yang diiktiraf di peringkat nasional.”

Selain Creador Foundation, pusingan pelaburan ini turut disertai oleh firma ekuiti persendirian Censuria Capital, yang diketuai oleh Pengerusi Datuk Marco Yap. Censuria membawa pengalaman luas dalam penciptaan nilai, pengoptimuman operasi serta pengembangan perniagaan jangka panjang merentasi sektor pengguna dan perindustrian di Malaysia.

Mengulas tentang pelaburan tersebut, Datuk Marco Yap berkata, “Hock Kee Kopitiam mewakili satu perniagaan yang berdisiplin dan dipimpin oleh pengasas—yang berada pada landasan kukuh untuk berkembang dengan sokongan institusi yang tepat. Jenama ini telah menunjukkan pelaksanaan yang kukuh, kedudukan yang jelas dan pemahaman yang mendalam tentang asas pelanggannya. Kami melihat peluang yang signifikan untuk menyokong fasa pertumbuhan seterusnya melalui pengukuhan sistem, tadbir urus dan keupayaan organisasi jangka panjang, sambil mengekalkan keaslian yang menjadi teras kejayaan Hock Kee.”

Ditubuhkan pada tahun 2018, Hock Kee Kopitiam berkembang secara konsisten daripada sebuah cawangan tunggal di Johor kepada rangkaian nasional dengan 17 cawangan, merangkumi pasaran utama seperti Kuala Lumpur, Ipoh dan bakal diperluas ke Kelantan. Pada tahun 2024, jenama ini memperoleh pensijilan Halal, sekali gus memperkukuh kebolehcapaian, keterangkuman dan daya tarikannya kepada pengguna di seluruh negara.

Menurut Pengasas Hock Kee Kopitiam, Nick Ng, kerjasama dengan Creador Foundation dan Censuria melangkaui sokongan kewangan semata-mata. Beliau berkata, “Mereka membawa kepakaran mendalam dalam membangunkan jenama pengguna Malaysia dengan disiplin operasi yang kukuh. Pelaburan ini merupakan satu pengiktirafan besar terhadap model perniagaan, asas jenama serta strategi jangka panjang kami. Lebih penting lagi, kami berkongsi nilai yang sama dalam membina perniagaan mampan yang berteraskan tadbir urus baik, pembangunan bakat dan kecemerlangan operasi.”

Pelaburan ini akan menyokong peluasan cawangan, pembangunan bakat, pengukuhan sistem operasi, rantaian bekalan serta pembinaan jenama, ketika Hock Kee Kopitiam memasuki fasa pertumbuhan seterusnya tanpa mengabaikan warisan kopitiam dan piawaian perkhidmatannya.


Bella Astillah Dilantik sebagai Duta Jenama Rasmi Pertama

Seiring dengan pencapaian strategik ini, Hock Kee Kopitiam turut mengumumkan pelantikan penyanyi dan pelakon terkenal Malaysia, Bella Astillah, sebagai Duta Jenama rasmi pertamanya — melambangkan fasa baharu dalam strategi penglibatan jenama dan hubungan dengan pengguna. Dikenali dengan keaslian, kemesraan dan hubungan rapatnya dengan peminat, Bella mencerminkan nilai teras yang dipegang oleh Hock Kee Kopitiam.

Sebagai pelanggan setia sejak sekian lama, hubungan Bella dengan jenama ini telah terjalin jauh sebelum pelantikan rasminya. Tahun lalu, beliau turut hadir dalam pembukaan salah satu cawangan Hock Kee sebagai ‘Friend of Hock Kee’, menandakan sokongan berterusannya terhadap jenama ini. Hubungan jangka panjang yang dibina berlandaskan nilai bersama seperti kekeluargaan, kecintaan terhadap makanan dan semangat komuniti menjadikan Bella pilihan semula jadi sebagai Duta Jenama pertama Hock Kee Kopitiam.


Bella berkata, “Saya memang sudah lama menyukai Hock Kee Kopitiam. Ia antara tempat yang benar-benar saya gemari, sama ada untuk menikmati hidangan ringkas atau meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan. Jadi, peluang untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Hock Kee dengan cara yang lebih bermakna terasa sangat istimewa buat saya.”

Pembukaan Cawangan Ke-17 di Medan Pasar: Mengangkat Warisan, Melangkah ke Hadapan

Pembukaan Hock Kee Heritage di Medan Pasar merupakan satu pencapaian simbolik buat jenama ini. Terletak di antara kawasan paling bersejarah di Kuala Lumpur, cawangan ini mencerminkan komitmen Hock Kee untuk menghormati tradisi sambil menerapkan piawaian moden dari segi keselesaan, perkhidmatan dan konsistensi.

“Medan Pasar mempunyai makna sejarah yang mendalam untuk Kuala Lumpur. Membuka cawangan ke-17 kami di sini bukan sahaja satu penghormatan, malah satu tanggungjawab. Kali pertama saya melangkah ke kawasan ini, saya terus terpikat dengan suasana warisannya — penuh sejarah, karakter dan jiwa — seolah-olah cinta pandang pertama!” tambah Nick Ng.

Bermula sebagai sebuah kopitiam kejiranan, Hock Kee Kopitiam kini berkembang menjadi jenama yang digemari oleh komuniti tempatan dan pelancong antarabangsa. Selain peluasan rangkaian, syarikat ini kekal komited untuk mengangkat budaya makanan Malaysia ke peringkat global, seiring dengan kepelbagaian makanan Asia yang diraikan di persada dunia.


Di sebalik tabir, Hock Kee Kopitiam diperkukuh oleh sokongan modal strategik dan kepakaran institusi daripada Creador Foundation dan Censuria. Di hadapan, Bella Astillah membawa kemesraan, kredibiliti dan daya tarikan nasional sebagai wajah baharu jenama ini. Di terasnya, Nick Ng terus mempertahankan nilai utama Hock Kee Kopitiam — ‘Makanan Lazat’, ‘Budaya Indah’ dan ‘Semangat Muhibbah’ — sebagai asas pertumbuhan tanpa menjejaskan identiti.

Dengan gabungan kekuatan modal, kepimpinan jenama dan nilai pengasas yang jelas, Hock Kee Kopitiam kini berada pada kedudukan terbaik untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya secara mampan dan berdisiplin.

Nick Ng menegaskan, “Sejak hari pertama, matlamat kami sentiasa sederhana — menyajikan makanan Malaysia yang jujur dan berkualiti, dalam suasana yang membuatkan semua orang berasa selesa dan dialu-alukan. Walaupun dengan pencapaian penting ini, tujuan asal itu tidak pernah berubah. Sebaliknya, ia memberi kami keyakinan dan keupayaan untuk berkembang secara bertanggungjawab, sambil kekal setia kepada jati diri dan asal-usul kami.”

Untuk maklumat lanjut tentang Hock Kee Kopitiam, sila layari https://www.hockkeegroup.com/

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO ANGKAT TEMA ‘BERSAMA LAGI JADI’, BAWA BARISAN KANDUNGAN KEROHANIAN DAN DRAMA TERBAIK RAMADAN 2026

FENG SHUI MODEN: IKEA BAWAKAN IDEA UNTUK RUANG KEDIAMAN YANG LEBIH HARMONI DI TAHUN BARU CINA INI

TOMOK DEDIKASIKAN KASIH SAYANG KELUARGA DALAM SINGLE “BUAH HATI”