ZULHUZAIMY MUNCUL JUARA 'ALL STARS BUKA PANGGUNG' MUSIM 1



Pelakon popular tanah air, Zulhuzaimy, atau lebih mesra dikenali sebagai ‘SPARK’ oleh peminatnya, berjaya meraih takhta Juara program sketsa komedi ‘All Stars Buka Panggung’ seterusnya membawa pulang hadiah kemenangan berbentuk wang tunai sebanyak RM50,000 serta sebuah trofi sumbangan Astro! Zulhuzaimy berjaya mendahului kesemua finalis dengan markah sebanyak 36.74 peratus. 

Naib juara yang membawa pulang wang tunai RM25,000 berserta trofi pula dimenangi oleh Noorkhiriah dengan markah peratusan terkumpul sebanyak 21.65 peratus, manakala Datuk Aaron Aziz mendapat tempat ketiga dan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 dan trofi dengan markah berjumlah 20.81%. Rita Rudaini pula akur di kedudukan keempat dengan perbezaan peratusan markah yang begitu tipis dengan Datuk Aaron – Rita membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 dan sebuah trofi dengan markah sebanyak 20.80 peratus.

Malam finale yang penuh dengan gelak ketawa itu turut diserikan dengan kehadiran pelakon tambahan yang membuat kejutan seperti Nabila Razali, Ebby Yus, Ropie, dan Ali Puteh. Memeriahkan lagi Royal Theatre, Shah Alam itu adalah persembahan pembukaan cukup luar biasa dengan gandingan Mas Idayu bersama Juzztin, DJ Uno, dan Alam Wakaka Dance Crew!

Bertemakan ‘Katakan Tidak Pada Skrip!’, ‘All Stars Buka Panggung’ adalah sebuah program komedi dari Astro Warna yang mencabar para pelakon untuk melakonkan watak secara improvisasi, tanpa disediakan sebarang skrip. Malam pentas akhir ‘All Stars Buka Panggung’ telahpun menyaksikan lakonan pemenang pusingan separuh akhir, Datuk Aaron Aziz, Noorkhiriah, Rita Rudaini dan Zulhuzaimy berentap sesama mereka untuk bergelar juara seni komedi improv! Program yang dihoskan oleh Ajak dan Shahrol Shiro ini juga menampilkan primadona Melayu alaf baru, Erra Fazira yang menggalas tugas sebagai Seri Dewi Panggung.

Hamid Ghurka, penerima sumbangan kebajikan wang tunai RM4,000 dari pihak ‘All Stars Buka Panggung’ bersama Presiden Persatuan Seniman Negara, Zed Zaidi, hos, dan Seri Dewi Panggung.

Menariknya lagi, sebagai penghargaan kepada para seniman tanah air, pihak ‘All Stars Buka Panggung’ dengan kerjasama Persatuan Seniman Negara, menyampaikan bantuan sumbangan kebajikan dalam bentuk wang tunai RM4,000 kepada Abdul Hamid bin Abdul Rahman atau lebih mesra dikenali sebagai Hamid Gurkha. Beliau pernah menerbitkan album sketsa lawak jenaka bersama rakan duetnya, Datuk Jamali Shadat pada zaman 70-an. Beliau juga pernah menghasilkan beberapa buah album, antaranya adalah ‘Manaku Tada Mengaku’. Juga pernah membintangi filem ‘Main-Main Hantu’, ‘Alamak Toyol’ dan banyak lagi. Atas faktor usia, beliau kini uzur dan mempunyai masalah penglihatan.

Comments

Popular Posts