KENALI ISMAIL ZAIN DALAM PAMERAN “MEMBAYANG MAKSUD”




Dalam amanah mendidik masyarakat Malaysia mengenali dengan lebih dekat dan menghargai tokoh seni dan budaya terdahulu, Balai Seni Negara dan Fergana Art dengan bangganya membawakan untuk tatapan khalayak, Pameran “Membayang Maksud” Ismail Zain. Allahyarham merupakan seorang tokoh budayawan negara yand dilahirkan di Kodiang, Kedah pada tahun 1930. Beliau mendapat pendidikan di England dan merupakan anak tempatan pertama yang dilantik sebagai Ketua Pengarah, Balai Seni Negara (1972-1975).

Ismail merupakan artis pasca moden dengan pelbagai kebolehan, diumpamakan sebagai seorang seniman sempurna kerana beliau bukan sahaja dikenali sebagai tokoh pelopor seni elektronik dan digital di Malaysia malahan beliau juga amat dikenali dalam bidang budaya, filem dan teater. Beliau juga seorang pemikir hebat yang banyak menghasil penulisan-penulisan ilmiah tentang bidang seni dan budaya Malaysia.

“Membayang Maksud” merujuk kepada amalan Ismail Zain dalam menghasilkan karya-karyanya. Sebagai seorang budayawan melayu, penghasilan karya beliau selari dengan kiasan dan kata-kata halus seperti pantun dan seloka. Pameran ini memaparkan 77 buah karya catan dan kolaj digital yang dikumpulkan melalui koleksi, Balai Seni Negara, Fergana Art, Koleksi Keluarga, Malaysia Airline System (MAS), Yayasan Ilham dan Koleksi Encik Pakhruddin Sulaiman. 

Menurut Kurator Jemputan pameran ini, Encik Jaafar Ismail “Ismail Zain merupakan seorang seniman seni visual yang berbeza, Ismail berkarya atau menulis bukan hanya berkisar tentang seni visual tetapi juga mengenai budaya dan masyarakat. Ismail juga menekankan seni itu perlu dipermudahkan dan dekat kepada masyarakat”.

“Selain untuk mengajak masyarakat mengenali Ismail Zain dengan lebih dekat, pameran ini juga dirancang bagi melahirkan kesedaran dan mencipta perhatian tentang buku kompilasi terpilih penulisan Ismail Zain yang sedang disusun oleh sejarawan seni, TK Sabapathy yang akan diterbitkan pada November nanti ” tambah beliau lagi. 

Orang ramai diseru agar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pameran ini di Balai Seni Negara, mulai 27 Ogos 2019 sehingga 17 November 2019. Pameran dibuka setiap hari untuk lawatan mulai jam 10 pagi hingga 6 petang. . 

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA