"SPIRIT OF RAMAYANA" MERASUK DI PAWAGAM 12 SEPTEMBER



Filem-filem bercorak seram dari Thailand sememangnya antara genre filem yang cukup digemari oleh penonton di Malaysia. Tidak dinafikan, terdapat beberapa buah filem seram Thailand yang mendapat sambutan hangat serta mendapat kutipan pecah panggung. 


Maka, Film Frame Productions iaitu sebuah syarikat produksi dari negara ‘Gajah Putih’ itu muncul dengan sebuah filem seram terbaharu berjudul The Spirit Of Ramayana. 

Pengarahnya, Chaiwat Sitalasai berkata, filem arahannya itu nyata agak berbeza dengan filem-filem seram Thailand yang pernah dihasilkan sebelum ini. 

“The Spirit Of Ramayana merupakan sebuah filem seram yang tampil dengan jalan cerita yang menarik dengan menyelitkan beberapa elemen yang jarang dipaparkan dalam genre sebegini. 

“Untuk filem ini pula, antara elemen utama yang kami paparkan adalah unsur-unsur tarian tradisional dan kontemporari Thai, di sebalik sebuah kisah yang menyeramkan,” ujarnya. 

Bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 12 SEPTEMBER 2019, ia menampilkan barisan pelakon seperti Ausadaporn Siriwattanakul, Anusorn Maneeted, Jeffrey Benjakul dan Thitikan Sitthisamphan. 

Menurut Chaiwat, The Spirit Of Ramayana merupakan sebuah filem yang harus ditonton kerana ia memberikan sebuah kelainan dan jalan cerita yang tersendiri. 

“Saya percaya elemen seram dalam filem ini pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk, namun saya yakin ia sebuah filem yang menghiburkan,” ujarnya. 

Sementara itu, salah seorang pelakon utamanya iaitu Green Ausadaporn Siriwattanakul pula menyatakan dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan kerana watak yang diberikan sangat mencabar. 

Ujarnya, untuk menjayakan watak sebagai Mintra dia perlu melakonkan babak tarian, terutama sekali membabitkan tarian tradisional. 

“Apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem ini, saya rasa ia satu peluang yang tidak harus dilepaskan sama sekali. 

“Selain jalan ceritanya yang begitu menarik, saya bersetuju untuk terbabit dalam filem ini kerana karakter Mintra itu sendiri,” ujarnya. 

Menurutnya, untuk menjayakan watak yang diberikan, dia terpaksa memasuki kelas tarian selama sebulan sebelum penggambaran bermula. 

Seorang lagi pelakon utamanya iaitu Anusorn Maneeted mengakui The Spirit Of Ramayana merupakan sebuah naskhah yang unik dan tersendiri. 

Ujarnya, filem berkenaan ternyata memberi nafas baharu dalam genre seram apabila menyelitkan elemen tarian tradisional Thailan. 

“Apa yang boleh saya katakan ini merupakan filem paling seram yang pernah saya lakonkan setakat ini. 

“Kalau hendak merasai sendiri sejauh mana seramnya filem ini, penonton akan merasanya ketika menonton di pawagam nanti,” ujarnya. 



SINOPSIS 

Filem berkenaan mengisahkan Mintra, 24, seorang penari menghadiri sesi uji bakat watak idamannya iaitu Seeda dalam sebuah pementasan teater Ramayana. Mintra sangat mendambakan watak tersebut agar dia dapat membuktikan kepada keluarganya bahawa minatnya terhadap dunia tarian sangat mendalam selain inign menampung kehidupan sehariannya. 

Namun, Mintra tidak berjaya dalam uji bakat watak utama disebabkan karakternya yang terlalu baik. Peranan itu kemudiannya telah diberikan pengarah kepada musuh Mintra iaitu Gina. Mintra hanya diberi watak pembantu dan perkara itu telah membuatkannya tidak berpuas hati, tetapi dia masih menerima watak yang diberikan. Bagaimanapun, ketika menjalani latihan seorang hantu wanita telah berjumpa dan bercakap dengan Mintra. Hantu berkenaan mengatakan mahu membantu Mintra dan sebagai balasan Mintra juga perlu membantunya. 

Tidak lama kemudian, Gina telah diganggu oleh hantu di dalam studio sehingga dia kemalangan dan mengalami kecederaan serius, lalu peranan watak utama itu akhirnya beralih arah kepada Mintra yang telah lama mengidamkan watak tersebut.


Comments

Popular Posts