"THE GARDEN OF EVENING MISTS" TERIMA 9 PENCALONAN DI TAIWAN



Filem adaptasi dari novel terkenal hasil penulisan novelis Malaysia, Tan Twan Eng, The Garden of Evening Mists (TGOEM), telah tercalon sebanyak sembilan kategori di Anugerah Golden Horse ke-56 yang bakal berlangsung pada bulan hadapan. TGOEM dipersembahkan oleh Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan dengan kerjasama dari CJ Entertainment. 


Sembilan pencalonan tersebut adalah Filem Terbaik (Astro Shaw Sdn. Bhd.,HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom LIN Shu-yu), Pelakon Wanita Terbaik (LEE Sinje), Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Richard SMITH), Sinematografi Terbaik (Kartik VIJAY), Arahan Seni Terbaik (Penny TSAI Pei-ling, LUM Heng-soon, CHEN Hsuan-shao), Rekaan Kostum & Solekan Terbaik (Nikki GOOLEY, Biby CHOW, Penny TSAI Pei-ling, Nina EDWARDS), Skor Muzik Asal Terbaik (Onn SAN), dan Penyunting Filem Terbaik (SOO Mun-thye). 

Festival filem bertaraf prestij ini memberi pengiktirafan buat filem-filem berbahasa cina. Mula dianjurkan pada tahun 1962, festival ini juga telah membuka ruang buat pengkarya-pengkarya untuk untuk lebih dikenali. Bagi tahun ini, festival ini akan berlangsung pada 23 November di Taipei, Taiwan. 

Turut membanggakan, filem ini juga akan membuat tayangan perdananya di 24th Busan International Film Festival pada 4 Oktober ini di Busan Cinema Center Haneulyeon Theater. Ia akan dimeriahkan lagi dengan kehadiran pengarahnya, Tom Lin dan pelakon utama, Sinje Lee. Selain itu turut ditayangkan pada 6 Oktober, jam 4.00 petang di MEGABOX Jangsan Haeundae 4 dan 11 Oktober, jam 8.00 malam di Lotte Cinema Centum City 4. Bagi mendapatkan info lebih lanjut mengenai pembelian tiket, boleh layari https://bit.ly/2nsxn4b

TGOEM menggabungkan tenaga kreatif dari Malaysia, Taiwan, Jepun, Singapura, India, Australia dan UK dalam menjayakan filem ini ke layar perak. Antaranya, pengarah berbakat besar dari Taiwan, Tom Shu-Yu, pemenang anugerah lakon layar terbaik Scottish BAFTA, Richard Smith serta barisan pelakon hebat antarabangsa seperti Sinje Lee (The Eye), Hiroshi Abe (After the Storm), Sylvia Chang (Love Education), David Oakes (Cold Skin), Julian Sands (The Girl with the Dragon Tattoo) dan John Hannah (The Mummy). 

Filem yang berlatar belakangkan Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu ini mengisahkan tentang Teoh Yun Ling mencari ketenangan di Cameron Highlands. Di sana, dia menemui Yugiri, satu-satunya taman Jepun di Tanah Melayu dan pemilik misterinya, Nakamura Aritomo. Dengan berat hati, Arimoto menerima Yun Ling sebagai perantisnya supaya Yun Ling dapat membina sebuah taman sebagai penghormatan kepada adik perempuan kesayangannya yang terkorban di sebuah kem buruh paksa. Tanpa sedari, Yun Ling dan Aritomo mula jatuh cinta. 


Kembara filem ini tidak terhenti di situ sahaja, malah turut bakal dipertontonkan di Hong Kong Asian Film Festival bagi segmen ‘Gala Presentations’ pada 14, 15, 16 November 2019. Manakala, bagi peminat filem tempatan, TGOEM akan berada di pawagam-pawagam tanah air bermula 16 Januari 2020.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO