LORONG FEST KEMBALIKAN SEMULA ERA GEMILANG LORONG MADRAS



Di sebalik hiruk-pikuk kehidupan Jalan Petaling, terdapat satu laluan sempit yang padat dengan kebudayaan serta sejarah. Ketika zaman kegemilangannya pada tahun 60-an dan 70-an, Lorong Madras terkenal sebagai hab hiburan pusat ibu kota Kuala Lumpur.


Ini kerana di sini terletaknya Madras Theater yang sentiasa menayangkan filem aksi Cina serta filem terhebat dari barat. Walaupun panggung tersebut telah musnah dalam satu kebakaran pada tahun 1979, namun Lorong Madras terus mengekalkan namanya, bagi memperingati premis legenda berkenaan. Kini, kawasan itu hanya satu memori, namun Lorong Madras masih kekal popular kerana ia menawarkan makanan jalanan tempatan yang enak dan barangan keperluan harian yang segar di pasar basah yang ada di situ. 

Angel X Rocksta

Sebagai sebahagian daripada Program Penambahbaikan Lorong Belakang, Lorong Fest: A walk down Madras Lane berusaha memberi nafas baru kepada Lorong Madras menerusi pelancaran inisiatif terbaru ini. Acara ini adalah sebahagian daripada Perayaan Ulang Tahun Ke-10 Think City, meraikan kejayaan dengan pelbagai program dan acara sepanjang tahun ini bagi menandakan sedekad usaha pemuliharaan bandar yang dipacu oleh komuniti. Festival hujung minggu yang memberi fokus kepada warisan tempatan ini menjanjikan pelbagai aktiviti menyeronokkan, pesta makanan oleh penjaja asal, bengkel-bengkel menarik dan peluang untuk mengalami dan menerokai Lorong Madras yang kaya dengan budaya. 

Bengkel Batik

Pelancaran Lorong Fest: A walk down Madras Lane, telah dirasmikan oleh Ahli Parlimen Bukit Bintang, Yang Berhormat Tuan Fong Kui Lun bersama-sama dengan Think City dan Citi Foundation sambil disaksikan oleh wakil daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Majlis turut dihadiri komuniti setempat sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif berkenaan. 

Bengkel Kaligrafi Cina

“Lorong Fest: A walk down Madras Lane merupakan salah satu contoh inisiatif yang kami harap dapat mewujudkan peluang untuk perniagaan yang sedia ada dan memupuk rasa cinta terhadap sejarah budaya kita di kalangan generasi muda hari ini dan esok, serta mencetuskan keinginan untuk menerokai tempat yang semakin dilupai di ibu kota kita,” kata Ahli Parlimen Bukit Bintang, Yang Berhormat Tuan Fong Kui Lun. 

Demo Teh Tarik

“Kerjasama antara Citi Foundation dan Think City merupakan satu usaha sama yang strategik dan berimpak positif untuk membina masyarakat serta persekitaran bandar yang lebih cemerlang lagi lestari. Program yang melibatkan komuniti ibu kota Kuala Lumpur ini telah merangsang pembaharuan aktiviti ekonomi serta memupuk penghargaan terhadap kekayaan warisan kita. Citi Foundation senantiasa bersedia untuk meningkatkan lagi peranan yang boleh dimainkan oleh kami menerusi kerjasama rapat dengan Think City,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Citi Malaysia, Lee Lung Nien. 

Ryot Jones

Sebagai salah satu usaha untuk mendidik masyarakat mengenai nilai budaya serta sejarah Lorong Madras, Lorong Fest: A walk down Madras Lane turut menganjurkan satu pameran foto. Ia menampilkan para peniaga serta penjaja yang telah menduduki kawasan ini sejak 50 tahun lalu melalui pengkisahan hidup mereka bagi menggalakkan pengunjung kembali ke lorong bersejarah ini untuk mendapatkan barangan keperluan harian segar, ramuan tradisional serta makanan enak. 

Spooky Wet Dreams

Lorong Fest: A walk down Madras Lane menjadi sebahagian daripada contoh kejayaan usaha Think City dalam mengintegrasikan warisan budaya dengan penambahbaikan kawasan ibu kota. Kempen ini adalah kesinambungan kejayaan Projek Kwai Chai Hong, yang menyaksikan pemuliharaan khusus bangunan pra perang di sepanjang lorong bersejarah itu. Dengan menghidupkan semula lorong berkenaan dan menjadikannya sebagai sebuah ruang awam yang bersih serta selamat, Think City dan Citi Foundation ingin menggalakkan lebih ramai pihak berkepentingan di ibu kota ini untuk memulakan projek yang serupa dan sesuai dengan semangat kebertanggungjawaban serta rasa cinta yang dikongsi bersama terhadap Kuala Lumpur. 

TMJB

“Di Think City, kami percaya bahawa ia amat penting untuk kita semua mengiktiraf keindahan yang memukau serta peluang luas yang ditawarkan oleh ibu kota kita ini. Bagi mengekalkan keunikan Kuala Lumpur, kami mempersembahkan ketinggian nilai budaya serta warisan yang dimiliki oleh Lorong Madras kepada semua pelancong dalam dan luar negara. Dengan peruntukan kewangan daripada Citi Foundation, kami berhasrat untuk terus melabur dalam usaha menghidupkan semula lorong bersejarah ibu kota ini, meneruskan transformasi pusat bandar raya Kuala Lumpur menjadi sebuah wilayah kreativiti serta kebudayaan,” ujar Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan terkini, sila ikuti Think City di Facebook (https://www.facebook.com/mythinkcity/) atau kunjungi laman sesawang (https://thinkcity.com.my/). 

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

LOSYEN DAILY MOISTURIZING ENERGIZING AVEENO® – STANDARD BAHARU DALAM PENGHIDRATAN KULIT DAN PENYEGARAN DERIA!