"BUSUT BONANG" MENCARI WARIS DI PAWAGAM 19 DISEMBER INI



Filem-filem bercorak seram komedi merupakan antara genre yang sering menjadi kegemaran penonton di Malaysia. Menyedari hakikat itu, maka Alfanazra Productions Sdn. Bhd. mengambil inisiatif untuk menerbitkan sebuah filem berjudul Busut Bonang.

Pengarahnya, Khalid Nadzri berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan adalah cetusan bersama penulis skrip iaitu Siti Jasmina Ibrahim. Menurutnya, dalam filem ini dia mengangkat tema urban legend, di mana kepercayaan masyarakat moden sekarang yang segelintirnya masih mempercayai tentang kejadian-kejadian urban legend.


”Menerusi proses perbincangan dan genre komedi seram yang dipilih bersama seorang lagi penulis skrip iaitu Aloy Paradoks, akhirnya ia diolah menjadi sebuah cerita mengenai saka sebagai isu utama. ”Malah, busut juga menjadi suatu tanggapan kisah rakyat yang berkait rapat dengan entiti, misalnya menjadi tempat pemujaan animisme dan pontianak bertenggek,” ujarnya.

Bakal ditayangkan di pawagam pada 19 Disember 2019, Busut Bonang menampilkan barisan pelakon seperti Nadzmi Adhwa, Along Eyzendy, Jasper Supayah, Rashidah Jaafar, Sahronizam Noor, Hairi Safwan, Aloy Paradoks, Abby Nadzri, Badrolshah @ Bard dan Ropie.


Mengenai pemilihan genre seram sebagai nashkah terbaharunya, Khalid menyatakan genre sedimikian bersifat universal dengan gabungan tragik dan komedi dalam penceritaannya. Jelasnya, menerusi filem Busut Bonang ini ia menerapkan sebuah kisah seram yang dekat dengan rakyat, terutama yang masih mempercayai kisah mistik.


”Dalam filem ini, selain menerapkan elemen hiburan kepada penonton, ia juga memberi sindiran sinis terhadap masyarakat yang masih lagi tebal dengan kepercayaan mistik,” ujarnya.

Menurutnya, penggambaran filem berkenaan dilakukan pada Januari 2019 di dua buah lokasi iaitu di Kuala Kangsar dan Ipoh selama 20 hari. Ketika ditanya tentang cabaran sepanjang pembikinan Busut Bonang, Khalid memberitahu antara yang paling sukar ialah untuk menerapkan dua elemen iaitu seram dan komedi.


”Bagi saya bukan mudah untuk menterjemahkan sebuah filem seram dengan menerapkan elemen komedi untuk membuatkan penonton ketawa. Bagaimanapun, lakonan yang ditampilkan barisan pelakon memang banyak membantu pembikinan filem ini berjalan dengan lancar,” ujarnya mengenai filem kedua arahannya itu setelah pernah muncul dengan filem Coverina sebelum ini.

Salah seorang pelakon utamanya, Nadzmi Adhwa berkata, dia tertarik membintangi filem ini kerana tertarik dengan watak yang ditawarkan. Memegang peranan sebagai Lutfy, pelakon tersebut menjelaskan wataknya itu adalah seorang lelaki berpelajaran tinggi yang datang ke sebuah kampung untuk menyelamatkan kampung tersebut.

”Dapat bekerja dengan pengarah seperti Khalid memang banyak memberi pengalaman baharu buat saya sebagai pelakon. ”Ketika penggambaran saya dan dia selalu berbincang, terutama untuk ’menghidupkan’ watak sebagai Lutfy dan dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” ujarnya.

Nadzmi berkata, untuk filem terbaharunya ini dia tidak meletakkan sebarang harapan yang terlalu tinggi kepada penonton. ”Apa yang saya mahukan agar penonton dapat menerima jalan cerita yang ditampilkan serta terhibur ketika menontonnya nanti,” jelasnya.


SINOPIS 

Arwah Cikgu Hassan ditemui mati dalam keadaan yang menggerikan di Kampung Bonang. Sejak kejadian itu buah mulut tersebar dalam kalangan orang kampung bahawa arwah berkeliaran menuntut pewaris baru. Sementara itu Julia anak kepada Arwah Cikgu Hassan sering tidak sihat dan mengalami gangguan makhluk halus.

Sementara itu, Joey pemilik rancangan televisyen Merungkai Misteri telah dipanggil untuk mencari kebenaran di sebalik semua kejadian itu dan membersihkan nama keluarga arwah Cikgu Hassan, dan untuk tujuan itu Joey telah menculik Lutfy dibawa ke Kampung Bonang untuk dijadikan krunya. Lutfy hanyalah seorang penjual jeruk berhajat mahu mencuba pekerjaan baru dan datang ke sesi temuduga, namun diperdaya hingga ke Kampung Bonang.

Kejadian menjadi semakin misteri apabila Julia, Lutfy dan Joey dalam perjalanan mereka ke untuk menyiasat ke Busut telah ditutup pandangan oleh Penunggu Busut hingga mereka sesat.

PELAKON UTAMA 
Nadzmi Adhwa - Lutfy
Along Eyzendy - Joey
Jasper Supayah - Julia
Rashidah Jaafar - Latipah
Sahronizam Noor - Ngah
Ali Hairi Safwan - Buyong
Lah Aloy Paradoks - Lokman
Abby Nadzri - Aina
Badrolshah @ Bard - Salleh
Ropie - Cikgu Hassan

PELAKON PEMBANTU 
Rosli Mohd Taib - Pemain Bonang
Mohd Rafizan - Hantu Busut
Zaitun - Hantu Nenek
Iman Iskandar - Hantu Budak
Aiman Muttaqin - Lelaki Gemuk
Mohd Firdaus - Double Stunt

TEAM PRODUKSI 
Pengarah : Khalid Nadzri FDAM
Penerbit : Ahmad Sabri Ahmad Nadzri & Ahmad Khalid Ahmad Nadzri
Penerbit Eksekutif : Rozniza Zainal
Terbitan : Alfanazra Productions Sdn. Bhd.
Pengurus Produksi : Rosli Mohd Taib
Idea Asal : Siti Jasmina Ibrahim
Penulis Skrip : Aloy Paradoks Siti Jasmina Ibrahim
Pengarah Seni : Azwan Abdul Aziz
Pengarah Fotografi : Helmi Yusof
Penyunting : Shamsul Zain
Penasihat Produksi : Tok Bak
Audio : Amir Firdaus
Juru Solek : Carlos Hills
Jurusolek Kesan Khas : Ella Sandera


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!