U MOBILE LANCAR PROGRAM MINI WECHAT GO MALAYSIA

From L-R: Dato’ Joyce Yap, CEO - Retail of Pavilion KL; Yang Berusaha Encik Al-Ishsal Ishak, Chairman of the Malaysian Communications and Multimedia Commission; Wong Heang Tuck, CEO of U Mobile; Yang Berbahagia Dato’ Mohmed Razip Hasan, Deputy Director General of Tourism Malaysia; Ma Feng Ming, Head of WeChat Global Marketing.

U Mobile, syarikat telekomunikasi berpusatkan data yang memenangi pelbagai anugerah, telah bekerjasama dengan WeChat, platform komunikasi dari Tanah Besar China yang menawarkan khidmat pesanan, sosial, permainan, dan pembayaran, untuk melancarkan dua Program Mini dalam ekosistem WeChat. 

Kedua-dua program ini, iaitu Program Mini WeChat GO Malaysia dan Program Mini Pavilion KL, direka khas bagi menawarkan pengalaman pelancongan digital di Malaysia berdasarkan gaya hidup serta keperluan pengunjung dari Tanah Besar China. Satu lagi ciri penting adalah pengunjung dari Tanah Besar China boleh membayar untuk pelbagai perkhidmatan dalam kedua-dua Program Mini tersebut dengan mata wang negara mereka, Renminbi (RMB), menerusi fungsi pembayaran yang terdapat dalam ekosistem WeChat. 

Program Mini WeChat GO Malaysia: 

Program Mini WeChat GO Malaysia berazam menjadi teman perjalanan yang serba lengkap bagi pengunjung dari Tanah Besar China. Ia membolehkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan tarikan pelancongan, makanan, budaya, dan tempat beli-belah di Malaysia menerusi satu panduan bahasa Cina interaktif dalam Program Mini tersebut. Selain itu, mereka juga boleh membuat bayaran dengan RMB untuk rakan-rakan perdagangan berikut: 
  • POS Malaysia: Pengunjung dari Tanah Besar China boleh memilih daripada satu senarai rekaan poskad yang menampilkan destinasi-destinasi percutian yang popular di Malaysia dan memperibadikan mesej mereka. POS Malaysia akan mencetak dan menghantar poskad mereka ke mana-mana alamat di Tanah Besar China. Tambahan pula, senarai poskad tersebut didatangkan dengan ciri penjejakan dan tanda pos berdasarkan destinasi spesifik. 
  • KLIA Express: Tempah dan bayar untuk tiket sebelum menaiki kereta api ke lapangan terbang. Tiket QR akan disimpan dalam Program Mini. Di samping itu, U Mobile dan KLIA Express sedang meneroka peluang untuk menambahkan rangkaian perkhidmatan KLIA Express bagi memenuhi keperluan pengunjung dari Tanah Besar China dengan lebih baik. 
  • TripCarte: Tempah dan bayar untuk tiket ke tarikan pelancongan di Malaysia. Pengguna hanya perlu menggunakan tiket QR yang disimpan dalam Program Mini untuk mengakses tarikan pelancongan. 
  • CatchThatBus: Tempah dan bayar untuk tiket bas sebelum perjalanan. Malah, pelanggan juga boleh memilih tempat duduk mereka dengan Program Mini. Mereka hanya perlu menunjukkan butiran tempahan kepada kakitangan sebelum menaiki bas. 

Program Mini WeChat GO Malaysia akan menjadi platform utama untuk menarik pengunjung dari Tanah Besar China menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia untuk Tahun Melawat Malaysia 2020. Menerusi kerjasama ini, Tourism Malaysia akan mempromosikan Program Mini tersebut kepada pengunjung dari Tanah Besar China, selari dengan kempen Melawat Malaysia 2020-nya. Ia juga menggalakkan lebih banyak perniagaan di Malaysia menggunakan Program Mini ini bagi menyasarkan kumpulan pengunjung tersebut, manakala WeChat akan aktif membuat promosi menerusi ekosistemnya bagi menghubungkan pengunjung berpotensi dari Tanah Besar China dengan Program Mini WeChat GO Malaysia di Tanah Besar China. 

Program Mini Pavilion KL: 

Program Mini Pavilion KL bermatlamat mempertingkatkan pengalaman jamu selera dan beli-belah pengunjung dari Tanah Besar China di pusat beli-belah Pavilion KL. Bagi menjamin komunikasi yang lancar antara kumpulan pengunjung tersebut dengan perniagaan di Pavilion KL, program ini didatangkan dalam dua bahasa, iaitu bahasa Cina dan Inggeris. Berikut adalah manfaat-manfaat utama program ini: 
  • Pengunjung dari Tanah Besar China boleh membuat tempahan, memesan dan membayar untuk makanan mereka menerusi Program Mini secara mudah di lebih 30 perniagaan makanan & minuman (F&B) yang menyertai program ini, seperti The Loaf, DOME, Michelangelo’s, Laduree, Kakiyuki dan lain-lain lagi. 
  • Bagi perniagaan peruncitan dan fesyen pula, pengunjung dari Tanah Besar China boleh pesan dan bayar untuk barangan pilihan mereka menerusi Program Mini, dan pergi mendapatkan barangan tersebut apabila telah sampai, sekaligus menjimatkan masa mereka yang berharga. Contohnya, Mercato Supermarket di Pavilion KL mempunyai Program Mini tersendiri dalam Program Mini Pavilion KL. Program Mini Mercato bukan sahaja membolehkan pengunjung dari Tanah Besar China membeli pelbagai produk tempatan seperti kopi segera dan coklat beperisa durian, tetapi juga mengumpulnya dari Mercato Supermarket di Pavilion KL mengikut kesesuaian masa mereka. 
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck menegaskan kepentingan dua Program Mini tersebut ketika menyampaikan ucapan di majlis pelancaran berkenaan. “U Mobile teruja kerana berpeluang mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan WeChat dengan melancarkan bukan satu tetapi dua Program Mini. Program Mini WeChat GO Malaysia akan berfungsi sebagai panduan interaktif yang penting untuk pengunjung dari Tanah Besar China bagi semua perkara berkaitan dengan Malaysia, manakala Program Mini Pavilion KL akan meningkatkan lagi pengalaman jamu selera dan beli-belah mereka di Pavilion KL.” 

Tambahnya, pengunjung dari Tanah Besar China bukannya satu-satunya pihak yang dapat menikmati manfaat-manfaat dua Program Mini tersebut. “U Mobile yakin bahawa Program Mini WeChat GO Malaysia dan Program Mini Pavilion KL akan menjadi platform terbaik yang membolehkan perniagaan di Malaysia mencapai pengunjung dari Tanah Besar China. Kedua-dua Program Mini ini akan membantu perniagaan meningkatkan kehadiran dalam kalangan pengunjung tersebut, sekaligus meningkatkan potensi pendapatan mereka. 

Di samping itu, kedua-dua Program Mini ini juga akan memacu pertumbuhan industri pelancongan dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi yang mudah diakses dan menarik. Kami dapat melihat begitu banyak manfaat untuk pengunjung asing mahupun perniagaan tempatan. Akhirnya, kami percaya bahawa kerjasama kami dengan WeChat adalah benar-benar selari dengan matlamat negara untuk menjadi ekonomi digital yang maju, dengan memacu keusahawanan serta ketersambungan digital.” 

Ketua Pengarah Pemasaran Global WeChat, Ma Feng Ming berkata, “Malaysia sentiasa menjadi antara pilihan destinasi pelancongan dalam kalangan pengunjung dari Tanah Besar China, kerana cuacanya yang cerah, rakyat Malaysia yang ramah mesra, makanan tempatan yang enak, dan sebagainya. Menerusi kerjasama dengan Tourism Malaysia dan U Mobile, kami kini boleh menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pengguna WeChat dengan memperkenalkan lebih banyak produk, perkhidmatan, dan promosi menerusi Program Mini WeChat. Selain itu, kami juga bertujuan menggalakkan lebih perniagaan di Malaysia menyertai program tersebut dan meraih manfaat daripada ekosistem WeChat untuk mendekati pengunjung dari Tanah Besar China.” 

Dalam ucapannya di majlis pelancaran tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif – Runcit Pavilion KL, Dato’ Joyce Yap berkata, “Pavilion KL berbesar hati untuk bekerjasama dengan U Mobile dan WeChat sebagai pusat beli-belah pertama yang disenaraikan dalam Program Mini. Seiring dengan pelancaran Program Mini Pavilion KL, kami teruja untuk memanfaatkan platform baharu ini untuk menyasarkan pelanggan dari Tanah Besar China. Memandangkan satu per tiga daripada pelanggan kami adalah pelancong antarabangsa, kami sentiasa mencari jalan baharu dan inovatif untuk mendekati mereka dengan pelbagai tawaran yang telah dinaik taraf serta mesra-pelancong. Kami berharap untuk menawarkan mereka pengalaman yang sempurna dan menyeronokkan di Pavilion KL. Lebih-lebih lagi, Tahun Melawat Malaysia 2020 akan menjelang.” 

Kedua-dua Program Mini ini telah melanjutkan kerjasama antara U Mobile dan WeChat yang mula-mula terjalin menerusi pelancaran U Mobile WeChat GO Sim pada tahun 2017. Berdasarkan data tahun lalu, ketibaan pengunjung dari Tanah Besar China ke Malaysia mencatatkan jumlah 2.9 juta pengunjung, bahkan setakat ini, terdapat lebih 1.1 bilion gabungan akaun aktif Weixin dan WeChat setiap bulan di seluruh dunia. 

Majlis pelancaran Program Mini WeChat GO Malaysia dan Program Mini Pavilion KL telah berlangsung di Pavilion Hotel hari ini, dan dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Yang Berusaha Encik Al-Ishsal Ishak, dan Timbalan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Yang Berbahagia Dato' Mohmed Razip Hasan. Program Mini WeChat GO Malaysia kini telah dilancarkan untuk pengunjung dari Tanah Besar China, manakala Program Mini Pavilion KL akan dilancarkan sebelum bermulanya Minggu Emas China pada 1 Oktober 2019. Bagi perniagaan yang berminat menyertai Program Mini WeChat GO Malaysia, atau membina satu Program Mini dalam ekosistem WeChat, sila layari www.wegomy.biz untuk maklumat lanjut.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA