JOY BAWA PERCIKAN SENSASI BUAT PEMINAT MALAYSIA


Malam penuh warna dan emosi tercipta apabila Joy dari Red Velvet akhirnya melabuhkan tirai konsert solo pertamanya di Malaysia menerusi 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu. Lebih 1,500 ReVeluvs hadir menyaksikan persembahan yang bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi ruang intim antara idola dan peminat yang telah lama menantikan detik ini.


Joy membuka tirai konsert dengan lagu Hello, sebelum mempersembahkan deretan hit seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu. Malam semakin meriah apabila Joy menghadiahkan peminat dengan lagu-lagu OST K-Drama popular termasuk Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.

Sorakan memuncak saat Joy mempersembahkan tarian penuh bertenaga menerusi Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo, mengubat kerinduan peminat terhadap era Red Velvet. Lebih menyentuh hati, Joy membaca surat daripada peminat yang mengakui karya beliau menjadi “penyelamat” daripada masalah anxiety – momen yang membuat seluruh dewan bergema dengan jeritan sokongan.


Segmen interaktif turut mencuri perhatian apabila Joy berduet acapela bersama ReVeluvs melalui Ice Cream Cake, selain menghiburkan mereka dengan Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green. Permainan teka lukisan serta pesanan mesra menjadikan konsert ini lebih peribadi, seolah-olah Joy bukan sekadar penyanyi tetapi sahabat yang memahami peminatnya.


Encore malam itu ditutup dengan deretan lagu Red Velvet yang ikonik – Zimzalabim, You Better Know dan Hello – meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Bagi ReVeluvs, pengalaman ini bukan sekadar konsert. “Joy adalah cinta pertama saya,” kata Wani, 30, yang mula mengenali Joy melalui program We Got Married. Ramai peminat kini berharap agar Red Velvet kembali bersatu di pentas selepas siri jelajah solo masing-masing, mengulangi magis yang pernah mereka cipta bersama.


Joy Splash di Kuala Lumpur bukan sekadar percikan hiburan – ia adalah malam penuh cinta, emosi dan pengikat memori antara Joy dan ReVeluvs.

Comments